[Kolum Siyasah] Al–Aqsa Dalam Kepungan: Bila Pembebas dan Pelindung yang Berani Akan Tiba?
Keganasan terbaru yang dilakukan oleh tentera zionis terhadap penduduk awam di Palestin yang sedang menjalani ibadah di bulan Ramadhan merupakan episod berulang yang berlaku saban tahun dan telah mengakibatkan kecederaan, kematian dan kemusnahan. Sekalipun diasak, ini langsung tidak menggentarkan hati penduduk Palestin untuk terus keluar memprotes dan mempertahankan hak mereka dengan kemampuan yang ada. Di mana para pelindung manusia? Di manakah keghairahan orang beriman? Bukankah sudah tiba masanya laungan takbir di Masjid Al-Aqsa menggegarkan hati tentera Islam? Bukankah sudah tiba masanya jeritan dan tangisan kaum wanita dan anak-anak di tanah yang diberkati ini menggoncang tiang-tiang pengkalan tentera di seluruh dunia Islam?
Jawablah persoalan ini wahai kaum Muslimin! Demi Allah (swt), bilakah kalian akan bangun dan bergerak? Bilakah semangat untuk Islam dan melindungi orang-orang Mukmin akan meletus dalam diri kalian? Jika Al-Masjid Al-Aqsa tidak membangkitkan kalian, maka apakah lagi yang boleh membangkitkan semangat kalian?
- Wahai tentera Mesir! Tidakkah ada di antara kalian seorang perwira seperti al-Zahir Rukn al-Din Baybars atau Salahuddin, yang telah menempa sejarah sebagai para mujahid yang membebaskan Baitul Maqdis?
- Wahai skuadron elit tentera Jordan! Apakah tidak muncul dalam jiwa kalian keghairahan yang boleh menggerakkan kalian untuk melindungi kaum wanita dan
anak-anak di halaman Masjid Al-Aqsa?
- Apakah yang menghalang kalian wahai tentera Turki daripada membebaskan Masjid Al-Aqsa, sedangkan kalian bebas melakukan operasi ketenteraan di Syria?
- Apakah yang membelenggu kalian wahai tentera Pakistan daripada menyelamatkan bumi Isra’ Rasulullah (saw), sedangkan kalian bebas terlibat membantu operasi ketenteraan yang diketuai Amerika Syarikat memerangi umat Islam sendiri?
- Apa masalah yang membelenggu kalian wahai tentera wilayah Hijaz daripada melindungi kiblat pertama umat Islam sedangkan kalian bebas mengganyang orang- orang Islam di Yaman?
- Wahai tentera kaum Muslimin! Umat ini merintih mengharapkan bantuan kalian sejak sekian lama dan tidak akan meminta bantuan dari pihak lain.
Lantas, mengapa kalian tidak menyahut tangisannya dan menyahut seruan Allah (swt) sepertimana firmanNya:
“..Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya..“ [Al–Anfaal 8:72]
Inilah antara seruan rakyat Palestin yang bergema di Al- Aqsa. Namun, para pemimpin dunia Islam terus beretorik dengan kecaman dan sidang kemuncak tanpa iltizam politik yang murni dan bersungguh-sungguh untuk membebaskan Palestin. Malah sebahagian pemimpin dunia Islam tanpa segan silu terus melakukan normalisasi hubungan diplomatik dan merancakkan perdagangan dengan negara haram Israel.
Sungguh malang apabila ramai pemimpin dunia Islam yang menyokong penyelesaian dua-negara (two-state solution) yang ditaja oleh Amerika Syarikat (AS) dengan sokongan PBB. Adakah mereka buta dan pekak dengan kejahatan AS dan pengkhianatan PBB? Merekalah pada hakikatnya yang terus mengekalkan keberadaan entiti haram Yahudi ini serta memecah belahkan umat Islam dan menghalang kesatuannya. Cukuplah umat Islam dipermainkan oleh para pemimpin yang meletakkan kepentingan dunia melebihi tuntutan Yang Maha Pencipta.
Kaum Muslimin harus sedar bahawa bumi Palestin yang diberkati merupakan milik umat Islam yang telah dirampas dan sedang dijajah oleh musuh Islam. Umat Islam seharusnya secara ikhlas dan bersungguh-sungguh melihat permasalahan Palestin dari perspektif Islam. Umat Islam harus sedar bahawa penyelesaian kepada masalah ini harus di lihat dari puncanya – tanah suci Palestin telah dirampas dan dijajah oleh rejim zionis dengan bantuan kaum kuffar.
Kita harus sedar bahawa hanya dengan jihad sahajalah tanah suci Palestin akan dapat dibebaskan dari penjajahan dan kekejaman rejim zionis Yahudi. Itulah cara yang telah dilakukan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan Salahuddin Al-Ayubi ketika membebaskan tanah suci Palestin. Hakikatnya, bagi mencapai tujuan tersebut kita memerlukan Daulah Khilafah Islamiyyah yang diperintah oleh seorang Khalifah berdasarkan hukum-hakam Islam secara keseluruhan. Dengan adanya Daulah Khilafah, jihad akan dilancarkan untuk membebaskan tanah suci Palestin.
“Sesungguhnyanya al-Imam (khalifah) itu perisai, dimana (orang-orang) akan berperang di belakangnya (mendukung) dan berlindung (dari musuh) dengan (kekuasaan)nya.” [HR. Al-Bukhari]
Sumber: mykhilafah