MERAIH DUA KEUTAMAAN: IKTIKAF DAN MEMBAHAGIAKAN ORANG LAIN
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
SETIAP kali memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah SAW senantiasa beriktikaf di dalam masjid. Beliau meninggalkan semua pekerjaan duniawi. Lalu seluruh waktu, fikiran dan tenaga beliau dicurahkan untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah SWT.
Aisyah ra. berkata:
أن النَّبِىَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Nabi SAW senantiasa beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan sampai Allah SWT mewafatkan beliau. Sepeninggal beliau, isteri-isteri beliau juga melakukan iktikaf.” (HR al-Bukhari dan Muslim).
Pada tahun beliau wafat, beliau bahkan beriktikaf selama dua puluh hari. Abu Hurairah ra. berkata:
كَانَ النَّبِىُّ – صلى الله عليه وسلم – يَعْتَكِفُ فِى كُلِّ رَمَضَانَ عَشْرَةَ أَيَّامٍ، فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِى قُبِضَ فِيهِ اعْتَكَفَ عِشْرِينَ يَوْمًا
“Dalam setiap bulan Ramadhan, Nabi SAW melakukan iktikaf selama sepuluh hari. Namun, pada tahun kewafatannya, beliau melakukan iktikaf selama dua puluh hari.” (HR al-Bukhari).
Tidak menghairankan jika sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum iktikaf adalah sunnah muakkadah (sangat ditekankan).
Kerana itu iktikaf sudah semestinya menjadi amalan pembinaan orang-orang soleh. Di antaranya sebagai salah satu sarana utama untuk meraih Lailatul Qadar.
Banyak kaum Muslim yang telah mengetahui kesunnahan dan keutamaan iktikaf. Banyak dari mereka juga memiliki niat yang tulus untuk melakukan iktikaf. Hanya saja, berbagai halangan kadang kala menghalangi mereka untuk beriktikaf. Ada yang harus bekerja keras untuk menafkahi keluarganya. Ada yang harus pergi ke sana-kemari untuk berbagai keperluan. Ada yang jatuh sakit. Ada yang kerana statusnya sebagai wanita, dia kebetulan datang bulan (haid). Dan lain-lain.
Pertanyaannya: Bagaimana jika kita terhalang untuk beriktikaf kerana faktor-faktor di atas?
Jika memang demikian keadaannya, kita tak seharusnya berdiam diri. Sebabnya, ada amal soleh yang pahalanya setara dengan pahala iktikaf. Bahkan lebih baik dan lebih “hebat” dari iktikaf. Apa itu? Jawapannya ada pada sabda Rasulullah SAW sendiri:
أحب النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا، وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا
“Manusia yang paling Allah cintai adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia lain. Amalan yang paling Allah cintai adalah membuat Muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahannya, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang Muslim untuk memenuhi keperluannya lebih aku cintai daripada beriktikaf di masjid ini (Masjid Nabawi) selama sebulan penuh.” (HR ath-Thabarani).
Bayangkan. Betapa besar keutamaan solat dan ibadah–tentu juga iktikaf–di Masjid Nabawi. Sebabnya, kata Nabi SAW sendiri, solat di Masjid Nabawi setara dengan 1000 kali solat di masjid-masjid yang lain, kecuali Masjid al-Haram (HR al-Bukhari dan Muslim).
Namun demikian, besarnya keutamaan tersebut ternyata masih “kalah hebat” daripada besarnya keutamaan amal membahagiakan orang lain; termasuk melepaskan beban kesukarannya, membayarkan hutang-hutangnya, memenuhi keperluannya, dll.
Semoga kita dapat sekaligus meraih dua keutamaan: pahala iktikaf dan pahala membahagiakan sesama, terutama membantu memenuhi keperluan orang-orang yang memerlukan.
Wamaa tawfiiqii illaa bilLaah wa ‘alayhi tawakaltu wa ilayhi uniib. []