[KELUARGA] Lima Saranan agar Anak Tidak Membenci Dakwah
Penulis: Ustaz Iwan Januar
Di sebuah kumpulan dalam aplikasi WhatsApp seorang kawan bercerita ada pasangan suami isteri yang merupakan aktivis dakwah sedang mengalami masalah dengan anaknya. Anaknya tidak mengikut jejak langkah kedua ibu bapanya malah membenci dakwah.
Beberapa tahun lalu, seorang kawan rapat memperingatkan saya tentang hasil temuan sebuah kajian skala kecil di sebuah sekolah Islam. Kebanyakan ibu bapa para siswa di sekolah tersebut merupakan seorang dai dan daiyah. Namun, saat ditanya hal ehwal aktiviti dakwah kedua ibu bapa, ramai di kalangan anak-anak tidak menyukai aktiviti dakwah.
Melihat keadaan ini sudah pasti ibu bapa akan merasa bimbang dan khuatir. Setiap ibu bapa pasti berharap agar anak-anaknya menjadi anak soleh solehah, lebih-lebih lagi harapan ibu bapa yang merupakan aktivis dakwah pasti mahu anaknya menjadi pengemban dakwah juga.
Namun, jangan terburu-buru menyalahkan anak apabila mereka membenci aktiviti dakwah kedua ibu bapa mereka. Ibu bapa perlu melakukan introspeksi diri, pasti ada faktor-faktor tertentu yang menyebabkan anak bersikap demikian.
Perkara yang perlu direnungi adalah apakah ibu bapa telah menunaikan hak-hak anak? Jangan sampai kesibukan dakwah menyebabkan anak-anak terabai, seterusnya anak-anak merasa kurang kasih sayang dari kedua ibu bapanya.
Nabi SAW pernah mengingatkan Abdullah bin Umar RA saat dia terlihat kuyu dan kelelahan kerana sibuk beribadah. “Sesungguhnya ada hak untuk matamu, untuk dirimu sendiri, dan untuk keluargamu,” tausiah Nabi SAW dalam hadis yang diriwayatkan Imam Muslim.
Hadis di atas mengingatkan kita bahawa semua kewajipan perlu ditunaikan sebaik-baiknya. Bukan aktiviti dakwah semata, tetapi juga kewajipan menunaikan hak anak dalam keluarga. Baik oleh bapa mahupun ibunya.
Kadang-kadang ada ibu bapa yang terlupa bahawasanya anak juga adalah aset umat, mad’u yang kelak akan tumbuh sebagai pilar-pilar dakwah. Mohon maaf, terkadang ada kesan heroik pada diri seorang dai dan daiyah ketika mereka “melepaskan” hak-hak anak.
Ketika anak sedang sakit atau menghadapi ujian, menjadi momen yang penting bagi ayah, apatah lagi ibunya untuk mendampingi mereka. Khususnya bagi anak yang belum dewasa, curahan kasih sayang masih lebih banyak diperlukan sebelum penanaman pemahaman tsaqafah Islam.
Lima Saranan Agar Anak Tidak Membenci Dakwah
Ada beberapa hal yang perlu diperhatikan bagi kedua ibu bapa dalam kesibukan dan kemuliaan aktiviti dakwah, agar anak tidak membenci apa yang dilakukan anda berdua:
1) Ajak si buah hati bersama dalam aktiviti dakwah. Memang agak menyusahkan, lebih-lebih jika anak-anaknya lebih ramai. Namun, itulah heroiknya amal Anda berdua. Sering saya melihat dalam aktiviti masirah (demonstrasi jalanan), seorang ibu membawa lebih daripada dua orang anak.
Insya Allah amal soleh ibu bapa akan tercatat sebagai jerih payah pendidikan anak di jalan Allah. Jangan lupa jadikan safari dakwah ini sebagai “picnic” yang menyenangkan, bukan menegangkan.
2) Dampingi mereka pada saat penting. Sempatkan beberapa kali dalam seminggu untuk menghantar mereka berangkat ke sekolah atau menjemput mereka pulang. Temani saat sakit atau saat dilanda ujian. Kasih sayang jauh lebih bermakna berbanding menanamkan informasi pentingnya dakwah pada mereka. Bukankah ini termasuk jenis ri’ayah dan mutaba’ah kepada mad’u dakwah?
3) Adillah pada mereka. Anak-anak adalah anak-anak, bukan orang dewasa. Kita boleh menunda atau membatalkan rancangan kunjungan ke rumah nenek atau jalan-jalan ke taman rekreasi tanpa perasaan menyesal, tetapi tidak untuk anak. Ketika haknya diabaikan, dia akan merasa diabaikan.
Jadi bersikap adillah pada mereka. Tunaikan hak mereka. Anda tidak akan berdosa di mata Allah dengan sekadar mengajak mereka makan bakso, pergi ke taman bermain, atau bersilaturrahmi ke rumah sanak keluarga.
4) Jangan beri amanah di luar kemampuan mereka. Seorang remaja perempuan pernah mengeluh kerana ibunya sering membebani dia untuk mengurus adik-adiknya dan mengurus rumah jika si ibu pergi berdakwah.
Ya, bagi orang dewasa, terasa wajar jika keluar rumah dan meninggalkan pesan-pesan terkait kerja rumah kepada orang lain. Namun, tidak untuk anak-anak. Ada batas kemampuan pada mereka. Jadi, ibu bapa hendaklah bijak saat memberikan amanah kepada si sulung soal urusan rumah.
5) Tanamkan pemahaman sesuai tahap fikiran mereka. Dalam fasa pertumbuhan, kemampuan anak juga berkembang. Mula menanamkan erti penting berdakwah kepada mereka sesuai fasa berfikir mereka. Apabila poin 1-4 berjalan dengan baik, insyaallah proses penanaman pemahaman ini akan menjadi lebih mudah.
#keluarga #parenting #keluargadakwah #cintadakwah #cintakeluarga