[KISAH INSPIRASI] Ibnu Asakir, Guru Salahuddin al-Ayyubi yang Mencintai Ilmu
Imam Ibnu Asakir adalah ulama ahli fikih dan hadis dari mazhab Syafie. Beliau merupakan seorang yang warak dan tidak menyukai jawatan. Nama Imam Ibnu Asakir adalah Ali bin Al-Hasan bin Habbatullah bin Abdullah bin Hussein ad-Dimasyqi Asy-Syafie. Nama panggilannya adalah Abu Al-Qasim. Beliau dilahirkan pada Muharram 499H/1105M di Kota Damaskus.
Beliau belajar ilmu fikih sejak kecil di Kota Damaskus. Ayahnya, Al-Hasan bin Habbatullah merupakan seorang guru yang soleh, adil, cinta ilmu, teladan bagi para ulama dan memiliki perhatian yang besar terhadap ilmu, khususnya bidang fikih.
Lahir dari Keluarga Ulama
Di bahagian kata pengantar Tarikh Ibnu Asakir jilid satu, Salahuddin al-Munjid mengatakan, “Lingkungan pertumbuhan Al-Hafizh Ibnu Asakir memiliki pengaruh besar yang menuntun beliau kepada ilmu dan menjadikannya seorang yang cerdas. Beliau tinggal di rumah di mana banyak perkara diputuskan, hadis-hadis dan fikih dikaji. Rumahnya dipenuhi dengan ulama-ulama besar dan hakim-hakim Damaskus. Sejak kecil, Ibnu Asakir melihat para ulama dan mendapat pemahaman ilmu.”
Ayahnya seorang ulama soleh. Ibunya pula merupakan anak dari seorang ulama besar dari suku Quraisy iaitu Yahya bin Ali bin Abdul Aziz, ahli fikih, ahli tatabahasa bahasa Arab dan pernah menjadi seorang qadhi (hakim).
Bapa saudaranya, Abu al-Ma’ali bin Yahya juga merupakan seorang ahli hadis di Damaskus yang juga pernah menjadi hakim. Abangnya, Imam Shainuddin Habbatullah adalah ulama ahli bidang fikih dan hadis, juga pernah memegang jawatan sebagai seorang mufti. Saudara lelakinya yang lain, Muhammad bin al-Hasan juga merupakan ahli hadis. Melalui keluarganya inilah, Ibnu Asakir banyak belajar terutamanya di usia muda.
Imam Ibnu Asakir dibesarkan dalam keluarga yang berpendidikan tinggi. Beliau mula belajar dengan abangnya (Syeikh Al-Sha’in) ilmu fikih ketika berumur 6 tahun dan bidang bahasa serta sastera Arab pula dibawah bimbingan datuknya iaitu Abu Al-Mufaddhal al-Qurasyi.
Sang Pengembara Ilmu
Pada 520H/1126M, ketika usianya 21 tahun, Ibnu Asakir mengisi waktunya dengan mengajar. Pengetahuannya yang luas tentang riwayat-riwayat hadis, beliau dapatkan ketika mengumpulkan matan-matan, sanad-sanad, menghafal dan juga melalui bacaan. Kesungguhannya ini membuatkan beliau mencapai darjat sebagai seorang ahli hadis.
Tidak cukup dengan mengajar, beliau kemudian melakukan kembara ilmu di luar Damaskus. Beliau berkelana untuk belajar hadis kepada para ulama dan ahli fikih ternama.
Dalam kata pengantar, Tarikh Ibnu Asakir jilid satu, Salahuddin al-Munjid mengatakan, “Perjalanannya dalam belajar hadis dan mendengar dari ramai guru memiliki pengaruh yang signifikan. Semua ahli hadis besar sudah pun beliau kunjungi sepanjang perjalanannya sehingga dia memperoleh sanad yang tinggi. Pusat-pusat ilmu tersebar di wilayah-wilayah Islam. Ramai ulama dan ahli fikih yang berkongsi ilmu mereka. Ketika itu, halaqah-halaqah belajar dan diskusi diadakan di Madrasah dan masjid-masjid oleh para ahli fikih, ahli hadis dan ulama-ulama.”
Kota Baghdad menjadi tempat persinggahan Ibnu Asakir dalam mencari ilmu. Waktu itu, Baghdad merupakan pusat ilmu, kota yang banyak dikunjungi oleh para pencari ilmu dari setiap penjuru negeri.
