[KELUARGA] Keluarga Muslim, Ramadhan Disirami Pahala, Ayuh Berlumba-lumba untuk Meraihnya!
Penulis: Najmah Saiidah
Alhamdulillah, Ramadhan bulan mulia dan penuh keberkatan semakin menghampiri kita. Bulan istimewa yang Allah melipatgandakan pahala. Memberi minuman seteguk atau dua teguk ketika berbuka kepada orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan akan mendapatkan pahala yang sama dengan orang yang berpuasa. Allah membukakan pintu-pintu kebaikan bagi orang-orang yang menginginkannya. Masya-Allah!
Sesungguhnya kehadiran Ramadhan merupakan kenikmatan luar biasa yang Allah berikan untuk seluruh keluarga muslim. Bulan rahmat dan keberkatan, di mana kita diwajibkan berpuasa sebulan penuh dengan pahala melimpah ruah, bulan diturunkan al-Quran dan lebih istimewa lagi, di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar.
Demikian istimewanya bulan Ramadhan, tentunya kita harus menyambutnya dengan penuh kegembiraan, penuh harapan, dan selalu berusaha untuk menjadi lebih baik di bulan Ramadhan kita tahun ini. Pada bulan penuh berakah ini, kita hendaklah memperbanyakkan takarub kepada Allah SWT., meningkatkan keyakinan dan keimanan. Semoga kita dan keluarga dapat menjalani puasa Ramadhan dengan penuh kegembiraan, penuh ketaatan kepada Allah SWT., dan kesejahteraan serta selamat hingga ke penghujung Ramadhan.
Kita berharap agar amalan kita pada bulan Ramadhan diterima oleh Allah SWT., sebagaimana doa yang kita panjatkan sebelum memasuki Ramadhan.
مُتَقَبَّلاً مِنِيْ وَتَسَلَّمْهُ رَمَضَانَ لِـيْ سَلِّمْ وَ رَمَضَانَ إِلَى سَلِّمْنـِيْ اَللَّهُمَّ
“Ya Allah, hantarkanlah aku hingga sampai Ramadhan, dan hantarkanlah Ramadhan kepadaku, dan terimalah amalan-amalanku di bulan Ramadan.”
Ramadhan, Bulan Disirami Pahala
Allah SWT telah memilih Ramadhan dengan keutamaan dan kekhususan berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Kita mestilah memahami dengan sepenuh keimanan dan ketakwaan bahawa ini semua adalah sebagai satu bentuk nikmat dan kurniaan Allah kepada hamba-hamba-Nya agar sentiasa bersemangat mendekatkan diri kepada-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dimurkai-Nya.
Ramadhan adalah peluang yang telah Allah kurniakan kepada kita untuk memperbanyak amal kebaikan kerana sekecil-kecil kebaikan apa pun semua bernilai pahala yang besar. Apatah lagi kita sebagai seorang ibu yang setiap hari menyediakan juadah berbuka untuk seluruh ahli keluarga, semoga Allah memberi kelapangan kepada kita agar dapat menunaikan kewajipan kita dengan sebaik-baiknya. Amin.
Allah SWT. melalui Rasulullah SAW. telah memberikan penjelasan kepada kita tentang banyaknya pahala di bulan Ramadhan. Seperti yang dijelaskan dalam hadis,
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Barangsiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (HR Tirmidzi).
Dari petikan khutbah Rasulullah ketika hendak memasuki bulan Ramadhan, Rasulullah SAW. bersabda, “Wahai manusia! sesungguhnya kamu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah jadikan puasanya suatu fardhu, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu’. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu kebajikan di dalamnya, sama seperti orang yang mengerjakan suatu fardhu di dalam bulan yang lain. Ramadhan adalah bulan sabar, manakala sabar itu adalah ganjarannya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan (syahrul muwasah) dan bulan Allah memberikan rezeki kepada orang mukmin di dalamnya.”
“Barang siapa memberikan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ini adalah merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makan itu mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa dikurangi sedikit pun.” Para sahabat berkata, “Ya Rasulullah, tidak semua dari kami mempunyai makanan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa.” Maka Rasulullah SAW. bersabda, “Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi sebutir kurma, atau seteguk air, atau seteguk susu.”
