[Nafsiyah] Yang Ditulis Sama Hukumnya dengan apa yang Diucapkan
Penulis: Adi Victoria
Manusia tidak mampu hidup bersendirian di dunia ini dan tidak hidup sendiri. Dia memerlukan kepada yang lain kerana itulah sifat manusia, lemah, terbatas, dan memiliki kekurangan.
Syariat Islam diturunkan untuk mengatur kehidupan manusia dalam interaksinya. Baik hubungan interaksinya dengan sang Khalik sebagai Penciptanya, atau interaksi dengan sesama makhluk lain, dan juga interaksi dirinya dengan dirinya sendiri.
Salah satu perkara yang sentiasa diingatkan oleh Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan orang lain adalah dalam perkara tutur kata.
Sebagaimana hadis dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda,
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَليَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُت
“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam.” [Muttafaq ‘alaih].
Baginda juga bersabda,
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ
“Seorang muslim adalah seseorang yang orang muslim lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya.” [HR Imam Bukhari].
Sesungguhnya membuatkan orang lain terluka hatinya kerana tutur kata kita itu sangat berat dosanya. Hal ini digambarkan saat Rasulullah SAW memberikan nasihat kepada isterinya iaitu Aisyah RA.
Aisyah RA pernah memanggil isteri Nabi SAW yang lain iaitu Shafiyyah binti Huyay RA dengan tubuh yang pendek. Mendengar ucapan isterinya tersebut, Rasulullah SAW kemudian berkata kepada Aisyah RA, “Ya Aisyah, engkau telah melontarkan kata-kata yang tidak sepatutnya, yang apabila dilemparkan ke laut, nescaya ia akan bercampur (mengubah rasa air) laut tersebut.” [HR Imam Tirmidzi dan Abu Dawud].
Subhanallah, begitu besar kesan dari suatu perkataan yang keluar dari lisan kita. Itulah yang membuatkan Sahabat Nabi, Abu Dzar sampai meminta kepada Bilal agar memijak kepalanya sebagai suatu bentuk permohonan maafnya. Abu Dzar al-Ghifari dan Bilal bin Rabah RA, dua sahabat Nabi SAW yang pernah berselisih faham.
Ketika sedang bertengkar, Abu Dzar tiba-tiba melontarkan kata-kata, “Kulit hitam!” Bilal sangat tersinggung mendengar ucapan itu. Beliau datang kepada Rasulullah SAW dan mengadukan perasaan hibanya.
Raut wajah Rasulullah SAW terus berubah dan mengingatkan Abu Dzar akan kesalahannya. Abu Dzar kemudian menangis menyesali kata-katanya, kemudian bertaubat kepada Allah dan berjumpa dengan Bilal untuk meminta maaf. Beliau bersujud dan meminta agar kepalanya di pijak oleh Bilal sebagai bentuk penyesalannya. Walaupun demikian, Bilal tidak mahu memijak dan kedua-duanya berpelukan.
Apa ertinya jika kita rajin beribadah, berpuasa di siang hari, dan mendirikan solat di malam hari, bahkan tercatat sebagai seorang pengemban dakwah, tetapi tutur kata kita tidak dijaga sehingga begitu mudah mengeluarkan kata-kata yang mampu menyakitkan hati orang lain.
Lebih-lebih lagi dalam dunia digital seperti sekarang. Kata-kata yang tidak elok kadang kala begitu mudah di tuliskan untuk memberikan komen kepada orang lain di media sosial, baik di Facebook, Whatsapp, Instagram, dan lain-lain. Sedangkan, boleh jadi apa yang ditulis itu menyebabkan orang yang membacanya sakit hati. Padahal, apa yang ditulis itu hukumnya sama dengan yang diucapkan. Sebagaimana kaedah,
الكتابة تنزل منزلة القول
“Tulisan mempunyai status yang sama dengan ucapan.”
Wallahu’alam.