Jadilah Satu Tubuh
Tsauban ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW. pernah bersabda, “Akan tiba masanya umat yang ramai mengelilingi kalian seperti orang-orang mengerumuni makanannya.” Sahabat bertanya, “Apakah kerana sedikitnya bilangan kami pada waktu itu?” Rasulullah SAW. menjawab, “Bahkan jumlah kalian ketika itu banyak, tetapi keadaan kalian seperti buih-buih. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari dada musuh kalian terhadap kalian dan Allah membenamkan dalam hati kalian al-wahn.” Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan al-wahn?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut akan kematian.” (HR Abu Dawud)
Kiranya hadis ini telah terbukti hari ini. Lihatlah apa yang berlaku sekarang di Bumi Syria. Kita menyaksikan suara lantang besar-besaran untuk menegakkan Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Tentera buatan Amerika semakin berputus asa. Dunia menyaksikan AS membentuk gabungan dengan negara sekutu untuk menyerang negeri muslim. Rusia juga membentuk gabungan. Alasannya, memerangi keganasan. Padahal, merekalah pengganas sebenar.Tehran, Baghdad, dan Damsyik turut dalam gendang AS. Turki telah mengekalkan wilayah udaranya yang digunakan oleh tentera AS dan Rusia untuk menyerang umat Islam dan negerinya di Syria. Amerika Syarikat yang selama ini berseteru dengan Rusia dalam serangan ke atas Syria berada dalam satu barisan. Mereka berkelahi dan berselisih dalam banyak perkara. Namun, sentiasa bersatu dalam menentang dan menghancurkan Islam.
Melihat keadaan ini, saya teringatkan Perang Ahzab. Seperti yang diceritakan oleh Ibnu Hisyam dalam Sîrah-nya, Rasulullah SAW. pada bulan Syawal tahun 5H menghadapi Perang Ahzab. Pada masa itu, Nabi SAW. diserang oleh pasukan gabungan. Sekurang-kurangnya terdapat tiga pasukan: Pasukan Quraisy dan sekutunya yang dipimpin oleh Abu Sufyan bin Harb, Pasukan Ghatfan dan sekutunya dari Kabilah Najd yang dipimpin oleh Uyainah bin Hishn Fazari, Mas’ud bin Rakhilah, dan Harits bin ‘Auf, dan Pasukan Bani Asad yang dipimpin oleh Talihah bin Khuwailid Asadi. Di antara mereka juga terdapat kaum Yahudi Bani Nadhir. Sasarannya satu: umat Islam.
Dalam diri umat Islam sendiri terdapat orang-orang yang beriman (QS al-Ahzab [33]: 22). Mereka adalah para sahabat yang penuh keyakinan dan tidak was-was dalam keadaan apa pun. Ada juga kaum munafik dan pengecut (QS al-Ahzab [33]: 12-13). Mereka terpaksa memeluk Islam tetapi hendak menjatuhkan Rasulullah dan berpihak kepada musuh. Mereka bermental lemah, kadang-kadang menyebarkan rasa pengecut mereka kepada pihak lain.
Kini dalam serangan ke atas Bumi Syria, terdapat juga orang-orang Islam yang turut dalam gabungan AS dan Rusia.
Persoalannya, kenapa selalu umat Islam yang dibunuh; yang rumah mereka diserang oleh pesawat tanpa pemandu adalah umat Islam; wanita, kanak-kanak, dan orang tua lanjut usia selalu diserang adalah umat Islam; yang negara mereka dimusnahkan juga selalu adalah negara-negara Islam. Lihatlah Afghanistan, Pakistan, Kashmir, Bangladesh, Palestin, Libya, Syria, dll. Semuanya adalah negara Islam. Mengapa yang dimusnahkan itu bukannya AS, Rusia, China, UK, dll?
Mungkin penyebab pertama adalah kerana pelakunya merupakan musuh Islam yang tidak mahu umat Islam maju. Mereka tidak mahu umat Islam menjadi negara besar. Penyebab yang lain ialah umat Islam sendiri sekarang seperti buih. Banyak, tetapi lemah. Tiada induk. Tidak mempunyai komando. Tidak mempunyai pemimpin. Umat Islam tidak mempunyai benteng. Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya Imam/ Khalifah itu adalah benteng.”
Semua ini menegaskan bahawa karakter kaum kafir itu sama. Mereka berpecah-belah dalam pelbagai perkara tetapi tetap bersatu untuk menghalang tegaknya Islam.
Lantas, apakah sikap yang sepatutnya?
Ada sikap para sahabat Rasulullah Muhammad SAW. yang penting dijadikan suri teladan yang diabadikan di dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman, “(Itulah) orang-orang (yang mentaati Allah dan Rasul) yang kepada mereka ada orang-orang yang mengatakan, “Sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kalian. Kerana itu takutlah kalian terhadap mereka.” Justeru perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab, “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.” Mereka pun kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar) dari Allah. Mereka tidak mendapat apa-apa bencana. Mereka mengikuti keredhaan Allah. Allah mempunyai kurniaan yang besar.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 173-174]
Suara-suara pesimis akan sentiasa muncul dari pelbagai arah. Jika suara itu didengar dan diikuti, ia hanya akan menjadikan orang beriman memalingkan jiwanya sehingga takut kepada musuh-musuh Allah Taala. Suara itu datang dari kalangan kaum kafir dan munafik. Bahkan, Allah SWT menegaskan tanpa berselindung, bahawa kata-kata yang menakut-nakutkan itu berasal daripada syaitan dan kawan-kawannya.
Oleh itu, Allah Yang Maha Mengetahui mengingatkan dalam ayat seterusnya, “Sesungguhnya mereka itu tidak lain hanyalah syaitan yang menakut-nakutkan (kalian) dengan kawan-kawannya (orang-orang musyrik Quraisy). Kerana itu janganlah kalian takut terhadap mereka, tetapi takutlah kepada-Ku jika kalian benar-benar orang yang beriman.” [TMQ Ali ‘Imran (3): 175]
Ironinya, kaum kafir bersatu ketika menghadapi umat Islam, tetapi umat Islam tetap tidak utuh ketika menghadapi kaum kafir. Sudah tiba masanya kita berteriak: jadilah satu tubuh!
Sumber:
#Nafsiyah
#JadilahSatuTubuh
#KesatuanUmat
#JanganBerpecahBelah