“Barang siapa yang meringankan beban seorang hamba (atau pembantu rumah tangga) maka Allah akan mengampuni dosanya dan membebaskannya dari neraka. Oleh itu, perbanyakkan empat perkara dalam bulan Ramadhan; dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhanmu dan dua perkara lagi yang kamu sangat inginkan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan memohon keampunan kepada-Nya. Dua perkara yang kamu sangat memerlukannya ialah meminta syurga dan perlindungan dari neraka. Barang siapa yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Ku dengan suatu minuman yang dia tidak akan rasa haus lagi sesudahnya sehingga dia masuk ke dalam syurga.” (HR Ibnu Huzaimah).
Keluarga Muslim Berlumba-lumba Meraih Pahala
Allah SWT telah mengurniakan kenikmatan yang luar biasa pada Ramadhan ini, keluarga muslim bersemangat untuk melakukan lebih banyak amal soleh. Menuntut ilmu, beribadah, memenuhi akad atau muamalah yang lain, menghiasi dirinya dengan akhlak yang terpuji.
Pada bulan ini, keadaan ruhiyah umat berada di kemuncaknya, semua amal kebaikan akan berusaha dikejar untuk mendapat pahala yang melimpah-ruah. Kemudian apakah amalan yang boleh dilakukan bersama oleh keluarga muslim pada bulan Ramadhan ini agar pahala tercurah untuk kita sekeluarga? Sekurang-kurangnya terdapat empat aktiviti iaitu:
Pertama, lakukan ibadah bersama keluarga.
Di bulan Ramadhan, kita dan keluarga dapat lebih banyak mendekatkan diri kepada Allah dan dalam masa yang sama mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli keluarga dengan melakukan pelbagai ibadah fardhu dan sunat bersama. Kita dan keluarga boleh mengintensifkan solat berjemaah setiap waktu solat fardhu, sekurang-kurangnya solat Maghrib, Isyak, dan Subuh bersama-sama baik di masjid atau di rumah. Selain itu, kita dapat memperbanyakkan amalan solat sunat bersama, khususnya solat tarawih tentunya. Selain itu, solat Dhuha bersama sebelum beraktiviti ke sekolah atau ke tempat kerja, atau melaksanakan solat tahajjud menjelang sahur.
Tadarus yang biasa kita lakukan di masjid, kita boleh lakukan di rumah bersama suami dan anak-anak, demikian juga dengan murajaah. Di kesempatan ini, kita sekeluarga dapat saling belajar dan menyegarkan ilmu pengetahuan dan pemahaman ilmu tajwid kita serta meningkatkan hafalan kita dan keluarga. Malah kita boleh saling membetulkan bacaan satu sama lain. Anak-anak juga boleh membetulkan bacaan ayah ibu.
Peluang ini bukan sahaja untuk menjadi lebih mahir dalam ilmu tajwid, tetapi juga untuk melatih anak-anak berdikari dan berani menyampaikan ilmu dan kefahaman. Ini sangat baik untuk meningkatkan keyakinan diri anak-anak, juga mewujudkan kebersamaan dalam keluarga, serta memupuk rasa saling menyayangi dan saling menghormati yang lebih kuat sesama ahli keluarga.
Di kesempatan ini juga kita dan anak-anak dapat bersaing dalam mengkhatam al-Quran. Ibu bapa boleh memotivasikan anak-anak mereka untuk menyelesaikan bacaan al-Quran minimum 30 juz dalam sebulan dan juga boleh memberi ganjaran untuk anak-anak kita dengan pelukan, thumbs up, atau hadiah sederhana yang membuat mereka semakin bersemangat.
Kedua, menuntut ilmu Islam bersama dan aktif berdakwah.
Bukan hanya aktiviti ibadah mahdhah sahaja yang mesti kita dan keluarga perbanyakkan di bulan Ramadhan ini, tetapi semua amal soleh. Sama ada menuntut ilmu, memenuhi akad atau muamalah yang lain, menghiasi diri kita dengan akhlak yang terpuji, demikian halnya dengan aktiviti dakwah dan menyeru kepada pelaksanaan syariat Islam, kita harus lebih memperkasakannya.
Selama Ramadhan kita mempunyai peluang yang luas untuk berdakwah kerana setiap orang dalam bulan berada dalam keadaan rohani yang baik sehingga mereka bersedia menerima nasihat. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini, walaupun kita tidak dapat bertemu secara langsung tetapi kita boleh melakukannya dalam online sebagai contoh, atau menghantar mesej melalui WhatsApp atau telegram, atau membuat tulisan kemudian menghantarnya ke media online. Banyak yang boleh kita lakukan selain melaksanakan ibadah mahdhah.