Penduduk Baghdad terkenal sebagai orang yang paling bersemangat dalam mempelajari dan menulis hadis. Al-Khatib al-Baghdadi mengatakan, “Penduduk Baghdad terkenal sebagai orang-orang intelektual dan teliti dalam meriwayatkan hadis dan adabnya. Mereka adalah orang-orang yang paling berhati-hati dalam meriwayatkannya. Mereka terkenal dengan sifat ini.”
Pada 521H, Ibnu Asakir menunaikan ibadah haji di Mekah. Semasa perjalanan ibadah haji, beliau tidak melepaskan peluang untuk mendengar riwayat hadis dari ulama Mekah, Mina dan Madinah. Antaranya adalah Abdullah bin Muhammad al-Mishri dan Abdul Khalaq bin Abdul Wasi’ al-Hawari.
Saat kembali ke Baghdad, orang-orang Iraq semakin takjub pada beliau. Mereka berkata, “Kami belum pernah melihat seseorang sepertinya.” Setelah berasa puas menimba ilmu dari tokoh-tokoh ulama Baghdad, Ibnu Asakir memutuskan untuk kembali ke Damaskus pada 525H/1131M.
Pengembaraannya dalam menuntut ilmu tidak terhenti di situ. Ibnu Asakir melanjutkan perjalanannya ke luar negeri-negeri Arab. Beliau mengembara ke Asbahan, Naisabur, Merv, Tabriz, Khosrowjerd, Basham, Damghan, Ray, Zanjan, Hamadan, Herat, Sarakhs, Semnan, Abhar, Khuwi, Marand dan lain-lain.
Perjalanannya di luar negeri-negeri berjalan selama empat tahun. Dalam perjalanannya itu, Ibnu Asakir berjaya bertemu dengan sekurang-kurangnya 1300 ulama, 80 di antaranya adalah perempuan. Semakin banyak ilmu yang beliau perolehi. Beliau juga berjaya menghafal banyak buku.
Ibnu Asakir kembali ke Damaskus pada usia 43 tahun setelah mematangkan ilmu yang telah diperolehi. Ibnu Asakir menyibukkan diri dengan mengarang kitab, mengumpulkan hadis dan riwayat serta mengajar hadis di Masjid Umayyah, Damaskus dan juga madrasah Dar al-Sunnah yang didirikan oleh al-Malik Al-Adil Nur al-Din Mahmud bin Zanki yang merupakan salah seorang pahlawan Islam dalam Perang Salib.
Sultan Mahmud bin Zanki sangat prihatin dengan keilmuan dan pendidikan Islam. Beliau sibuk berperang, tetapi tidak melupakan kualiti umat. Kerana itu, di saat perang sedang berkecamuk, dunia Islam tidak pernah hilang dengan ulama-ulamanya.
Kepakarannya dalam ilmu hadis telah menjadi perbincangan hangat para ulama di negeri Syam sehingga beliau digelar sebagai “al-Hafiz”. Beliau juga merupakan seorang guru kepada Sultan dan panglima besar perang Salib iaitu Sultan Salahuddin al-Ayyubi.
Ibnu Asakir merupakan seorang ulama yang produktif. Hasil perjalanannya mengembara ilmu, beliau tuangkan dalam penulisannya. Karyanya mencapai lebih dari 60 buku. Karya yang paling monumental adalah Tarikh Madinah Dimasyq yang ditulis sehingga 105 jilid. Kitab ini memaparkan sejarah Kota Damaskus dan mencatat laporan-laporan tentang tokoh-tokoh dan ulama serta penguasa yang pernah mendiami Damaskus.
Ibnu Asakir terkenal sebagai seorang yang warak. Beliau menolak untuk dilantik sebagai hakim dan penjawat negara. Kehidupan dan rumahnya sederhana. Pergaulannya dengan orang lain penuh dengan akhlak. Ibnu Khalkan memuji Imam Ibnu Asakir dengan berkata, “Beliau adalah ahli fikih mazhab Syafie, ahli hadis, pejuang hadis sejati yang pantang menyerah, pencari ilmu, penjaga agama, tutur katanya halus dan sopan.”
Imam Ibnu Asakir meninggal dunia pada usia 72 tahun iaitu pada tahun 571H bersamaan dengan masa awal pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi. Salahuddin juga turut serta dalam mengurus jenazah Imam Ibnu Asakir yang pernah menjadi gurunya.
*Disarikan dari berbagai sumber
Sumber : https://muslimahnews.net/2022/12/28/16059/
#KisahInspiratif