[KELUARGA]
Menyiapkan Anak Akil Baligh
Penulis: Naila Zayyan
Ayah dan ibu, kita melihat anak-anak kita pada hari ini mengalami perkembangan fizikal yang sangat pantas tetapi tidak disertai dengan kematangan atau kedewasaan dalam berfikir. Apabila mereka mencapai usia remaja, anak-anak mengalami proses kematangan fizikal tetapi kurang dari segi kematangan berfikir. Malangnya, meskipun sudah baligh, secara umumnya mereka masih belum matang.
Terdapat perbezaan antara baligh dengan akil. Kanak-kanak yang telah baligh mempunyai ciri-ciri antara lain fizikalnya lebih matang, organ seksualnya sudah mula diaktifkan. Bagi kanak-kanak perempuan yang telah mengalami haid dan bagi lelaki yang pernah mengalami mimpi basah atau mengeluarkan sperma. Kata ‘baligh’ diambil daripada bahasa Arab yang secara bahasa bermaksud ‘sampai’, ertinya ‘usia seseorang itu telah mencapai peringkat kematangan’.
Adapun berdasarkan umur, mazhab Syafie dan Hambali menetapkan usia baligh untuk lelaki dan perempuan secara umum ialah 15 tahun.
Mazhab Hanafi menetapkan had minimum dan maksimum usia baligh. Had minimum sudah baligh ialah 12 tahun untuk lelaki dan 9 tahun untuk perempuan. Manakala had maksimum ialah 18 tahun bagi lelaki dan 17 tahun bagi perempuan.
Mazhab Maliki memberikan had umur baligh adalah genap 17 tahun apabila telah mencapai umur 18 tahun, atau genap 18 tahun. Dalam hal ini, mazhab tersebut tidak membezakan had usia baligh untuk lelaki atau perempuan.
Allah SWT. berfirman,
وَإِذَا بَلَغَ ٱلْأَطْفَٰلُ مِنكُمُ ٱلْحُلُمَ فَلْيَسْتَـْٔذِنُوا۟ كَمَا ٱسْتَـْٔذَنَ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
“Dan apabila anak-anakmu telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” [TMQ An-Nur (24): 59].
Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib bahawa Nabi Muhammad SAW. bersabda, “Tanggungjawab itu diangkat daripada tiga golongan iaitu orang tidur sehingga dia bangun, kanak-kanak sehingga dia ihtilam (bermimpi basah dan mengeluarkan mani), dan orang gila sehingga dia sembuh (kembali berakal).”
Jika anak sudah baligh, maka dia sudah menanggung beban (taklif) hukum syariat Islam.
Adapun ‘akil’ secara bahasa bermaksud berakal, memahami, atau mengetahui. Anak yang sudah akil mempunyai jiwa yang matang, berdikari, sedar akan tanggungjawab, mampu memilih dan membezakan yang baik dan buruk dan lebih jauh lagi sudah mampu mencari rezeki.
Ayah dan ibu, sudah tentu kita mahu anak-anak kita akil baligh, tidak hanya baligh tetapi juga akil. Ibu bapa wajib mempersiapkan dengan baik agar anak-anak bersedia menerima segala akibat dan tanggungjawab syariat. Akil dan baligh satu pakej, tidak boleh salah satu saja.
Apakah yang berlaku jika anak hanya baligh tetapi belum akil? Apakah yang akan berlaku jika anak sudah bergelojak nafsunya tetapi tidak dapat mengendalikan atau mengawal nafsunya? Ya, ini akan menimbulkan masalah di tengah-tengah masyarakat.
Ada remaja yang menangis sepanjang masa kerana putus cinta, bahkan ada yang membunuh diri. Remaja bergaduh, remaja mabuk, remaja menendang orang tua di jalanan.
Terdapat juga masalah remaja yang lain, antaranya membakar rumah kerana tidak dibelikan telefon bimbit atau motosikal. Pelajar semakin tidak menghormati guru, pensyarah, malah ada yang berani menendang dan membelasah guru mereka.
Ini semua adalah fakta remaja masa kini yang sudah matang dari segi fizikal, tetapi tidak matang dari segi jiwa dan pemikirannya. Baligh tetapi belum akil.
Apabila anak telah mencapai usia mahasiswa tetapi tidak boleh berdikari. Anak-anak sudah berada di sekolah rendah tetapi masih sukar untuk membangunkan mereka dari tidur, makan masih disuap, jika mereka mendapat kesulitan ibu bapa segera campur tangan untuk menyelesaikan masalah anak-anak.
Pelajar sekolah rendah sehingga sekolah menengah sentiasa menggunakan kemudahan daripada ibu bapa mereka. Apabila menjadi mahasiswa dan terpaksa hidup jauh dari ibu bapa, baru kebingungan.
