[Tadabbur Al-Quran Ramadhan] Surah Al-Baqarah Ayat 183
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُون
َ”Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (TMQ Al-Baqarah(2): 183)
KEWAJIPAN PUASA
Allah menyerukan kepada orang-orang beriman dari kalangan umat ini dan memerintahkan kepada mereka berpuasa, iaitu menahan diri dari makan dan minum serta bersetubuh dengan niat yang ikhlas kerana Allah Swt. Ini adalah kerana, di dalam berpuasa mengandungi hikmah membersihkan jiwa, menyucikannya serta membebaskannya dari kebiasaan-kebiasaan yang buruk (bagi kesihatan tubuh) dan akhlak-akhlak yang rendah.
Allah menyebutkan, sebagaimana puasa diwajibkan atas mereka, sesungguhnya Allah pun telah mewajibkannya atas umat-umat sebelum mereka. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya:
لِكُلٍّ جَعَلْنا مِنْكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهاجاً وَلَوْ شاءَ اللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً واحِدَةً وَلكِنْ لِيَبْلُوَكُمْ فِي مَا آتاكُمْ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْراتِ
“Untuk tiap-tiap umat di antara kalian, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kalian dijadikan-Nya satu umat (saja); tetapi Allah hendak menguji kalian terhadap pemberian-Nya kepada kalian, maka berlumba-lumbalah berbuat kebajikan..”[TMQ Al-Maidah (5): 48]
Sesungguhnya telah diriwayatkan bahawa ibadah puasa pada permulaan Islam dilakukan sebagaimana yang biasa dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum kita, iaitu setiap bulannya tiga hari. Riwayat ini dari Muaz, Ibnu Masud, Ibnu Abbas, Ata, Qatadah, dan Ad-Dahhak Ibnu Muzahim. Puasa demikian masih terus berlangsung sejak zaman Nabi Nuh AS sehinggalah Allah me-nasakh-nya dengan puasa bulan Ramadan (turunnya ayat ini).
PUASA MEMBINA KETAKWAAN
Ramadhan merupakan madrasah takwa, perhatikanlah bagaimana kata takwa disebutkan di awal ayat dan di akhir ayat di antara ayat-ayat puasa; hal itu kerana puasa menjadi salah satu hal yang paling agung untuk mewujudkan ketakwaan dalam diri seorang hamba, maka hendaklah kita melihat bagaimana pengaruh puasa terhadap ketakwaan kita kepada Allah baik dalam hal pendengaran dan penglihatan mahupun ucapan; agar kita mencapai sebuah tujuan yang mulia : { لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ }
Ketakwaan adalah hikmah dari puasa. Mereka yang berpuasa mestilah senantiasa memperhatikan dan mengupayakan secara maksima agar ketakwaan terwujud dalam dirinya. Ini kerana ketakwaan merupakan darjat yang paling mulia bagi hamba yang beriman.
Rujukan:
Tafsir Ibnu Katsir (Pustaka Imam Asy-Syafi’i)