[Hadis Ramadhan 1] ☘️ Perintah Puasa ☘️
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (TMQ Al-Baqarah [2]: 183)
Dalam sebuah hadits disebutkan:
حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ مُوسَى، قَالَ: أَخْبَرَنَا حَنْظَلَةُ بْنُ أَبِي سُفْيَانَ، عَنْ عِكْرِمَةَ بْنِ خَالِدٍ، عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
.بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Musa, ia berkata: Telah mengabarkan kepada kami Hanzhalah bin Abu Sufyan, dari ‘Ikrimah bin Khalid, dari Ibnu Umar, dia berkata: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Islam dibangun diatas lima (landasan): Persaksian tidak ada illah selain Allah dan sesungguhnya Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, haji dan puasa Ramadhan” (HR. Bukhari No. 7).
Puasa Ramadhan merupakan perintah wajib dari Allah dan merupakan salah satu rukun Islam. Apabila seorang muslim mengingkari kewajipan (tidak menganggap wajib) puasa Ramadhan, maka dia meninggalkan salah satu rukun Islam dan konsekuensinya adalah kafir. Jika meninggalkan puasa Ramadhan hanya kerana alasan malas saja, maka pelakunya dikatagorikan fasiq dan wajib bertaubat serta qadha’ (mengganti puasa) di luar bulan Ramadhan sebelum mati. Apabila meninggalkan puasa Ramadhan kerana alasan syarak seperti sakit, safar, haid, menyusui anak atau nifas, maka puasa mesti di qadha’ di bulan lain.
Selain kewajipan, puasa Ramadhan juga bertujuan agar orang yang berpuasa menjadi muslim yang bertakwa. Jika sudah bertakwa, maka seluruh kehidupan menjadi berkah, dimudahkan urusan, diberikan solusi ketika ada permasalahan dan pada akhirnya menjadi penghuni syurga. Betapa besar penantian kerinduan syurga kepada calon penghuninya.
Semoga puasa Ramadhan benar-benar menjadikan kita para hamba Allah yang bertakwa. Aamiin. Wallahu A’lam.
Sumber: Pusat Pendidikan Hadits Ma’had Khadimus Sunnah Bandung