[Fikih] Solat yang Belum Ditunaikan oleh Seorang Muslim Merupakan Hutang di Tengkuknya yang Mesti Mereka Tunaikan
Oleh: Syeikh ‘Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah
Soalan:
Assalamualaikum wbt
Saya sentiasa memberikan komitmen menunaikan solat beberapa tahun setelah usia baligh (mukalaf, ed.) dan bagi Allah segala pujian dan syukur. Adakah saya wajib mengqada’ solat yang saya tinggalkan atau Allah akan mengampuni saya tanpa perlu qada’? Terima kasih. [Mohammad Alhajj]
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt.
Pertama sekali, saya memuji Allah SWT kerana telah menunjukkan anda kepada kebaikan sehingga anda berpegang untuk menunaikan solat dan anda berazam untuk menunaikannya. Saya juga bersungguh-sungguh memohon kepada Allah SWT pertolongan dan keteguhan buat anda.
Adapun berkaitan dengan solat yang belum anda tunaikan sejak anda mencapai usia baligh dan menjadi mukalaf secara syarie, dan kerana anda adalah seorang muslim, maka solat yang belum anda tunaikan ini merupakan hutang di tengkuk anda yang mesti anda tunaikan.
Oleh kerana itu, anda mesti menghitung jangka waktu sejak anda baligh yang menyebabkan anda menjadi terikat untuk menunaikan solat. Contohnya, kami katakan bahawa jangka waktu ini adalah tiga tahun, maka anda mesti mengqada solat tiga tahun tersebut, lima waktu solat dalam satu hari dan itu merujuk kepada solat fardhu. Adapun solat sunat, maka tidak wajib bagi anda untuk mengqadanya.
Hal itu mungkin boleh diatur dan dipermudahkan dengan anda menunaikan solat setiap hari selepas solat fardhu,di mana anda perlu tunaikan solat sebagai qada’ atas solat yang telah anda tinggalkan. Jika anda ingin menunaikan solat sekali lagi sebagai qada’, maka semuanya adalah baik. Yang demikian itu sehingga anda mengqada’ tahun-tahun yang terhitung (solat yang ditinggalkan).
Saya juga memohon kepada Allah SWT agar menolong anda untuk mengqada’ solat-solat yang anda tinggalkan dan agar meningkatkan kesedaran anda untuk menunaikan solat pada waktunya.
Untuk menjelaskan dalil-dalil syarie yang berkaitan hal ini, maka saya mengutip sebahagian yang dinyatakan tentang perkara tersebut dalam buku Ahkâm ash-Shalât (karya Ali Raghib):
Pengakhiran solat dari waktunya secara sengaja tanpa uzur syarie adalah haram secara qathie sesuai dengan nas al-Quran. Allah SWT berfirman,
﴿فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ * الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُونَ﴾
“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya.” [TMQ al-Ma’un (107): 5].
Allah SWT berfirman :
﴿فَخَلَفَ مِنْ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ أَضَاعُوا الصَّلاَةَ وَاتَّبَعُوا الشَّهَوَاتِ فَسَوْفَ يَلْقَوْنَ غَيّاً﴾
“Maka datanglah sesudah mereka, pengganti (yang teruk) yang mensia-siakan solat dan memperturutkan hawa nafsunya, maka mereka kelak akan menemui kesesatan.” [TMQ Maryam (19): 59].
Ini juga ditetapkan dengan mafhum hadis mutawatir yang menjelaskan waktu-waktu solat. Allah SWT telah menetapkan untuk setiap solat fardhu waktu yang dibatasi dua hujungnya, yang masuk pada waktu tertentu, dan batal pada waktu tertentu. Rasulullah SAW bersabda,
«مَنْ فَاتَتْهُ صَلَاةُ الْعَصْرِ فَكَأَنَّمَا وُتِرَ أَهْلَهُ وَمَالَهُ»
“Siapa yang melewatkan solat Asar, maka seolah-olah telah dikurangi (dirampas) keluarganya dan hartanya.” [HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibnu Majah, at-Tirmidzi].
Rasulullah SAW bersabda tentang melambatkan solat dari waktunya,
لَيْسَ التَّفْرِيطُ فِي النَّوْمِ إِنَّمَا التَّفْرِيطُ فِي الْيَقَظَةِ
“Penyia-nyiaan bukanlah pada waktu tidur, melainkan penyia-nyiaan itu pada waktu bangun.” [HR Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, At-Tirmidzi, An-Nasai].
