[NAFSIYAH] Adab Mendengarkan Bacaan Al-Quran
Allah SWT. berfirman, “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” [TMQ Al-A’raaf (7): 204]
Saudari Ku, dalam ayat di atas, Allah SWT. memerintahkan kita untuk mendengarkan bacaan Al-Quran dengan penuh perhatian. Bersikap diam sambil memperhatikan tuntunan-tuntunannya dengan tenang agar mendapat rahmat dari Allah SWT.
Begitu menyedihkan ketika mengetahui ada dikalangan umat Islam yang sanggup mengutip wang ketika ayat Quran dibacakan. Bahkan dianggap hal yang menyeronokkan jika orang yang menyaksikannya tertawa. Adakah ini dianggap sebagai adab yang baik ketika mendengarkan lantunan ayat Al-Quran?
Dalam tafsir Kementerian Agama, diriwayatkan dari Abu Hurairah ra. bahawa orang-orang yang beriman sangat memberi tumpuan pada Al-Quran ketika ia dibacakan. Hendaknya yang dibacakan memahami isinya, mengambil pengajaran darinya serta mengamalkan isinya dengan ikhlas.
Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa yang mendengarkan (dengan bersungguh-sungguh) ayat dari Al-Quran, dituliskan baginya kebaikan yang berlipat ganda dan barangsiapa membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat.” (HR Bukhari dan Ahmad).
Ada beberapa adab yang perlu dilakukan oleh setiap Muslim ketika mendengarkan bacaan ayat Al-Quran. Pertama, ketika Al-Quran dibacakan, wajib mendengarkan dengan sikap tenang baik di dalam mahupun di luar solat. Kedua, wajib memperhatikan ayat-ayat yang dibacakan dengan bersungguh-sungguh agar mendapat rahmat dari Allah SWT.
Jika kedua-dua perkara ini dilakukan, Insya Allah akan semakin bertambah keimanan kepada Allah SWT. Jadi, mengapa masih ada yang memberikan saweran wang ketika seseorang sedang membaca ayat suci Al-Quran? Perbuatan tersebut jauh sekali dari apa yang diperintahkan Allah SWT. dan ajaran Rasulullah SAW.
Bagaimana mungkin mereka yang sedang mengutip wang akan bergetar hatinya saat Al-Quran dibacakan? Sepatutnya, orang-orang yang beriman akan bergetar hatinya ketika Al-Quran dibacakan.
Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [TMQ Al-Anfaal (8): 2]
Bukan hanya bergetar hati, air mata juga boleh menitis ketika mendengarkan ayat suci Al-Quran. Sebagaimana yang terjadi pada Rasulullah SAW. saat mendengarkan bacaan Al-Quran.
Dari Ibnu Mas’ud ra. dia berkata, “Suatu ketika Nabi SAW berkata kepadaku, “Bacakanlah Al-Quran kepadaku.” Maka Ku katakan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah, adakah anda mahu saya bacakan Al-Quran sedangkan Al-Quran itu diturunkan kepada anda?” Baginda menjawab, “Sesungguhnya aku suka mendengarnya dibaca oleh selain diriku.” Maka aku pun mula membacakan surah An-Nisaa’ kepadanya. Sampai akhirnya ketika aku sampai pada ayat ini (yang bermaksud) “apabila Kami datangkan dari tiap-tiap umat seorang saksi (iaitu Rasul mereka sendiri menjadi saksi terhadap perbuatan mereka), dan Kami juga datangkan engkau (wahai Muhammad) sebagai saksi terhadap umatmu ini?” [TMQ An-Nisaa’ (4): 41], kemudian Baginda berkata, “Cukup sampai di sini saja.” Lalu aku pun menoleh kepadanya dan ternyata kedua mata Baginda mengalirkan air mata.” (HR Bukhari dan Muslim)
Para ahlu sufah (sahabat yang tinggal di dataran Masjid Nabawi) juga turut menangis saat mendengarkan ayat Al-Quran. Imam Baihaqi rahimahullah menukilkan satu riwayat dari Abu Hurairah ra., beliau menceritakan, “Pada saat turun ayat (yang bermaksud), “Maka patutkah kamu merasa hairan terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini (sehingga kamu mengingkarinya)? Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?” [TMQ An-Najm (53): 59-60]. Para Ahlu sufah ketika itu menangis sehingga air mata menitis dari satu mereka. Ketika Rasulullah SAW. mendengar tangisan ahlu sufah, Baginda turut menangis. Kami pun menangis melihat Rasulullah menangis. Lalu Rasulullah bersabda, “orang yang menangis kerana takut kepada Allah tidak akan disentuh oleh api neraka.”
Saudariku, Al-Quran berisikan perintah, larangan, kisah-kisah teladan para Nabi dan Rasul juga orang-orang soleh. Sepatutnya ketika Al-Quran dibacakan, kita menjadi semakin taat, takut berbuat maksiat, tidak mahu menjadi pengkhianat Allah dan Rasul-Nya.
Malangnya yang terjadi kini, ada segelintir umat Islam yang menjadikannya sebagai ruang untuk mengutip wang. Berbeza sekali sikap yang ditunjukkan oleh mereka, tidak seperti yang terjadi pada Rasulullah dan para sahabat. Saudariku, begitu penting mengembalikan kehidupan Islam dalam naungan Khilafah agar isi Al-Quran dapat diterapkan secara keseluruhan. Begitu juga saat mendengar bacaan Al-Quran, kaum Muslim mendapat rahmat kerana beradab, bukan justeru menjadi penyebab datangnya laknat. Wallahu alam.
Sumber : https://muslimahnews.net/2023/01/07/16410/