Mahasiswa masa kini adalah remaja yang terperangkap dalam tubuh orang dewasa. Remaja yang tiba-tiba terjun ke dunia orang dewasa. Kemandirian yang tidak dibina sejak awal akan menyukarkan kehidupan anak-anak kita pada masa hadapan.
Masalahnya, sistem kapitalisme sekular sekarang ini cenderung menghadirkan fakta yang merangsang nafsu anak, bebas membuka aurat di mana-mana, siaran di media juga tidak jauh berbeza. Akhirnya anak-anak matang secara fizik, tetapi tidak akalnya.
Inilah keadaan yang mendominasi anak-anak pada hari ini. Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan untuk mempersiapkan anak-anak kita sehingga mereka bersedia menuju akil balighnya?
Pertama, tanamkan keimanan/akidah yang kuat sejak kecil. Keluarga merupakan institusi utama yang bertanggungjawab mendidik anak-anak. Ibu bapa wajib memberikan pendidikan Islam terbaik dan sepenuh hati, bermula dari tauhid, rukun iman, rukun Islam, dan hakikat beribadah kepada Allah SWT. berikut tatacaranya.
Harapannya, akan terbentuk rasa cinta anak kepada Allah SWT. dan Rasulullah SAW.. Anak merasa dekat kepada Sang Khaliq dan selalu diawasi oleh Allah SWT. dalam setiap perbuatannya.
Kedua, memahamkan anak tentang potensi naluri berkasih sayang (gharizah nau’) yang betul menurut syariat. Bahawa menyukai lawan jenis itu fitrah, tetapi cara untuk menyalurkan perasaan itu mestilah mengikut syariat Islam. Caranya adalah melalui perkahwinan yang sah, bukan dengan berpacaran kerana pacaran adalah perbuatan yang berpotensi besar membawa kepada zina.
Allah SWT. berfirman,
وَلَا تَقْرَبُوا۟ ٱلزِّنَىٰٓ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَٰحِشَةً وَسَآءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” [TMQ Al-Isra’ (17): 32]
Ketiga, berusaha membentuk “imuniti”, bukan “mensterilkan” anak. Hal ini berkaitan dengan persekitaran yang cenderung bebas sepenuhnya dan menghadirkan fakta yang kebanyakannya merangsang gharizah nau’ mereka. Sampaikan kepada anak tentang bahaya pergaulan bebas yang boleh membawa kepada seks bebas, zina yang akan menghancurkan masa depan mereka baik di dunia mahupun akhirat.
Adalah mustahil untuk anak-anak kita boleh steril daripada pengaruh persekitaran mereka. Tidak mungkin anak “beruzlah” atau mengasingkan diri daripada persekitaran sekeliling. Ibu bapa boleh cuba sentiasa mengingatkan mereka berulang kali tentang pentingnya berhati-hati dalam pergaulan baik terhadap rakan lelaki mahupun perempuan, baik di dunia nyata mahupun di dunia maya. Jika anak salah, ingatkan dia teliti dengan cara dan adab yang baik.
Keempat, ibu bapa hendaklah memberikan ilmu pengurusan terhadap hawa nafsu supaya tingkah laku mereka tidak menyerupai haiwan. Akal digunakan untuk mengawal nafsu. Mengajak anak untuk rajin puasa sunat, baik puasa Isnin-Khamis, puasa Daud, atau puasa ayyamul bid (tanggal 13, 14, 15 di bulan-bulan Hijriah) semampu anak.
Kelima, ajar berdikari sejak kecil bermula dari perkara dan pekerjaan kecil, seperti bangun pagi sendiri, makan sendiri, dan mencuci peralatan makan dan pakaian mereka sendiri. Termasuk juga dalam membuat keputusan. Ajar anak-anak tentang risiko dan akibat daripada setiap pilihan dan tindakan mereka.
Keenam, ibu bapa perlu memahami pentingnya pembentukan keperibadian Islam (syakhsiyah Islamiah) yang utuh dalam diri anak-anak. Dalam konsep pendidikan keperibadian Islam terdapat pembentukan pola fikir (akliah) dan pola sikap (nafsiyah). Masing-masing mempunyai peringkat yang terperinci bermula dari awal usia kanak-kanak, remaja hingga dewasa sehingga anak dapat menjadi akil dengan sempurna.
Hasilnya, anak-anak akan menjadi cerdik dan mempunyai adab serta akhlak yang baik. Bukan menjadi pintar, tetapi tiada adab seperti anak-anak produk pendidikan sekular hari ini.
Ketujuh, ibu bapa mesti memahami bahawa konsep pendidikan yang dapat menyelaraskan antara pemikiran dan perasaan sehingga akhirnya dapat dilaksanakan dalam kurikulum yang rapi hanyalah konsep pendidikan Islam dalam sistem pemerintahan Islam yang kondusif (Khilafah Islamiah).
Sumber:
https://muslimahnews.net/2023/01/07/16441/
#Keluarga #Anak #DidikAnak #AkilBaligh