[SYARAH HADIS] Inspirasi Hadis “Dua Junnah”
Penulis: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Perbahasan terkait dengan imamah atau Khilafah tersebar dalam banyak hadis Nabi dan ratusan kitab para ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Setelah menerima kitab-kitab hadis, perkataan “junnah” ternyata hanya digunakan pada dua perkara, puasa dan pemimpin. Ini sangat menarik.
Puasa adalah Perisai
Puasa adalah ibadah yang istimewa kerana memiliki banyak keutamaan. Di antara keistimewaannya adalah, puasa merupakan perisai bagi seorang Muslim. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW. bersabda,
الصِّيَامُ جُنَّة
“Puasa adalah perisai.” (HR Bukhari dan Muslim).
Adapun yang dimaksud puasa sebagai (جُنَّة) (perisai) adalah puasa akan menjadi pelindung yang akan melindungi pelakunya di dunia dan juga di akhirat.
Semasa dunia, puasa menjadi pelindung yang akan menghalangnya mengikuti godaan syahwat yang terlarang. Di akhirat, puasa akan menjadi perisai dari api neraka.
Penjelasan tentangnya ada dalam sabda Rasulullah SAW.,
وَالصِّيَامُ جُنَّةٌ وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِم
“Puasa adalah perisai, jika salah seorang dari kalian sedang berpuasa, janganlah berkata keji dan berteriak-teriak, jika ada orang yang mencercanya atau memeranginya, maka ucapkanlah, ‘Aku sedang berpuasa.” (HR Bukhari dan Muslim).
Perisai (جُنَّة) adalah yang melindungi seorang hamba, sebagaimana perisai yang digunakan untuk melindungi ketika perang.
Rasulullah SAW. juga bersabda,
قَالَ رَبُّنَا عَزَّ وَجَلَّ : الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ، وَهُوَ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِه
“Rabb kita ‘azza wa jalla berfirman, ‘Puasa adalah perisai yang dengannya seorang hamba membentengi diri dari api neraka, dan puasa itu untuk-Ku, Akulah yang akan membalasnya.’” (HR Ahmad).
الصيام جنة من النار كجنة أحدكم من القتال
“Puasa adalah perisai dari neraka, seperti perisai salah seorang di antara kamu dari peperangan.” (HR Ahmad, Al-Nasai, dan Ibnu Majah).
Imam adalah Perisai
Rasulullah SAW. bersabda,
إنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ، وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ
“Sesungguhnya al-imam (khalifah) itu (laksana) perisai yang (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)-nya. Jika seorang imam (khalifah) memerintahkan supaya takwa kepada Allah ’azza wajalla dan berlaku adil, dia (khalifah) mendapatkan pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka dia akan mendapatkan seksa.” (HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Abu Dawud, Ahmad).
Hadis ini juga diriwayatkan di dalam Sahih Ibn Khuzaimah, Sunan Daraquthni, Musnad asy-Syamiyyin li Thabarani, Muwatha’ Abdullah bin Wahhab, Mustakhraj Abi ‘Uwanah, dan Musnad Abi Ya’la al-Mushili.
Berdasarkan kualitinya, hadis ini adalah hadis maqbul (diterima sebagai hujah) dengan kategori sahih, iaitu hadis yang diriwayatkan oleh rawi yang tsiqah, sanadnya muttashil (liqa’), matannya marfuk (idhafah pada Nabi), tidak ada illat (penambahan, pengurangan, dan penggantian), dan tidak ada kejanggalan (tidak bertentangan dengan Al-Quran, hadis sahih dan akal sihat).
Frasa “Imam” dalam hadis ini bermakna ‘al-Khalifah’. Al-Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam Al-Sulthaniyyah berkata, “Al-Imamah adalah pembahasan tentang Khilafah Nubuwwah untuk menjaga agama dan mengatur dunia dengannya.” Dengan demikian, wajar ketika al-Imam al-Mula Al-Qari di dalam Mirqât al-Mafâtiih menjelaskan makna imam di dalam hadis ini dengan mengatakan imam yang dimaksudkan adalah Al-Khalifah atau amirnya.
