[Soal Jawab] Hukum Tidak Berpuasa Ramadhan Tanpa Uzur Syarie
Oleh: Ustaz M. Shiddiq al-Jawi
Soalan:
Ustaz, apa hukumnya meninggalkan puasa Ramadhan tanpa alasan syarie? Apa hukumnya bagi orang tersebut menurut syariat Islam?
Jawapan:
Muslim yang meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur syarie, misalnya sakit atau sedang dalam perjalanan, bererti telah melakukan dosa besar (itsmun kabiir) dan berhak mendapatkan hukuman di dunia dan azab di akhirat. Syeikh Mahmud ‘Abdul Lathif ‘Uwaidhah berkata,
فإن التارك لهذا الركن ، أو حتى المقصِّر فيه ليستحق العذاب الأليم في الآخرة فضلاً عن إيقاع دولة الخلافة العقوبة عليه في الدنيا
“Siapa saja muslim yang meninggalkan puasa Ramadhan, dan bahkan yang sekadar melalaikannya [misalnya berbuka sebelum waktunya], sungguh dia berhak mendapatkan azab yang pedih di akhirat dan lebih-lebih lagi dia juga mendapatkan hukuman dari negara Khilafah di dunia.” (Mahmud ‘Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al Jami’ li Ahkam Ash Shiyam, hlm. 54).
Azab yang pedih di akhirat tersebut, antara lain dijelaskan dalam hadis dari Abu Umamah Al Bahili RA bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda,
بينا أنا نائم إذ أتاني رجلان فأخذا بضبعي فأتيا بي جبلا وعرا فقالا لي اصعد فقلت إني لا أطيقه فقالا إنا سنسهله لك فصعدت حتى إذا كنت في سواء الجبل إذا أنا بأصوات شديدة فقلت ما هذه الأصوات قالوا هذا عوى أهل النار ثم انطلق بي فإذا أنا بقوم معلقين بعراقيبهم مشققة أشداقهم تسيل أشداقهم دما قال قلت من هؤلاء قال هؤلاء الذين يفطرون قبل تحلة صومهم
“Pada saat saya tidur, (dalam mimpiku) tiba-tiba datang kepadaku dua orang lelaki, lalu keduanya memegang lenganku dan membawaku ke sebuah gunung yang curam. Keduanya mengatakan, ‘Naiklah!’ Aku menjawab, ‘Aku tidak mampu naik.’ Keduanya berkata, ‘Kami akan membantumu naik.’ Lalu aku pun naik dan sampai ke puncak gunung. Tiba-tiba aku mendengar teriakan yang sangat keras. Aku bertanya, ‘Suara apakah ini?’ Mereka menjawab,’Ini adalah teriakan penghuni neraka.’ Kemudian aku meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku melihat orang-orang digantung pada urat-urat di atas tumit mereka (secara terjungkit), yang terkoyak pada sudut mulut mereka, dan darah pun mengalir dari sudut-sudut mulut mereka.’ Aku berkata, ’Siapakah orang-orang ini?’ Kedua lelaki itu menjawab, ’Mereka adalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum waktunya [meninggalkan puasa Ramadhan].’” (HR An-Nasa`i, dalam As-Sunan Al-Kubra, No. 3286; Al-Hakim, dalam Al-Mustadrak, No. 1568, Sahih Ibnu Khuzaimah, No. 1986; Sahih Ibnu Hibban, No. 7491.
Kata Imam Al-Hakim, “Hadis ini sahih menurut syarat Imam Muslim.” Lihat Mahmud ‘Abdul Lathif ‘Uwaidhah, Al-Jami’ li Ahkam Ash Shiyam, hlm. 54; Abdurrahman Al Harafi, Ahkamush Shiyam, hlm. 26; Ahmad Huthaibah, Al Jami’ li Ahkam Ash-Shiyam, hlm. 27).
Selain hadis tersebut, juga terdapat hadis-hadis lain yang menunjukkan betapa tercelanya perbuatan meninggalkan puasa Ramadhan tanpa uzur syarie. Dari Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda,
من أفطر يوما من رمضان من غير رخصة رخصها الله لم يقض عنه وإن صام الدهر كله
“Barang siapa yang berbuka [meninggalkan puasa] satu hari dari bulan Ramadhan tanpa ada suatu rukhsah yang ditetapkan Allah, maka dia tidak dapat mengqadanya dengan puasa setahun penuh walaupun dia melakukan puasa setahun penuh.”(HR An Nasa`i, dalam As-Sunan Al-Kubra, No. 3283; Ahmad, dalam Al-Musnad, 2/386, No. 9002. Hadis ini dinilai hasan oleh Imam Jalaluddin As-Suyuthi, Al-Jami’ Al-Shaghir, 2/166).
Begitu juga, muslim yang menjual makanan/minuman kepada muslim yang tidak berpuasa, sedang dia tahu pembelinya itu tidak berpuasa Ramadhan tanpa uzur syarie, maka penjual itu juga turut berdosa dan turut memikul dosa yang sama dengan dosa pembeli. Kaedah fikh menyatakan,
كل بيع أعان على معصية حرام
Kullu bai’in a’aana ‘ala ma’shiyatin haraam. (Setiap jual beli yang membantu suatu kemaksiatan hukumnya haram). (Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 1035, syarah hadis No. 2193).
Kaedah fikh lain menetapkan,
من أعان على معصية فهو شريك في الإثم
Man a’ana ‘ala ma’shiyatin fahuwa syariik[un] fi al itsmi. (Barang siapa membantu suatu kemaksiatan, maka dia telah bersekutu dalam dosa kemaksiatan itu). (Syarah Ibnu Bathal, 17/207).
Adapun hukuman dari negara Khilafah, berupa takzir, iaitu hukuman yang bentuk dan kadarnya tidak ditetapkan secara khusus oleh syariat. Jika hukuman takzirnya tidak diterapkan oleh Imam (Khalifah), maka qadhi (hakim) berhak menentukan sendiri takzirnya.
Menurut Syeikh Abdurrahman Al-Maliki, seorang muslim yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan tanpa uzur syarie, maka dia akan dihukum penjara selama 2 (dua) bulan untuk setiap hari puasa yang ditinggalkan. Jika dia tidak berpuasa secara terbuka di hadapan umum seterusnya menodai kesucian bulan Ramadhan, maka hukumannya ditambah dengan penjara hingga maksimum 6 (enam) bulan (Abdurrahman Al Maliki, Nizhamul ‘Uqubat, hlm. 200). Wallahualam.
#soaljawab #hukumfikh #hukumtidakberpuasa #tidakpuasa