[Tsaqafah Islam] Pengaruh Pandangan Terhadap Hubungan Lelaki dan Wanita
Penulis: Syafinaz Safar
Allah SWT telah menjadikan hamba-Nya dengan pelbagai latar belakang yang berbeza seperti yang termaktub dalam dalil berikut:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain”. [TMQ al-Hujurat (49) : 13]
Berdasarkan dalil naqli ini, sudah terbuktilah bahawa manusia diciptakan dengan kepelbagaian dan mempunyai fungsi tertentu di muka bumi ini. Paling ketara ialah penciptaan manusia ini terdiri daripada dua jantina, iaitu lelaki dan perempuan. Maha Suci Allah yang maha mengetahui tentang penciptaan-Nya ini, ternyata lelaki dan perempuan mempunyai daya tarikan yang tertentu.
Sejak penciptaan Nabi Adam AS dan isteri Baginda, Saidatina Siti Hawa AS, Allah SWT menciptakan kedua-duanya bukan sahaja sebagai sahabat peneman kesunyian, bahkan lebih daripada itu. Hubungan Adam dan Hawa merupakan hubungan yang suci dan halal serta mampu mengembangkan zuriat. Hal ini demikian kerana, Allah SWT menciptakan manusia yang memiliki naluri yang perlu dipenuhi dengan cara yang maaruf agar mendapat keredhaan dan ganjaran pahala dari-Nya.
Menurut pandangan Islam, ada tiga jenis naluri (gharizah) atau fitrah dalam diri seorang manusia. Setiap manusia memiliki gharizah al-baqa’ atau naluri mempertahankan diri dan gharizah tadayyun atau lebih mudah difahami sebagai naluri dalam aspek kepercayaan agama. Selain itu, setiap lelaki dan perempuan juga memiliki gharizah an-nau’ atau dikenali sebagai naluri mengembangkan zuriat. Kesan daripada memiliki gharizah an-nau’ inilah, lelaki dan perempuan saling memerlukan dan memiliki daya tarikan antara satu sama lain.
Walaupun setiap lelaki dan perempuan miliki naluri ini, namun, naluri ini tidak pernah memudaratkan secara fizikal kepada sesiapa. Kegelisahan yang wujud daripada naluri ini tidak menyebabkan seseorang itu mati, gila, cacat atau hilang kewarasan akal. Namun begitu, naluri ini boleh menyebabkan seseorang gelisah atau tidak selesa terutamanya apabila wujudnya rangsangan. Oleh sebab itu, hubungan antara lelaki dan perempuan perlulah diatur mengikut syariat Islam kerana jika naluri ini gagal diuruskan dengan baik mengikut syariat Islam, maka naluri yang bergejolak ini boleh mengundang kepada kemasiatan yang sangat besar, iaitu zina.
Faktor-faktor yang membangkitkan naluri ada dua, iaitu faktor luaran yang boleh diindera dengan mata dan faktor dalaman, iaitu pemikiran yang memproses maklumat. Naluri seksual hanya akan bangkit apabila kedua-dua faktor ini wujud dalam masa yang sama. Jika salah satu faktor tiada, maka naluri tidak akan bangkit dan bergejolak. Walaupun begitu, sebagai manusia yang berakal, kita mampu mengawal naluri dan mengatur kemunculannya.
Pandangan barat terhadap naluri seksual sangat berbeza dengan pandangan Islam. Barat memandang hubungan lelaki dan wanita ini dengan pandangan bersifat seksual semata-mata. Mereka beranggapan bahawa jika tidak memenuhi naluri seksual ini, maka, boleh menyebabkan bahaya kepada manusia. Ini bermaksud, mereka menganggap hubungan lelaki dan wanita ini wajib dipenuhi secara seksual dan tidak boleh dikawal dengan akal fikiran yang waras. Kemudian, mereka dengan bangganya mencipta fakta-fakta yang boleh diindera dan fikiran-fikiran yang merangsang naluri untuk menaikkan nafsu syahwat manusia melalui fantasi seksual dalam filem, lagu, tarian, dan perbuatan mereka sendiri.
Barat tidak pernah ada peraturan untuk mengurus hubungan antara lelaki dan perempuan agar sentiasa terkawal sebaliknya mereka dengan sengaja menyuburkan kebebasan pergaulan antara dua jantina ini. Barat juga tidak mengatur peraturan berpakaian sehingga mereka bebas untuk bertelanjang yang secara nyata mencipta faktor rangsangan seksual bagi tiap-tiap mata yang menyaksikannya. Setelah naluri ini dibangkitkan dengan sengaja, maka akal mereka yang cetek ini menuntut pemuasan segera, lalu berlakulah perbuatan seperti sumbang mahram, zina, lahir anak luar nikah, dan pelbagai masalah lain yang terkait dengan perkara ini. Inilah pandangan barat tentang hubungan lelaki dan wanita yang merupakan sebahagian daripada gaya hidup yang mereka jalani.
Berbeza dengan pandangan Islam yang syumul dan suci. Islam memandang perhubungan lelaki dan wanita ini sebagai hubungan yang suci dan terpelihara rapi serta penuh dengan tanggungjawab. Fokus pandangan Islam dalam hal ini adalah pada tujuan penciptaan naluri itu sendiri, iaitu untuk mengembangkan keturunan dan zuriat. Naluri perlu dipenuhi tetapi dengan cara yang diredhai Allah, iaitu dengan jalan pernikahan. Islam juga mendidik umatnya untuk mengawal faktor-faktor yang boleh membangkitkan naluri tersebut jika masih belum mampu untuk bernikah, iaitu dengan cara menjauhi fakta-fakta dan pemikiran yang akan merangsang nafsu seksual. Hal ini demikian kerana, akan berlaku banyak kerosakan dan kemungkaran jika manusia tidak mengawal faktor-faktor ini. Faktor-faktor ini hanya boleh dibangkitkan dalam kehidupan suami isteri sahaja, iaitu dalam rangka mewujudkan kelestarian keturunan dan demi mencipta ketenangan selepas gejolak hati ini dipenuhi dengan cara yang maaruf dan diberkati Allah. Islam melarang umatnya berkhalwat dan berikhtilat, mewajibkan menutup aurat mengikut syariat dan melarang wanita untuk bertabarruj dalam kehidupan umum, melarang pandangan kepada lawan jenis dengan sebab berahi, membataskan pergaulan lelaki dan wanita hanya dalam aktiviti tertentu dan mengehadkan hubungan seksual hanya berlaku dalam rangka pernikahan yang sah.
Oleh itu, terbuktilah bahawa pandangan Barat dalam hal ini sememangnya membawa kepada kerosakan dalam masyarakat dengan masalah-masalah sosial yang tidak pernah selesai. Keseronokan yang sementara akhirnya membawa duka nestapa sepanjang hidup. Dalam hal yang sama, Islam melatih pengawalan pemikiran bersifat menaikkan syahwat serta menjauhi fakta-fakta yang diindera kepada umatnya dalam memelihara kesucian dalam pemuasan naluri ini bagi memastikan keturunan yang lahir kelak adalah mengikut nasab yang baik dan teratur. Di samping itu, didikan dan tuntutan Islam ini mampu menjaga kemuliaan dan kehormatan diri, mewujudkan ketenangan jiwa dan fikiran serta dapat mengembangkan zuriat keturunan dalam suasana yang diredhai Allah SWT. Antara pandangan Barat dan pandangan Islam, pandangan manakah yang lebih baik, memberi ketenangan hidup dan beroleh kebahagian dunia akhirat? Tepuk dada, tanya iman.
Wallahu’alam.