[KISAH INSPIRASI] Rabi’ bin Khutsaim, Rajin Beribadah sejak Kecil
Rabi’ bin Khutsaim sejak kecil sudah dikenali sebagai anak yang takut untuk berbuat dosa kepada Allah. Beliau juga terkenal sebagai seorang yang cerdas dan pandai, serta takut menderhakai Allah SWT.
Beliau merupakan seorang ulama tabiin yang terkenal serta murid dari sahabat Rasulullah SAW. iaitu Abdullah bin Mas’ud Ra. Beliau adalah seorang murid yang setiap hari bangun solat malam, sering memuhasabah dirinya, mengingati kesalahannya dan menangis kerana takut kepada Allah SWT.
Pernah suatu ketika ibunda beliau terbangun di tengah malam dan melihatnya masih berada di tempat solat. Ibundanya berkata, “Wahai anakku, tidakkah engkau tidur?” Beliau menjawab, “Bagaimana seorang yang takut seksaan boleh tidur?” Maka ibundanya menangis dan mendoakan puteranya agar mendapatkan kebaikan.
Itulah kebiasaan seorang Rabi’ bin Khutsaim sejak kecil. Akhlak dan perilaku beliau setanding dengan para sahabat Rasulullah SAW., hanya saja beliau tidak pernah bertemu dengan Baginda Rasulullah SAW.
Ibnu Mas’ud sangat menyayangi muridnya yang satu ini sehingga beliau mengatakan, “Wahai Rabi’, seandainya Rasulullah melihatmu, tentu Baginda mencintaimu.” Beliau juga berkata, “Setiap kali melihatmu, aku teringat pada orang-orang yang tunduk patuh kepada Allah SWT.”
Rabi’ bin Khutsaim adalah ulama yang sangat takut terhadap neraka. Seorang rakannya pernah menceritakan, “Suatu hari kami pergi bersama Abdullah bin Mas’ud ke suatu tempat bersama Rabi’ bin Khutsaim. Ketika kami sampai di tepi sungai Eufrat, kami melalui tempat membakar batu-bata yang apinya sangat besar menyala. Rabi’ bin Khutsaim diam terpaku melihat api itu kerana terbayang kengeriannya. Jilatan apa yang berkobar dahsyat, gemuruh suara percikannya dan gemeretak batu-bata yang dimasukkan kedalamnya. Kemudian tubuhnya menggigil kerana terbayang keadaan neraka. Beliau membaca firman Allah SWT,
إِذَا رَأَتْهُم مِّن مَّكَانٍۭ بَعِيدٍ سَمِعُوا۟ لَهَا تَغَيُّظًا وَزَفِيرًا . وَإِذَآ أُلْقُوا۟ مِنْهَا مَكَانًا ضَيِّقًا مُّقَرَّنِينَ دَعَوْا۟ هُنَالِكَ ثُبُورًا
“Apabila neraka itu melihat mereka dari tempat yang jauh, kedengaranlah mereka suara marahnya yang menggelegak dan mengeluh.Dan apabila mereka dihumbankan ke tempat yang sempit di dalam neraka itu, dengan keadaan mereka dibelenggu, menjeritlah mereka di sana meminta sejenis kebinasaan (yang melepaskan dari azab itu).” [TMQ Al-Furqaan (25): 12-13]
Abdur Rahman bin Ajlan pernah menceritakan kesan pertemuannya dengan Rabi’ bin Khutsaim, “Saya pernah bermalam dengan al-Rabi’, dan ketika dia yakin bahawa saya sudah tidur, diam-diam dia bangun kemudian melaksanakan solat Tahajjud. Dalam solatnya, dia berulang-ulang membaca ayat,
أَمْ حَسِبَ ٱلَّذِينَ ٱجْتَرَحُوا۟ ٱلسَّيِّـَٔاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّٰلِحَٰتِ سَوَآءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَآءَ مَا يَحْكُمُونَ
“Patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa Kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dengan menyamakan keadaan (mereka semua) semasa mereka hidup dan semasa mereka mati? Buruk sungguh apa yang mereka hukumkan itu.” [TMQ Al-Jaathiyah (45):21]
Sahabat Muslimah, kita juga sepatutnya takut terhadap Allah SWT, takut menderhakai-Nya dan takut jika kelak kita dimasukkan ke dalam neraka. Sudah sepertinya sebagai orang yang berilmu, kita tidak boleh membuat dosa secara sengaja ataupun menyakiti orang lain.
Satu pesanan dari Rabi’ bin Khutsaim adalah agar kita sentiasa ikhlas dalam beramal dan tidak mengharapkan pujian orang, “Setiap amal yang bukan kerana wajah Allah, maka akan lenyap (sia-sia).”
Sumber : https://muslimahnews.net/2023/01/06/16382/
-Abu Umar Abdillah. 2018. “Masa Kecil Para Ulama”. Cetakan ketiga. Wafa Press. Klaten