Sesiapa yang meninggalkan solat fardhu, maka dia wajib mengqadanya, baik dia meninggalkannya kerana uzur atau tanpa uzur. Ini kerana mengqada’ solat itu ditetapkan dengan hadis sahih. Telah diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim dari Imran bin Husain, dia berkata,
كُنَّا فِي سَفَرٍ مَعَ النَّبِيِّ ﷺ، وَإِنَّا أَسْرَيْنَا حَتَّى كُنَّا فِي آخِرِ اللَّيْلِ وَقَعْنَا وَقْعَةً وَلَا وَقْعَةَ أَحْلَى عِنْدَ الْمُسَافِرِ مِنْهَا، فَمَا أَيْقَظَنَا إِلَّا حَرُّ الشَّمْسِ… فَلَمَّا اسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ ﷺ شَكَوْا إِلَيْهِ الَّذِي أَصَابَهُمْ فَقَالَ: «لَا ضَيْرَ أَوْ لَا يَضِيرُ ارْتَحِلُوا، فَارْتَحَلُوا فَسَارَ غَيْرَ بَعِيدٍ، ثُمَّ نَزَلَ فَدَعَا بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ، ثُمَّ نَادَى بِالصَّلَاةِ فَصَلَّى بِالنَّاسِ»
“Kami berada dalam perjalanan bersama Nabi SAW dan kami berjalan sehingga di akhir malam, kami tertidur lelap yang seorang musafir tidak terlelap seperti itu. Tidak ada yang membangunkan kami kecuali panasnya sinar matahari. Ketika Nabi SAW bangun, para sahabat mengadu kepada baginda atas apa yang menimpa mereka, maka baginda bersabda, “ Tidak ada salahnya… berangkatlah, maka mereka pun berangkat dan berjalan belum sampai jauh, kemudian berhenti, lalu Nabi SAW meminta air dan berwudhuk, kemudian diserukan solat dan baginda pun mengimami solat orang-orang tersebut.”
Juga kerana apa yang diriwayatkan dari Jabir RA,
«أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ جَاءَ يَوْمَ الْخَنْدَقِ بَعْدَمَا غَرَبَتْ الشَّمْسُ فَجَعَلَ يَسُبُّ كُفَّارَ قُرَيْشٍ، قَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا كِدْتُ أُصَلِّي الْعَصْرَ حَتَّى كَادَتْ الشَّمْسُ تَغْرُبُ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: وَاللَّهِ مَا صَلَّيْتُهَا، فَقُمْنَا إِلَى بُطْحَانَ فَتَوَضَّأَ لِلصَّلَاةِ وَتَوَضَّأْنَا لَهَا فَصَلَّى الْعَصْرَ بَعْدَمَا غَرَبَتْ الشَّمْسُ ثُمَّ صَلَّى بَعْدَهَا الْمَغْرِبَ»
“Bahawa Umar bin al-Khattab datang pada saat perang Khandaq setelah tenggelam matahari dan dia mencela kaum kafir Quraisy. Dia berkata, “Ya Rasulullah, saya belum solat Asar sehingga matahari tenggelam.” Nabi SAW pun bersabda, “Demi Allah, aku juga belum solat Asar.” Maka kami pergi ke Buthhan dan baginda berwudhuk untuk solat dan kami pun berwudhuk untuk solat, lalu baginda solat Asar setelah matahari tenggelam, dan kemudian baginda solat Maghrib”.
Dan kerana apa yang diriwayatkan dari Abu Sa’id, dia berkata,
«حُبِسْنَا يَوْمَ الْخَنْدَقِ عَنْ الصَّلَاةِ حَتَّى كَانَ بَعْدَ الْمَغْرِبِ بِهَوِيٍّ مِنْ اللَّيْلِ حَتَّى كُفِينَا، وَذَلِكَ قَوْلُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ: ﴿وَكَفَى اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ الْقِتَالَ وَكَانَ اللَّهُ قَوِيّاً عَزِيزاً﴾. قَالَ: فَدَعَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ بِلَالًا، فَأَقَامَ صَلَاةَ الظُّهْرِ فَصَلَّاهَا وَأَحْسَنَ صَلَاتَهَا كَمَا كَانَ يُصَلِّيهَا فِي وَقْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْعَصْرَ فَصَلَّاهَا وَأَحْسَنَ صَلَاتَهَا كَمَا كَانَ يُصَلِّيهَا فِي وَقْتِهَا، ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ الْمَغْرِبَ فَصَلَّاهَا كَذَلِكَ»
“Pada waktu perang Khandaq, kami bertahan dari menunaikan solat sehingga setelah Maghrib dan memasuki sebahagian malam sampai kami telah dicukupkan. Hal itu firman Allah SWT (ertinya), ‘Dan Allah menghindarkan orang-orang mukmin dari peperangan. Dan adalah Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.’ [TMQ Al-Ahzab (33): 25].” Dia berkata, “Maka Rasulullah SAW menyerukan Bilal dan Bilal pun mengumandangkan iqamah solat Zuhur lalu beliau pun solat Zuhur dan memperbaguskan solat sebagaimana beliau menunaikannya pada waktunya, kemudian baginda menyuruh Bilal, lalu Bilal mengumandangkan iqamah solat Asar, lalu baginda solat Asar dan memperbagusnya sebagaimana baginda menunaikannya pada waktunya. Kemudian baginda menyuruh Bilal dan Bilal pun mengumandangkan iqamah Maghrib dan baginda pun solat Maghrib dan memperbaguskan solatnya.”
