Kebinasaan Suatu Negeri (Tafsir Surah Al-Qashash Ayat 58)
Penulis: Siti Murlina
Allah SWT. adalah Rabb Yang Maha Menciptakan (Al-Khaliq) dan sebagai Pengatur (Al-Mudabbir), Maha Adil terhadap seluruh makhluk dan ciptaan-Nya. Mustahil tersemat kekurangan, sewenang-wenangnya, dan sifat daif yang lain. Rahmat dan keampunan-Nya sangat luas untuk hamba-Nya.
Tidaklah Dia membinasakan suatu negeri dan penduduknya, sebelum mengutus para rasul kepada mereka untuk memberi peringatan. Sebagaimana firman-Nya,
وَمَا كَانَ رَبُّكَ مُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ حَتَّىٰ يَبْعَثَ فِىٓ أُمِّهَا رَسُولًا يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَٰتِنَا ۚ وَمَا كُنَّا مُهْلِكِى ٱلْقُرَىٰٓ إِلَّا وَأَهْلُهَا ظَٰلِمُونَ
“Tuhanmu tidak akan membinasakan negeri-negeri, sebelum Dia mengutus seorang rasul di ibu kotanya yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Tidak pernah (pula) Kami membinasakan (penduduk) negeri-negeri kecuali penduduknya dalam keadaan zalim.” [TMQ Al-Qashash (28): 59]
Tentang ayat di atas, Imam Jalaluddin as-Suyuthi dan Jalaluddin al-Mahally menjelaskan dalam Tafsir Jalalain, “Dan tiadalah Rabb-mu membinasakan kota-kota disebabkan kezaliman yang dilakukan oleh penduduknya sebelum Dia mengutus di ibu kota iaitu ke kota terbesar negeri itu seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka dan tidak pernah pula Kami membinasakan kota-kota kecuali penduduknya dalam keadaan melakukan kezaliman iaitu mendustakan rasul-rasul.”
Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT menceritakan tentang keadilan-Nya yang tidak membinasakan seseorang secara zalim. Dia hanya membinasakan seseorang jika telah disampaikan hujah kepadanya.
Beliau menjelaskan dengan lebih lanjut dan tidaklah Rabb-mu membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kota iaitu Mekah seorang rasul yang membacakan ayat-ayat Kami, yang di dalamnya mengandungi petunjuk bahawa nabi yang ummi, Muhammad SAW yang diutus dari ibu kota itu adalah seorang rasul untuk seluruh negeri, baik Arab mahupun ‘ajam. Penjelasan ini sesuai dengan sabda Rasulullah SAW., “Aku diutus kepada orang-orang kulit merah dan orang-orang kulit hitam.” (HR Bukhari dan Muslim)
Menurut tafsir surah Al-Qashash: 59 ini menjelaskan bahawa menurut sunnah-Nya, Allah tidak pernah membinasakan suatu kota, kecuali terlebih dahulu mengutus seorang rasul ke kota itu untuk membacakan kepada penduduknya ayat-ayat Allah yang berisi kebenaran.
Daripada penjelasan beberapa ahli tafsir, mereka dan kita sepakat bahawa bentuk kezaliman terbesar yang dimaksudkan dalam ayat tersebut iaitu apabila penduduk negeri-negeri Islam hari ini, adalah mengabaikan syariat Allah SWT dalam seluruh aspek kehidupan.
Namun, pembinasaan umat secara besar-besaran seperti yang berlaku pada umat-umat terdahulu tidak berlaku pada umat Nabi Muhammad SAW. Beliau adalah nabi terakhir yang diutus bagi seluruh alam sehingga pembinasaan total sudah tidak berlaku lagi. Apa yang berlaku hanyalah pembinasaan sebahagian atau setempat seperti bencana penyakit, bencana alam, banjir kilat, gempa bumi, gelombang tsunami, dan sebagainya.
Justeru, boleh jadi bencana yang menimpa negara ketika ini seperti letusan gunung berapi, gempa bumi, banjir, dan sebagainya sebenarnya adalah peringatan daripada Allah SWT sebagai kesan kezaliman yang dilakukan oleh penduduk negara ini secara berterusan. Sebagaimana firman Allah SWT.,
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِيْنَ حَتّٰى نَبْعَثَ رَسُوْلًا
“Dan Kami tidak akan mengazab sebelum kami mengutus seorang rasul.“ [TMQ Al-Isra’ (17): 15]
Utusan Muhammad SAW sebagai nabi terakhir bererti Allah tidak akan mengutus nabi atau rasul setelah beliau. Sedangkan tugas dan tanggungjawab dakwah untuk meneruskan risalah tersebut kepada umat, terletak di pundak para ulama.
Dalam pada itu, para ulama telah berusaha mengingatkan dan mendakwahkan syariat Islam sebagai solusi kepada masalah yang berlaku hari ini kepada umat dan penguasa, tetapi sebaliknya mereka ditangkap dan dipenjarakan.
Daripada penjelasan ayat tersebut dan kaitannya dengan peristiwa yang berlaku ketika ini, kita sebagai umat Islam telah diperintahkan oleh Allah SWT. untuk melawan kezaliman dan kemungkaran tersebut. Tidak boleh berdiam diri, apatah lagi ikut menyokong pelakunya. Nauzubillah. Wallahualam bissawab.
Sumber: suaramubalighah.com
#TafsirAlQuran
#KebinasaanSuatuNegeri
#RasulSebagaiUtusan
#PemberiPeringatan