[POLITIK RAMADHAN] RAMADHAN DAN DAKWAH
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِۖ وَجَٰدِلۡهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ
“Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sungguh Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya, dan Dia pula yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. [TMQ an-Nahl (16): 125].
Dakwah merupakan kewajipan syarie. Dakwah yang benar adalah dakwah yang didasarkan pada manhaj dakwah Rasulullah saw. Justeru, keteladanan kepada Rasulullah saw (surah al-Ahzab ayat 21) adalah merangkumi meneladani Baginda dalam metod dakwah untuk menegakkan kehidupan Islam secara menyeluruh (kaffah), bukan dengan mengikut kehendak penguasa atau makhluk lain. Bahkan dakwah yang haq sudah pasti akan berdepan dengan penolakan dan penentangan sebagaimana yang dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat.
Sebagaimana halnya berbagai pertentangan dan permusuhan terhadap dakwah merupakan sunnatullah, Allah juga menyiapkan kemenangan dakwah sebagaimana Dia memenangkan dakwah para nabi dan rasul yang mulia. Justeru, para pedakwah mestilah yakin bahawa Allah SWT pasti memenangkan dakwah yang benar. Sejarah membuktikan sudah banyak rejim zalim tumbang dan dikalahkan oleh dakwah. Misalnya, Namrudz tumbang sementara dakwah Ibrahim terus berjalan. Firaun hancur binasa, sementara dakwah Musa terus berlangsung. Musyrik Quraisy habis tak bersisa, sementara dakwah Rasulullah saw. tetap wujud melampaui zaman. Oleh demikian, pilihan yang ada bagi kita hanya satu, iaitu tetap ada dalam barisan dakwah, konsisten memperjuangkan dakwah Islam.
Semoga dalam bulan mulia ini menjadi momentum untuk kita mengukuhkan ketakwaan diri dengan memperkasakan lagi dakwah dan aktiviti amar makruf nahi munkar, merubah kegelapan dunia di bawah tatanan sekular cahaya Islam yang terang benderang.
#KembalikanKhilafah
#100TahunRamadhanTanpaKhilafah
#Ramadhan1442h