[NAFSIYAH]
Penyesalan Yang Tidak Berkesudahan Akibat Menyimpang Dari Jalan Rasulullah ﷺ
Penyesalan terbesar datang apabila manusia tidak mempunyai kesempatan untuk memperbaiki kesilapan. Tidak ada waktu untuk kembali. Tidak ada kesempatan untuk meratapi diri, yang ada hanyalah angan-angan kosong yang tidak akan pernah menjadi realiti dan menjadi penyesalan yang tidak berkesudahan. Kemudian berharap dahulu di dunia diciptakan menjadi tanah yang dipijak-pijak menghinakan. Menjadi tempat untuk habuk dan kotoran berlabuh. Allah SWT. berfirman,
إِنَّآ أَنذَرۡنَٰكُمۡ عَذَابٗا قَرِيبٗا يَوۡمَ يَنظُرُ ٱلۡمَرۡءُ مَا قَدَّمَتۡ يَدَاهُ وَيَقُولُ ٱلۡكَافِرُ يَٰلَيۡتَنِي كُنتُ تُرَٰبَۢا ٤٠
“Sesungguhnya Kami telah memberi peringatan kepada kalian (wahai kaum kafir) dengan seksa yang dekat. Pada hari itu manusia melihat apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya. Lalu orang kafir berkata, ‘Alangkah baiknya jika aku dulu hanyalah tanah.’” [TMQ An-Naba’ (78): 40].
Kalimat yâ laytanî kuntu turâb[an] dalam ayat yang agung ini menunjukkan bahawa tanah yang dipijak-pijak di dunia adalah lebih baik keadaannya bagi manusia yang ingkar kepada Allah di akhirat kelak. Adakah penyesalan mereka bermanfaat? Tidak! Allah SWT. berfirman,
وَجِيْءَ يَوۡمَئِذِۢ بِجَهَنَّمَۚ يَوۡمَئِذٖ يَتَذَكَّرُ ٱلۡإِنسَٰنُ وَأَنَّىٰ لَهُ ٱلذِّكۡرَىٰ ٢٣ يَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي قَدَّمۡتُ لِحَيَاتِي ٢٤
“Pada hari itu diperlihatkan Neraka Jahanam. Pada hari itu ingatlah manusia. Namun, tidak berguna lagi mengingat itu bagi dirinya. Dia mengatakan, ‘Alangkah baiknya jika aku dulu mengerjakan (amal soleh) untuk hidupku ini.’” [TMQ Al-Fajr (89): 23-24].
Menyesal kerana Menyimpang dari Jalan Rasulullah SAW.
Salah satu penyesalan mendalam yang tidak dapat ditanggung ialah penyesalan orang zalim akibat menyimpang dari jalan Rasulullah SAW.. Sebaliknya, dia fanatik mengikuti jalan kesesatan orang lain akibat menjadikan orang tersebut sebagai teman dekat (khalîl). Allah SWT. berfirman,
وَيَوۡمَ يَعَضُّ ٱلظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيۡهِ يَقُولُ يَٰلَيۡتَنِي ٱتَّخَذۡتُ مَعَ ٱلرَّسُولِ سَبِيلٗا ٢٧ يَٰوَيۡلَتَىٰ لَيۡتَنِي لَمۡ أَتَّخِذۡ فُلَانًا خَلِيلٗا ٢٨ لَّقَدۡ أَضَلَّنِي عَنِ ٱلذِّكۡرِ بَعۡدَ إِذۡ جَآءَنِيۗ وَكَانَ ٱلشَّيۡطَٰنُ لِلۡإِنسَٰنِ خَذُولٗا ٢٩
“(Ingatlah) hari (ketika itu) orang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: ‘Aduhai, seandainya (dulu) aku mengambil jalan bersama-sama Rasul. Kecelakaan besarlah bagiku. Seandainya aku (dulu) tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku. Sungguh dia telah menyesatkan aku dari Al-Quran ketika Al-Quran itu telah datang kepadaku. Syaitan itu tidak mahu menolong manusia.’” [TMQ Al-Furqan (25): 27-29].
Itulah hari ketika mereka menyelisihi jalan Rasulullah SAW. di dunia. Mereka memilih jalan kesesatan. Mereka ini akan mendapati penyesalan tidak berkesudahan di akhirat kelak. Kalimat ya’adhdhu al-zhâlim ‘alâ yadayhi (hari ketika orang zalim menggigit kedua tangannya) menjadi kiasan (al-kinâyah) tentang besarnya penyesalan mereka kelak di akhirat. Malah digambarkan, menggigit kedua tangan. Ini menjadi kiasan dari menggigit jari-jemari itu sendiri (al-majâz al-mursal bi al-‘alâqah al-kulliyyah).
Ayat ini diturunkan berkaitan dengan ‘Uqbah bin Abi Mu’ith (az-zhâlim) yang telah disesatkan oleh Ubay bin Khalaf (fulân[an] khalîl[an]). Namun, ayat ini juga berlaku bagi setiap orang zalim dan menyesatkan dirinya. Demikianlah seperti yang ditegaskan oleh Al-Hafizh Ibn Katsir dalam tafsirnya, seperti yang dinukil oleh Prof. Dr. Muhammad Ali ash-Shabuni dalam Shafwat at-Tafâsîr (II/331).
Menariknya, QS Al-Furqan ayat 27-29 memberikan panduan bagi setiap manusia untuk menilai sama ada sesuatu jalan itu mesti dikembalikan kepada kesesuaiannya mengikut jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW., yang membimbing manusia menempuh satu-satunya jalan menuju Allah. Kalimat ma’a ar-Rasûl dikemukakan daripada lafaz sabîl[an]. Ini menegaskan dan mengkhususkan (qashr) bahawa satu-satunya jalan kebaikan tersebut hanyalah jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW..
