[Nafsiyah] Antara Syafaat dan Pengusiran dari Telaga Nabi
Penulis sangat sedih menyaksikan sebuah video soal jawab kepada umat islam tentang Nabi Muhammad SAW. Saat itu, penanya bertanyakan beberapa soalan kepada beberapa umat Islam, baik remaja mahupun dewasa. “Siapakah Nabi setelah Nabi Isa AS ? Kebanyakan dari mereka menjawab tidak tahu. Hanya sedikit sahaja yang menjawab Nabi Muhammad SAW.
Sememangnya melalui kandungan video ini tidak boleh dianggap bahawa sebahagian umat Islam tidak mengetahui susunan Nabi dan Rasul dalam Islam. Namun, ini adalah salah satu bukti bahawa di kalangan umat Islam masih ada yang tidak mengenali Nabi Muhammad adalah nabi dan rasul terakhir.
Syariat yang dibawanya menjadi pelengkap syariat para nabi dan rasul terdahulu. Soalan seterusnya yang akan kita tanyakan ialah, “Syafaat siapakah yang boleh kita harapkan sekiranya kita melupakan Nabi Muhammad semasa di dunia?” Walhal Nabi SAW tidak sedikit pun melupakan segala urusan umatnya sehingga hampir wafat Nabi tetap menyebut umatnya.
Terdapat enam syafaat yang boleh diperoleh oleh umat Islam daripada Nabi Muhammad :
Pertama, asy-syafa’ah al-kubra (syafaat besar). Mengapa ia dipanggil besar? Kerana hanya Nabi Muhammad SAW yang boleh lakukannya. Semua nabi dan rasul selain dirinya tidak mampu melakukannya.
Hal ini berlaku ketika umat manusia hampir dihisab dalam penghakiman hari terakhir di Padang Mahsyar yang sangat membebankan manusia, setiap orang kemudian pergi kepada nabi-nabi mereka. Namun, nabi-nabi itu menolak sehinggalah sampai kepada Nabi Muhammad SAW. Kemudian Nabi SAW memohon syafaat kepada Allah SWT untuk manusia.
Kedua, syafaat Nabi bagi orang beriman yang menjadi calon penghuni syurga. Mereka akan dimudahkan masuk ke dalam syurga. Hal ini diungkapkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA.
Ketiga, syafaat Nabi kepada manusia yang melakukan maksiat semasa hidup di dunia. Menurut hisab, mereka layak dimasukkan ke dalam neraka tetapi, Nabi SAW memohon syafaat kepada Allah SWT untuk mengampuni dosa-dosa mereka.
Keempat, syafaat Nabi yang diberikan kepada penghuni neraka yang semasa hidup mereka mengaku “Laa ilaaha Illa Allah.” Mereka masuk neraka kerana dosa yang mereka lakukan semasa di dunia.
Kelima, syafaat Nabi untuk penghuni syurga Nabi memohon syafaat kepada Allah agar penghuni syurga bertambah darjat di syurga. Siapakah mereka? Mereka adalah yang sepanjang hayatnya ikhlas hanya beribadah dan memohon perlindungan daripada Allah SWT.
Sebagaimana dikhabarkan dalam firmanNya, “Berilah peringatan dengannya (Al-Quran) orang-orang yang takut akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (pada hari kiamat), tidak ada pelindung dan pemberi syafaat bagi mereka selain Allah, agar mereka bertakwa.” [TMQ Al-An’am (6): 51].
Keenam, syafaat Nabi bagi ahli keluarga yang meninggal dunia dalam keadaan bukan Islam. Seperti Abu Talib bapa saudara Nabi yang dengan penuh kasih sayang terus melindungi dan menjaganya. Namun, dia mati dalam keadaan kafir.
Syafaat Nabi kepada bapa saudaranya ialah meringankan azab di neraka, “Penghuni neraka yang paling tidak tersiksa adalah Abu Talib. Dia diberi dua selipar yang menyebabkan otaknya mendidih.” (HR Ahmad).
Lalu siapakah yang akan diusir oleh Nabi SAW di telaganya? Dari Abu Hurairah RA, “Bahawa aku (Nabi SAW) menunggu umatku di pinggir telagaku di alam mahsyar. Ketahuilah, sesungguhnya akan ada dari umatku yang diusir oleh malaikat seperti unta yang tersesat dari pemiliknya dan pergi ke tempat minum orang lain sehingga dia juga dihalau. Melihat beberapa orang yang mempunyai tanda-tanda pernah berwuduk. Maka, aku memanggil mereka, ‘Kemarilah’ Namun, malaikat yang menghalau mereka berkata, ‘Sebenarnya mereka telah mengubah ajaranmu setelah kamu pergi.’ Mendapat penjelasan ini, aku (Nabi SAW) berkata, ‘Jauhilah, jauhilah, wahai orang-orang yang sesudahku mengubah ajaranku.’ (HR Bukhari dan Muslim).
Astaghfirullah, sungguh sangat sedih diusir oleh Rasulullah dari telaganya. Kita berharap agar kita tidak termasuk dalam golongan yang diusir oleh Rasulullah. Justeru itu, kita hendaklah mempelajari, mengkaji, mengamalkan dan menyampaikan segala ajarannya. Bukan menjadi penentang dan pengubah ajaran-ajaranya. Persoalannya sekarang, di kedudukan manakah kita berada sekarang? Wallahualam.
Sumber :
https://muslimahnews.net/2023/01/10/16521/
#Nafsiyah #syafaatNabi