[NAFSIYAH] Ikatan antara Pengemban Dakwah Adalah “Roh” Allah
Penulis: Adi Victoria
Dunia dakwah itu bukan hanya terasa nikmat disebabkan aktiviti dakwah yang dilakukan oleh para pengemban dakwah, tetapi juga ada kenikmatan lain yang sentiasa dirasakan iaitu keterikatan antara pengemban dakwah di dalam sesuatu jemaah dakwah.
Walaupun berbeza latar belakang pendidikan, lingkungan serta dunia kerja, tetapi hati mereka sentiasa bertaut. Mereka saling mencintai dengan “roh” Allah
Rasulullah SAW. bersabda,
لم يكن بينهم ارحام يتواصلون بها لله يتحابوان بروح الله عزوجل
“Di antara mereka tidak ada rahim yang menjadi penyebab saling berhubungan kerana Allah. Mereka saling mencintai dengan ikatan roh Allah yang Maha Gagah Perkasa.” (HR Ath-Thabrani dari hadis Abi Malik)
Di dalam kitab min muqawwimat nafsiyah Islamiyyah dijelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan “roh” Allah adalah syariat Nabi Muhammad ﷺ. Maksudnya, perkara yang menjadi pengikat di antara mereka adalah ideologi (mabda) Islam. Mereka tidak diikat oleh ikatan lain, baik ikatan nasab, ikatan kekerabatan, ikatan kemaslahatan atau kemanfaatan duniawi.
Dalam riwayat lain juga disebutkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,
تصادقوا في الله و تحابوا فيه
“Mereka saling berteman di jalan Allah dan saling mencintai kerana Allah.” (HR Al Hakim dari Ibnu Umar)
لم تصل بينهم أرحام متقاربه تحابوا في الله وتصافوا
“Tidak ada hubungan rahim serta kekerabatan di antara mereka, mereka saling mencintai kerana Allah dan saling berkawan diantara mereka.” (HR Imam Ahmad dari Abu Malik al-Asy’ari)
Ikatan ideologi Islam tersebut menjadikan pemikiran dan perasaan mereka satu atau yang disebut dengan istilah kullun fikriyun syu’uriyun (semua satu pemikiran dan perasaan).
Contohnya, walaupun berbeza latar belakang pendidikan dan lingkungan, tetapi mereka memiliki pemikiran dan perasaan yang sama ketika melihat realiti yang ada di hadapan mereka. Realiti atau fakta tersebut perlu dihukumi dengan Islam, bukan Islam yang perlu dihukumi (disesuaikan) dengan realiti atau fakta yang sedang terjadi.
Mereka juga memiliki perasaan yang sama bahawa keadaan generasi akhir umat Islam sekarang ini tidak dapat diperbaiki dengan apa pun kecuali sesuatu yang di mana sesuatu itu pernah menjadikan generasi awal umat ini sebagai umat terbaik. Sesuatu itu adalah kembali kepada kepada Islam dan menerapkan syariat Islam secara kaffah (keseluruhan) baik dalam kehidupan peribadi, bermasyarakat, berbangsa mahupun bernegara.
Imam Malik bin Anas berkata,
لن يصلح آخر هذه الأمة إلا ما أصلح أولها
“Tidak akan dapat diperbaiki keadaan generasi akhir umat ini kecuali apa yang telah mampu memperbaiki keadaan generasi awal umat ini.” (Tanqihut Tahqiq 2/423, Al-Hafidzh Ibnu Abdil Hadi)
Kerana itu, jika kita telah berada dalam satu jemaah dakwah yang membuatkan kita semakin baik, semakin soleh, semakin takut kepada Allah dan menjadikan kita seorang yang berkeperibadian Muttaqin (bertakwa), maka genggam eratlah jemaah tersebut. Kenapa? Kerana itu adalah nikmat terbaik setelah kenikmatan beragama Islam bagi seorang hamba.
Umar bin Khattab berkata,
ما أعطي العبد بعد الإسلام نعمة خيراً من أخ صالح فإذا وجد أحدكم وداً من أخيه فليتمسك به
“Tidaklah seseorang diberikan kenikmatan setelah Islam yang lebih baik daripada kenikmatan memiliki saudara (semuslim) yang soleh. Apabila engkau dapati salah seorang sahabat yang soleh maka peganglah erat-erat.” (Qutul Qulub Fii Muamalatil Mahbub 2/17). Wallahualam.