[Hadis Ramadhan 17] Wajib Niat Sebelum Fajar
Dalam sebuah hadis disebutkan,
أَخْبَرَنِي الْقَاسِمُ بْنُ زَكَرِيَّا بْنِ دِينَارٍ، قَالَ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ شُرَحْبِيلَ، قَالَ: أَنْبَأَنَا اللَّيْثُ، عَنْ يَحْيَى بْنِ أَيُّوبَ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ، عَنْ سَالِمِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ، عَنْ حَفْصَةَ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتْ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلَا صِيَامَ لَهُ
Telah mengkhabarkan kepadaku Al Qasim bin Zakaria bin Dinar, dia berkata: Telah menceritakan kepada kami Sa’id bin Syurahbil, dia berkata: Telah memberitakan kepada kami Al Laits, dari Yahya bin Ayyub, dari ‘Abdullah bin Abu Bakr, dari Salim bin ‘Abdullah, dari ‘Abdullah bin ‘Umar, dari Hafshah, dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, beliau bersabda:
“Barangsiapa yang tidak berniat puasa pada malam hari sebelum terbit fajar, tidak ada puasa baginya.” (HR. Nasa’i no. 2291).
Niat dalam ibadah adalah masalah pokok yang tidak boleh diabaikan. Ibadah tanpa niat tentu sia-sia dan membatalkan ibadah itu sendiri. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam :
إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى
“Segala amal itu tergantung niatnya dan setiap orang hanya mendapatkan sesuai niatnya.” (Muttafaq Alaihi).
Termasuk puasa, baik wajib atau sunnah, puasa Ramadhan atau puasa selainnya, wajib niat. Adapun yang menjadi perbezaan pendapat para ulama mengenai bila perlu berniat puasa, lebih-lebih lagi puasa Ramadhan. Jika dilihat dari teks hadis di atas, sepintas dapat kita fahami bahawa niat puasa hanya sah dilakukan sebelum masuk waktu fajar (Subuh). Jika tidak demikian maka puasa dianggap tidak sah. Namun demikian, para ulama berbeza pendapat mengenai bila (waktu) berniat untuk melakukan puasa sebagai berikut:
Jumhur ulama, termasuk ulama madzhab Syafi’i, Maliki dan Hambali berpendapat bahawa niat puasa wajib, baik puasa Ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat dan puasa qadha’ wajib berniat sebelum Subuh. Adapun waktu boleh dilakukan setelah Maghrib sampai sebelum Subuh. Ertinya, orang yang sengaja mahupun lupa berniat puasa wajib di malam harinya, maka puasanya tidak sah dan wajib qadha’. Adapun untuk puasa sunnah boleh diniatkan sebelum masuk waktu Zuhur, selagi orang itu tidak melakukan hal-hal yang membatalkan puasa seperti makan dan minum, muntah dengan sengaja, jima’ dan lain sebagainya.
Mazhab Hanafi memaknai hadis di atas adalah khusus untuk puasa wajib yang waktunya boleh bila-bila saja (tidak ditentukan) seperti puasa kafarat, puasa nazar dan puasa qadha’. Adapun puasa wajib yang waktunya memang sudah ditentukan seperti puasa Ramadhan dan puasa sunnah seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa Syawal dan lain-lain boleh diniatkan setelah Subuh sampai dengan sebelum Zuhur. Ertinya, orang yang lupa berniat puasa Ramadhan sebelum Subuh, boleh berniat selepas Subuh sampai sebelum Zuhur.
Adapun niat puasa Ramadhan adalah:
.نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ اَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَان هذِهِ السَّنَةِ ِللهِ تَعَالَى
Ertinya: “Saya niat berpuasa esok hari untuk menunaikan kewajipan di bulan Ramadhan tahun ini, kerana Allah Ta’ala.”
Bagaimana solusinya jika suatu hari di bulan Ramadhan kita lupa berniat pada malam harinya?
Ada keringanan di dalam mazhab Maliki bahawa sah berniat di awal malam bulan Ramadahan untuk berniat puasa sebulan penuh di bulan Ramadhan. Jika mengambil pendapat ini, maka tidak wajib berniat setiap malam untuk berpuasa Ramadhan.
Namun, dalam mazhab Syafi’i, hendaknya tetap berniat tiap malam bulan Ramadhan untuk berpuasa. Wallahu A’lam.
(Sumber: Pusat Kajian Hadis)
🔴 Pusat Pendidikan Hadits Ma’had Khadimus Sunnah Bandung