[NAFSIYAH] Meraih Dua Keutamaan
Penulis: Arief B. Iskandar
Dalam sebuah riwayat yang dituturkan oleh Abu Hurairah ra. ada disebutkan bahawa Baginda Rasulullah SAW pernah ditanya, “Amal apa yang paling utama?” Baginda menjawab, “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Baginda ditanya lagi, “kemudian apa?” Rasulullah menjawab, “Jihad fi sabilillah.” Nabi ditanya lagi, “kemudian apa lagi?” Baginda menjawab, “Haji mabrur.” (Muttafaq ‘alaih)
Hadis ini sebenarnya sudah cukup untuk menjadikan setiap Muslim agar selalu mempertahankan keimanannya yang lurus terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya, selalu merindukan untuk berjihad di jalan-Nya serta selalu rindu untuk menunaikan ibadah haji minimum sekali selama hidupnya. Dalam hadis lain, Rasul SAW. bersabda, “Duta Allah itu ada tiga: orang yang terlibat dengan perang (di jalan Allah), orang yang beribadah haji dan orang yang berumrah.” (HR Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
Khusus terkait ibadah haji, kebanyakan Muslim bukan cuma rindu, tetapi juga ramai yang bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk mewujudkan kerinduannya itu. Kerana itu, tidak hairanlah jika ramai yang usaha menabung bertahun-tahun demi mewujudkan cita-cita mereka ke Tanah Suci.
Tentang keutamaan haji Mabrur, Rasulullah SAW. bersabda, “Haji Mabrur itu tidak ada balasan (bagi pelakunya) kecuali syurga.” (Mustafa alaih)
Berbeza dengan haji, jihad fi sabilillah sepertinya tidak begitu dirindukan oleh generasi Muslim saat ini. Bukan cuma itu, jihad fi sabilillah juga seringkali tidak dipedulikan bahkan dilupakan oleh sebahagian besar Muslim saat ini. Lebih parah lagi, disebabkan propaganda kafir penjajah Barat, jihad kini sering dikaitkan dengan aktiviti keganasan dan pelakunya dilabel sebagai pengganas. Sedangkan telah jelas, berdasarkan hadis-hadis di atas, duta-duta Allah SWT. itu, selain orang yang menunaikan ibadah haji dan umrah, adalah orang yang berjihad fi sabilillah. Bahkan jihad fi sabilillah di turutan kedua yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. sebagai amal yang paling utama sebelum haji Mabrur.
Begitu tinggi dan utamanya jihad fi sabilillah sehingga para sahabiyah begitu cemburu kepada para sahabat disebabkan jihad fi sabilillah hanya diwajibkan atas kaum Muslim (lelaki) dan bukannya pada kaum muslimah. Sedangkan para Muslimah juga amat merindukan untuk meraih syahadah (mati syahid) sebagai darjat kematian tertinggi yang dibalas syurga.
Oleh kerana itu, mewakili kaum muslimah yang lain, Aisyah Ummul Mukminin Ra. pernah bertanya kepada Rasulullah SAW., “Wahai Rasulullah, tidakkah kami (kaum Muslimah) keluar bersama engkau untuk berjihad kerana aku tidak melihat amalan di dalam Al-Quran yang lebih utama daripada jihad?” Baginda menjawab, “Tidak. Akan tetapi, jihad yang paling utama bagi kalian adalah haji Mabrur. Haji mabrur bagi kalian adalah jihad.” (HR Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Persoalannya, jika keutamaan jihad setara bahkan lebih tinggi daripada ibadah haji, mengapa kebanyakan Muslim tidak terlalu tertarik dengan jihad? Jika ibadah haji menjadi salah satu “cita-cita besar” dalam hidup kebanyakan individu Muslim, mengapa jihad dan menjadi Mujahid tidak dijadikan sebagai cita-cita besar kebanyakan dari mereka? Jika terkait haji, begitu mudah individu Muslim berkorban harta, mengapa tidak banyak dari mereka melakukan hal yang sama untuk kepentingan jihad fi sabilillah?
Benar, di negara ini jihad fi sabilillah dalam erti kata perang tidaklah berlaku kerana negara ini bukan wilayah perang. Namun, ada amalan yang pahalanya menyamai amalan jihad, bahkan dinyatakan sebagai ‘jihad’ paling utama. Baginda SAW. pernah bersabda, “jihad yang paling utama adalah menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.” (HR at-Tirmidzi dan Abu Dawud)
Baginda juga bersabda, “Ketua para syuhada (Mujahid yang meninggal dalam jihad fi sabilillah) adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa zalim kemudian dia menasihatinya, lalu penguasa itu membunuhnya.” (HR Al-Hakim dan ath-Thabrani)
Terkait aktiviti mulia di atas –menasihati penguasa zalim dan menyatakan kebenaran di hadapannya– sebenarnya tidak perlu mengorbankan harta yang besar. Sayangnya, tidak ramai yang merindukan aktiviti mulia ini apatah lagi menjadikannya sebagai cita-cita besar dalam hidupnya. Bahkan saat ini, para ulama yang memiliki peluang tersebut juga tidak banyak yang menunaikannya.
Bagaimana dengan kita? Semoga kita dapat meraih dua keutamaan sekaligus iaitu jihad fi sabilillah (atau paling tidak meraih pahala yang setara dengan pahala jihad fi sabilillah) dan haji Mabrur. Aamiin.
#Nafsiyah