[Hadis Ramadhan 14] Lupa Ketika Puasa Ramadhan
Dalam sebuah hadis disebutkan,
حَدَّثَنَا عَبْدَانُ، أَخْبَرَنَا يَزِيدُ بْنُ زُرَيْعٍ، حَدَّثَنَا هِشَامٌ، حَدَّثَنَا ابْنُ سِيرِينَ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِذَا نَسِيَ فَأَكَلَ وَشَرِبَ فَلْيُتِمَّ صَوْمَهُ فَإِنَّمَا أَطْعَمَهُ اللَّهُ وَسَقَاهُ.
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdan, telah mengkhabarkan kepada kami Yazid bin Zurai’, telah menceritakan kepada kami Hisyam, telah menceritakan kepada kami Ibnu Sirin, dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
“Jika seseorang lupa lalu dia makan dan minum (ketika sedang berpuasa), maka hendaklah dia meneruskan puasanya kerana hal itu bererti Allah telah memberinya makan dan minum”. (HR. Bukhari no. 1797).
Salah satu bentuk kasih sayang Allah bagi orang yang berpuasa adalah keringanan ketika dia makan dan minum kerana lupa. Kerana ketidak-sengajaan itulah puasanya menjadi tidak batal. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan di saat lupa itulah Allah memberinya rezeki berupa makanan atau minuman. Orang yang tidak sengaja makan dan minum tidak batal puasanya dan tidak ada kafarat atau qadha merupakan pendapat majoriti ulama fiqih.
Lalu bagaimana dengan jimak kerana lupa? Apakah sama dengan makan atau minum kerana lupa?
Berikut pendapat para ulama:
– Imam Syafi’i dan Hanafi berpendapat bahawa orang yang jimak ketika puasa Ramadhan kerana lupa, tidak batal puasanya. Kerana tidak batal, maka tidak ada qadha’ dan kafarat. Madzhab ini mengqiyaskan dengan hukum bagi orang yang tidak batal puasanya kerana makan dan minum tanpa sengaja.
– Imam Malik berpendapat bagi yang berpuasa Ramadhan kemudian berjimak kerana lupa, batal puasanya dan hanya wajib qadha’ saja tanpa kafarat.
– Imam Ahmad berpendapat, orang yang makan dan minum kerana lupa, puasanya tidak batal. Adapun bagi yang berjimak kerana lupa, maka puasanya batal, wajib qadha’ dan bayar kafarat. Wallau A’lam.
[Sumber: Pusat Kajian Hadis]
🔴 Pusat Pendidikan Hadis Ma’had Khadimus Sunnah Bandung