Makna ungkapan kalimat “al-imamu junnah” adalah perumpamaan sebagai bentuk pujian terhadap imam yang memiliki tugas mulia untuk melindungi orang-orang yang ada di bawah kekuasaannya sebagaimana dijelaskan al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim,
“(Imam itu perisai) iaitu seperti as–sitr (pelindung), kerana imam (khalifah) menghalangi/mencegah musuh dari mencelakai kaum muslimin dan mencegah manusia mencelakai antara satu sama llain memelihara kemurnian ajaran Islam, manusia berlindung di belakangnya dan mereka tunduk di bawah kekuasaannya.”
Dengan indikasi pujian, berita dalam hadis ini bermakna tuntutan (thalab), tuntutan yang pasti dan berfaedah wajib.
Sedangkan makna (yuqaatilu min waraa’ihi) iaitu: kaum muslimin akan berperang bersama dengannya (al-khalifah) dalam memerangi orang-orang kafir, para pemberontak, khawarij dan seluruh kelompok-kelompok pembuat kerusakan dan kezaliman secara mutlak. Begitulah yang disampaikan oleh al-Imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim.
Hal itu selaras dengan ungkapan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitabnya Ghiyâts al-Umam fî al-Tiyâts al-Zhulm juz I hlm. 22. Imam al-Mawardi al-Syafi’i dalam al-Ahkam al-Sulthaniyyah hlm. 15 juga mengatakan,
الْإِمَامَةُ: مَوْضُوعَةٌ لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا
“Al-Imâmah: pembahasan terkait khilâfat al-nubuwwah (pengganti kenabian) dalam memelihara urusan Deen ini dan mengatur urusan dunia (dengannya).”
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitabnya Al-Iqtishâd fî al-L’tiqâd hlm. 128 mengumpamakan din dan kekuasaan (kepemimpinan), sebagai saudara kembar (الدّين وَالسُّلْطَان توأمان),
الدّين أس وَالسُّلْطَان حارس فَمَا لا أس لَهُ فمهدوم وَمَا لا حارس لَهُ فضائع
“Al-Deen itu asas dan penguasa itu penjaganya, maka apa-apa yang tidak ada asasnya, akan roboh dan apa-apa yang tidak ada penjaganya, akan hilang.”
Untuk kalimat “jika seorang imam (khalifah) memerintahkan supaya takwa kepada Allah ’Azza wa Jalla dan berlaku adil, maka dia (khalifah) mendapatkan pahala kerananya, dan jika dia memerintahkan selain itu, maka dia akan mendapatkan seksa”, dapat kita fahami bersama bahawa seorang imam (khalifah) diperintahkan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya untuk memerintah manusia yang ada di bawah kekuasaannya dalam ketaatan. Demikian juga wajib memerintah dengan adil iaitu dengan memberlakukan hukum-hukum Allah dalam mengatur hak-hak manusia agar tidak berbuat zalim.
Kesimpulan
Puasa akan menjadi perisai bagi individu muslim di dunia (dari syahwat) dan di akhirat (dari api neraka). Di mana puasa merupakan ibadah yang sangat istimewa dan berada pada bulan yang agung.
Adapun Imam (khalifah) sebagai perisai adalah bahawa tugas seorang Imam atau khalifah itu perlu boleh memberikan rasa aman atas urusan dunia dan agamanya (atas penyimpangan) akibat dari serangan musuh-musuh Islam baik itu dari kalangan kafir ataupun dari kalangan orang-orang munafik.
Kewajiban seorang imam/khalifah juga memerintahkan umat untuk mentaati Allah dan Rasul-Nya serta mengatur (memerintah) mereka dengan adil dan tidak ada hukum yang adil kecuali hukum Allah ‘Azza wa Jalla. Semoga kita semua dapat memiliki dua perisai tersebut dalam waktu dekat ini. Amin. Wallahualam.