[TAFSIR AL-QURAN] Ramadhan Syahr al-Jihad: Mengukuhkan Perjuangan Menegakkan Dinullah (Ringkasan Tafsir Balaghah QS Muhammad: 7)
Penulis: Ustaz Irfan Abu Naveed
Ramadhan syahr al-tadhhiyyat (bulan pengorbanan), ia ditandai dengan besarnya pengorbanan Rasulullah ﷺ dan para sahabat memperjuangkan tegaknya Dinullah dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya ia dibuktikan dengan besarnya pengorbanan Rasulullah ﷺ dan para sahabat dalam dua peristiwa monumental yang bersejarah bagi kehidupan umat manusia yang terjadi pada bulan suci Ramadhan: jihad Badar al-kubra dan penaklukan Kota Mekah.
Jihad Badar al-Kubra misalnya, berlaku pada 17 Ramadhan al-Mubarak menandakan peristiwa politik: momentum kewujudan kekuatan politik Islam yang diperintah secara langsung oleh Rasûlullâh ﷺ berpusat di Yasrib (Madinah al-Munawwarah) pasca hijrah dari Mekah, setelah mendapat sokongan sebenar daripada ahl al-quwwah (suku Aus dan Khazraj) yang diisytiharkan dalam Baiat Aqabah II.
Dalam peperangan ini, digambarkan besarnya pengorbanan umat Islam. Mereka hanya berjumlah sekitar 300 orang berhadapan dengan 1,000 tentera kafir Quraisy seperti yang diterangkan dalam banyak catatan sirah nabawiyah.
Menariknya, terdapat detik kegemilangan yang diceritakan dalam catatan sirah, apabila para sahabat yang mulia ini meyakinkan Rasulullah ﷺ akan kesediaan mereka menjadi pembela Dinullah, mengiringi Rasulullah ﷺ dalam perjuangan sehingga umat Islam meraih kemenangan gemilang dalam jihad Badar al-Kubra, sebagaimana disebutkan oleh Prof. Dr. Muhammad Rawwas Qal’ah Ji (w. 1435 H) dalam buku sirah-nya, Ru’yatun Siyâsiyyatun Li al-Sîrah al-Nabawiyyah.
Peristiwa besar ini berlaku pada bulan suci Ramadhan, cukup menunjukkan bahawa bulan suci ini bukanlah masa untuk bermalas-malasan dan tidak melakukan apa-apa, sebaliknya momentum untuk memperkukuh asas perjuangan Islam, momentum untuk mengasah keikhlasan dan kesungguhan berkorban dalam perjuangan menegakkan Dinullah dalam kehidupan, serta membela para pejuangnya dari segala kezaliman. Relevan dengan pujian Rasulullah ﷺ bahawa puasa adalah junnah (perisai) dari kemungkaran dan mengandungi hikmah untuk membentuk insan yang bertakwa (QS Al-Baqarah [2]: 183), ketakwaan adalah kunci kemenangan umat Islam.
Mari kita lihat catatan sirah, apakah yang dilakukan oleh Rasulullah ﷺ semasa perang Badar al-Kubra? Beliau mempersiapkan para sahabat dengan baik dan memastikan kesediaan para sahabatnya berjuang atas dasar motivasi ruhiyah (al-quwwah al-rûhiyyah).
Rasulullah ﷺ dan para mujahid badar memenuhi hukum sebab akibat untuk mencapai kemenangan, di samping menjaga ketakwaan mereka. Mereka bermusyawarah untuk merangka strategi yang betul, menyediakan senjata dan memakai baju perang (contoh baju besi). Tidak cukup hanya di sini, Rasulullah ﷺ juga melengkapi ikhtiarnya dengan memperbanyakkan doa kepada Allah, selain bertawakal kepada-Nya. Nabi ﷺ bersabda ketika berada di Qubbah,
اللَّهُمَّ إِنِّي أَنْشُدُكَ عَهْدَكَ وَوَعْدَكَ اللَّهُمَّ إِنْ شِئْتَ لَمْ تُعْبَدْ بَعْدَ الْيَوْمِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon kepada-Mu akan perjanjian dan janji-Mu. Ya Allah, jika Engkau menghendaki (kehancuran pasukan Islam ini) maka Engkau tidak akan disembah lagi setelah hari ini”.
Maka Abu Bakar memegang tangan beliau ﷺ dan berkata, “Cukuplah wahai Rasulullah. Sungguh engkau telah bersungguh-sungguh meminta dengan terus-menerus kepada Rabb mu.”
Ketika itu beliau ﷺ memakai baju besi lalu tampil sambil bersabda membacakan firman Allah SWT.,
سَيُهْزَمُ الْجَمْعُ وَيُوَلُّونَ الدُّبُرَ {٤٥} بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَىٰ وَأَمَرُّم {٤٦}
“Kesatuan musuh itu pasti akan dicerai-beraikan dan mereka akan lari tunggang langgang. Akan tetapi, sebenarnya hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka (siksaan) dan hari kiamat itu lebih dahsyat dan lebih pahit [TMQ Al-Qamar (54): 45-46].” (HR Al-Bukhari, Ahmad).