Diksi sabîl[an] (jalan) dipilih untuk menggambarkan keyakinan (’aqîdah) dan amal perbuatan (syarî’ah) yang ditegakkan oleh Rasulullah SAW. dalam menyusuri jalan kehidupan. Akidah Islam adalah asas kehidupan. Manakala syariat Islam adalah satu-satunya peraturan yang diguna pakai. Memilih selain akidah dan syariat Islam sebagai cara hidup adalah kezaliman dan menjadi sebab penyesalan yang mendalam.
Tidak ada jalan lain. Ini kerana diksi sabîl[an] (jalan) diungkapkan dalam bentuk kata tunggal (al-mufrad). Ini menegaskan pelbagai petunjuk yang pasti (qath’î) bahawa jalan Rasulullah SAW. adalah satu-satunya jalan kebenaran dalam mencapai kebahagiaan. Adakah jalan yang penuh dengan kekeliruan ala ahli filosof seperti Plato (429-347 SM), Aristoteles (384-322 SM), Machiavelli (1467-1527), Thomas Hobbes (1588-1679), John Locke (1632-1704), Montesquieu (1689-1755), Jean Jacques Russeau (1712-1778), Adam Smith (1723-1790), David Ricardo (1772-1823), Karl Marx (1818-1883), Friedrich Engels (1820–1895), dan yang lain-lain layak dijadikan jalan tandingan bagi jalan Rasulullah SAW. menuju Allah Taala? Kita hendaklah mengingati firman Allah Taala,
وَمَن يُشَاقِقِ ٱلرَّسُولَ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ ٱلۡهُدَىٰ وَيَتَّبِعۡ غَيۡرَ سَبِيلِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ نُوَلِّهِۦ مَا تَوَلَّىٰ وَنُصۡلِهِۦ جَهَنَّمَۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ١١٥
“Barangsiapa yang menentang Rasul sesudah datang kepada dirinya petunjuk yang nyata dan mengikuti jalan orang-orang yang tidak beriman, Kami akan membiarkan dia dengan kesesatannya, kemudian Kami akan menyeret dia ke dalam Neraka Jahanam. Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” [TMQ An-Nisa’ (4): 115].
Ancaman dalam ayat ini jelas merupakan amaran keras yang tidak boleh diabaikan seketika.
Peringatan Terhadap Sumber Penyesatan
Apakah sebab kesesatan mereka? Dijelaskan dalam ungkapan: laytanî lam attakhidz fulân[an] khalîl[an] (jika aku [dulu tidak menjadikan si fulan itu teman akrabku). Lafaz fulân menjadi kiasan lain (kinâyah) dari orang yang menyesatkan. Al-Hafizh al-Qurthubi (w. 671 H) dalam tafsirnya (XIII/26) mengatakan bahawa lafaz fulân dipilih sebagai gelaran lain (kinâyah) daripada orang yang namanya disamarkan. Tujuannya agar peringatan ayat ini berlaku kepada seluruh orang yang melakukan perbuatan serupa. Ini menunjukkan risiko yang terlibat ketika menjadikan orang yang sesat sebagai kawan, apatah lagi sebagai idola.
Betapa hebatnya pesanan di sebalik hadis daripada Abu Said al-Khudri ra., bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW. bersabda,
لاَ تُصَاحِبْ إِلاَّ مُؤْمِنًا وَلا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلا تَقِيٌّ
“Janganlah engkau berkawan kecuali dengan orang beriman. Jangan pula ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa.“ (HR Ahmad dan At-Tirmidzi).
Hadis ini menganjurkan agar bergaul dan bersahabat dengan orang yang beriman dan bertakwa. Diumpamakan dengan ungkapan, tidak memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa. Ini diperjelas oleh atsar ’Umar bin al-Khattab ra., sebagaimana dijelaskan oleh Al-Imam al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (XIII/191), “Janganlah engkau berkawan dengan orang yang keji kerana dia akan menjerumuskanmu ke dalam kemungkaran. Janganlah engkau menyampaikan rahsiamu kepada dia. Hendaklah bermusyawarah dalam urusanmu dengan mereka yang takut kepada Allah.”
Dalam hadis dari Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW. bersabda,
الرَجُلُ عَلى دِيْنِ خَلِيْلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ
“Seseorang itu sesuai dengan agama temannya. Kerana itu hendaklah setiap dari kalian memperhatikan dengan siapa dia berkawan.” (HR Abu Dawud dan At-Tirmidzi).
Hadis dan atsar di atas semuanya menyampaikan mesej tentang pentingnya memerhatikan teman pergaulan dan kebaikan persekitaran. Al-Imam al-Munawi (w. 1031 H) dalam Faydh al-Qadîr Syarh al-Jâmi’ ash-Shaghîr (VI/295) berpesan bahawa hendaklah setiap orang bergaul dengan orang lain berdasarkan pandangan hatinya terhadap seseorang yang hendak dijadikan teman, iaitu sesiapa sahaja yang diredhai kebenaran agama dan perbuatannya. Jika tidak, maka jauhilah. Inilah petunjuk Islam untuk membimbing manusia agar tidak tersalah jalan. Sebabnya, penyesalan akibat menyimpang dari jalan Rasulullah SAW., adalah penyesalan yang tidak berkesudahan. Wal ’iyâdzu bilLâh.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2023/01/08/16446/
#Nafsiyah #AkidahIslam #SyariatIslamSebagaiCaraHidup
#JalanKebenaran
#SesalTidakBerguna