Rasulullah SAW bersabda, “Barang siapa menunjukkan kebaikan, baginya pahala sebagaimana orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”.
Ketiga, saling melakukan khidmat (layanan/membantu) sesama ahli keluarga.
Sesungguhnya khidmat, sekecil mana pun adalah amal soleh. Membangunkan keluarga untuk bersahur bersama-sama, membantu menyediakan juadah berbuka merupakan satu kebaikan.
Banyak hadis menjelaskan hal ini, di antaranya sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah, dia berkata Rasulullah SAW. bersabda, “Setiap kebaikan adalah sedekah. Dan di antara bentuk kebaikan adalah kamu menjumpai saudaramu dengan wajah yang menyenangkan. Dan kamu menuangkan air dari baldimu ke dalam bejana milik saudaramu.” (HR At-Tirmidzi).
Menuangkan air ke dalam bejana saudara kita adalah sejenis khidmat (pelayanan). Rasulullah SAW. menyebut sebagai bentuk kemakrufan seperti berwajah mesra. Sesuatu yang disebut makruf adalah amal soleh sehingga boleh dikatakan khidmat adalah amal soleh.
Lebih penting lagi jika yang dilayani adalah orang yang berpuasa, kerana melayani orang yang berpuasa dan meringankan pekerjaan atau kesusahan mereka boleh menjadikan orang yang melayani mendapat pahala seperti orang yang berpuasa.
Imam Muslim meriwayatkan, dari Anas ra., Dia berkata, “Dulu kami pernah bermusafir bersama Nabi dan di antara kami ada yang berpuasa dan ada pula yang tidak. Kemudian pada hari yang sangat panas itu kami berhenti di suatu tempat dan orang yang boleh berteduh hanyalah orang yang mempunyai pakaian, bahkan di antara kami ada orang berteduh dari sinar matahari hanya dengan tangan. Maka jatuhlah mereka yang berpuasa. Maka, orang yang tidak berpuasa bangun, kemudian mendirikan khemah dan memberi minum haiwan tunggangan mereka.” Maka Rasulullah SAW pun bersabda, “Hari ini mereka yang berbuka telah menuai pahala.” (HR Muslim).
Keempat, iktikaf bersama keluarga.
Sepuluh hari terakhir Ramadhan adalah hari-hari yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana pada salah satu malam daripada sepuluh malam terakhir ada malam lailatul qadar. Dalam beberapa hadis dijelaskan bahawa malam lailatul qadar jatuh pada salah satu malam ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.
Setiap muslim menyasarkan pahala besar yang tersimpan pada malam mulia tersebut. Oleh itu, pada sepuluh malam terakhir biasanya umat Islam, baik lelaki mahupun perempuan biasanya lebih banyak melakukan ibadah-ibadah sunat dan melakukan iktikaf di masjid, sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW. dan keluarganya.
Ibunda ‘Aisyah ra. berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW. telah melakukan iktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan sehingga Allah SWT mewafatkan beliau, kemudian isteri-isteri beliau pun melakukan iktikaf selepas kewafatan beliau.” (HR Bukhari, Muslim, Abu Dawud, dan Ahmad).
Rasulullah SAW. biasanya beriktikaf di bulan Ramadhan. Apabila selesai dari solat subuh, beliau masuk ke tempat khusus iktikaf beliau. Kemudian ‘Aisyah ra. meminta izin untuk dapat beriktikaf bersama beliau, maka beliau mengizinkannya.
Khatimah
Demikianlah, Ramadhan adalah momentum apabila individu dan keluarga muslim berlumba untuk memperbanyak amal kebaikan supaya mendapat pahala yang melimpah ruah. Bahkan seorang ibu yang terhalang berpuasa kerana ada uzur syarie juga masih boleh mendapat pahala melimpah ruah dari Allah SWT. dalam pelbagai aktiviti.
Semoga Allah memberi kelapangan dan kemudahan kepada kita sehingga kita dan keluarga dapat menunaikan kewajipan dan amal soleh yang lain dengan sebaik mungkin. Amin. Wallahualam bissawab.
Sumber:
Keluarga Muslim, Ramadan Bertabur Pahala, Ayo Berlomba-lomba untuk Meraihnya
#Keluarga #Perkahwinan #Ramadhan