Bi nashriLâh, para mujahid Badar yang berjumlah 300 jiwa lebih daripada beberapa puluh orang boleh mencerai-beraikan, menyerang, dan mengalahkan sekitar 1,000 tentera kafir Quraisy. Satu perkara yang perlu difahami ialah kemenangan adalah pertolongan Allah (nashrullah), umat Islam mesti mempersiapkan dan melayakkan dirinya menerima pertolongan daripada-Nya, ini terbukti kemudian dengan kemenangan besar yang diraih oleh umat Islam pada bulan Ramadhan, iaitu penaklukan Kota Mekah (Fath Mekah) daripada tangan kaum Kafir Quraisy.
Menandakan momentum meluasnya kekuasaan politik negara Rasulullah ﷺ, dari Madinah ia berkembang ke Mekah sehingga kaum musyrik Quraisy tunduk kepada kekuasaan Islam dan secara sukarela berbondong-bondong memeluk Islam menyaksikan keluhuran akhlak Islam. Peristiwa besar ini diabadikan dalam QS Al-Nashr [110]: 1-3, dan menariknya hal itu disifatkan sebagai satu pertolongan-Nya (bi nashrillah).
Kedua-dua kemenangan besar ini berlaku apabila umat Islam menegakkan ibadah puasa Ramadhan, maka sangat relevan jika bulan Ramadhan harus dijadikan sebagai momentum menolong agama-Nya dan para pejuangnya, serta menyokong gerakan dakwah Islam yang didirikan untuk merealisasikan perintah agung-Nya dalam QS Ali Imran [3]: 104, suatu kelompok dakwah yang berdiri di atas landasan akidah Islam, kumpulan dari para kader dakwah yang berusaha berpegang teguh kepada tali agama Allah (QS Ali Imran [3]: 103), mendakwahkan penegakan hukum-hukum syariat, menyuruh kepada yang makruf dan melarang dari yang mungkar (QS Ali Imran [3]: 104).
Dakwah ilallah jelas merupakan salah satu amal soleh yang menjadi sebab turunnya pertolongan Allah. Allah ’Azza wa Jalla berjanji akan meneguhkan kedudukan mereka yang menolong Din-Nya dan ini menjadi syarat datangnya pertolongan daripada-Nya, sebagaimana firman-Nya,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تَنْصُرُوا اللَّهَ يَنْصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ {٧}
“Wahai orang-orang yang beriman jika kalian menolong (Din) Allah, maka Dia akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47): 7].
Pesanan agung dalam ayat ini bermula dengan seruan (khithâb) kepada orang-orang yang beriman, al-mu’minûn wa al-mu’minât. Allah SWT. menggunakan bentuk lafaz syarat dan jawapannya (al-jumlah al-syarthiyyah), dengan perangkat (adat al-syarth) iaitu in (إِنْ): jika kalian menolong Allah (إن تنصروا الله), menunjukkan bahawa turunnya pertolongan Allah, terikat dengan syarat keimanan yang dibuktikan dengan menolong Din-Nya.
Secara khusus, dalam ayat ini Allah menisbahkan pertolongan hamba-hamba-Nya kepada-Nya, padahal Allah SWT. Maha Kuasa atas segala perkara tidak memerlukan pertolongan makhluk-Nya.
وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ {٦}
“Dan barang siapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari alam semesta.” [TMQ Al-’Ankabût (29): 6].
Menurut Imam Abu Ja’far al-Nahhas al-Nahwi (w. 338 H) dan al-Qadhi Badruddin Ibn Jama’ah al-Syafi’i (w. 733 H), bentuk lafaz tersebut merupakan bentuk kiasan (majâz).[1] Yang disebutkan Allah, tetapi maksudnya adalah dinullah (agama Allah).
Perinciannya, iaitu dengan menghilangkan bentuk idhâfah dari kata Allah[2]: yakni menghilangkan kata din di depan lafaz jalâlah (Allah), kerana maksud sebenarnya ialah menolong Rasul-Nya, Din-Nya[3], syariat-Nya, dan kelompok pembela Din-Nya (hizbullah)[4], dalam ilmu al-ma’âni, inilah yang dinamakan al-îjâz bi al-hadzf (bentuk meringkas perkataan dengan menghilangkan bahagian), yang berfaedah lebih menguatkan makna yang dikehendaki daripada penyebutannya secara lengkap,[5] menunjukkan betapa besarnya kedudukan aktiviti menolong Dinullah. Secara praktikal, hal ini juga ditunjukkan oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat termasuk di bulan Ramadhan ini.
Terdapat pelajaran besar yang menerangkan kunci-kunci mencapai nashrullah yang boleh dipelajari dalam ulasan di atas untuk diaplikasikan dalam dakwah memperjuangkan Islam:
Pertama, pentingnya asas keimanan dan ketakwaan yang menjadi sebab turunnya pertolongan Allah.
Kedua, menegakkan hukum sebab akibat yang relevan untuk meraih kemenangan, ditunjukkan dengan istiqamah berpegang kepada metode dakwah yang dicontohkan oleh Rasulullah ﷺ.
Ketiga, memanjatkan doa memohon kemenangan dakwah, diiringi dengan tawakal dan kesediaan untuk sentiasa bersabar dalam ketaatan menghadapi pelbagai ujian yang bakal menghampiri.
وفقنا الله وإياكم فيما يرضاه ربنا ويحبه
Sumber:
#TafsirAlQuran #Ramadhan #BulanJihad #BulanPengorbanan