Juga kerana yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW bahawa ketika baginda ditanya oleh seorang wanita dari Khats’am yang berkata, “Ya Rasulullah, bapaku telah menemui kewajipan haji pada saat lanjut usia dimana dia tidak mampu berhaji, jika aku melakukan haji bagi dirinya, adakah hal itu bermanfaat baginya?” Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya,
«أَرَأَيْتِ لَوْ كَانَ عَلَى أَبِيكِ دَيْنٌ فَقَضَيْتِهِ أَكَانَ يَنْفَعُهُ ذَلِكَ؟ قَالَتْ: نَعَمْ. قَالَ: فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ بِالْقَضَاءِ»
“Bagaimana pandanganmu, seandainya bapamu memiliki hutang lalu kamu membayarnya, adakah hal itu bermanfaat baginya?” Dia berkata, “Benar.” Baginda pun bersabda, “Hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar.”
Semua hadis ini jelas menyatakan qada’ solat. Hal itu menunjukkan bahawa qada’ solat adalah wajib dan tidak ada kafarah untuk meninggalkan solat kecuali dengan mengqada’nya sahaja, baik samada meninggalkannya kerana uzur atau tanpa ada uzur, sebab hadis-hadis tersebut jelas.
Tidak dikatakan bahawa hadis-hadis ini dibatasi dengan peristiwa tertentu iaitu tidur, lupa, perang, dan tidak mampu. Semua ini merupakan uzur syarie, tidak ada dosa meninggalkan solat dengan mengakhirkannya pada waktunya sehingga qada’ bersifat khusus dengannya sahaja dan tidak mencakup yang lain, berbeza dengan sengaja, tidak ada nas yang menyatakan kebolehan mengqadanya.
Tidak dikatakan sedemikian. Ini kerana hadis-hadis ini di dalamnya tidak dinyatakan sifat tidur, lupa, dan perang dalam bentuk sebagai batasan di situ. Melainkan hadis-hadis itu datang sebagai penjelasan bagi kejadian yang terjadi tanpa difahami darinya sifat pembatasan dengan peristiwa-peristiwa itu sahaja. Bukankah anda memandang di dalam hadis Jabir bagaimana Umar bin Al-Khattab mencela kaum kafir Quraisy dan berkata, “Ya Rasulullah, aku belum menunaikan solat Asar hingga matahari tenggelam.” Lalu Nabi SAW bersabda kepadanya, “Demi Allah aku juga belum solat Asar.” Kemudian Nabi berdiri, berwudhuk, lalu solat.
Di mana sifat pembatasan di dalam kejadian ini yang menunjukkan bahawa itu khusus dengan kejadian itu? Katakan berlaku seumpama itu dalam peristiwa-peristiwa lain. Jadi tidak ada di dalamnya lafaz tersebut apa yang menunjukkan bahawa itu terbatas dengannya dan bahawa tidak boleh pada selainnya.
Namun, masing-masing dari hadis yang terjadi dalam peristiwa tertentu itu datang dalam bentuk pernyataan atas fakta, bukan dalam bentuk pernyataan atas batasan. Dan tidak kelihatan di dalamnya sebab yang dikhususkan untuk qada’ solat di situ sahaja, sebagaimana yang jelas dari pembacaan hadis-hadis tersebut.
Adapun hadis-hadis yang di situ dinyatakan perbuatan yang memberikan makna sifat iaitu sabda Nabi SAW, “man nâma (siapa yang tidur)“, “aw nasiyahâ (atau melupakannya), jika dia tidur: “aw ghafila (atau dia lupa)“, “man nasiya (siapa yang lupa)“, semuanya, di dalamnya sifat itu dinilai sebagai batasan dan di dalamnya dinilai ada mafhum mukhalafah sebab itu merupakan sifat. Mafhum mukhalafah dalam sifat itu muktabar.
Dan kerana itu, jika penyebutannya tidak dinilai sebagai batasan, penyebutannya dengan sifat ini menjadi sia-sia dan hal itu dinafikan dari hadis. Akan tetapi, mafhum mukhalafah untuk nas-nas ini diabaikan pengamalannya oleh nas-nas lainnya.
Jika dinyatakan nas yang mantuqnya menunjukkan sebaliknya dari mafhum nas lainnya, maka mafhum itu diabaikan dan diambil mantuq tersebut sebab dalalahnya terhadap makna yang lebih kuat dari dalalah mafhum. Hadis-hadis ini diabaikan mafhumnya dengan hadis-hadis yang dinyatakan tentang qada’ solat yang terluput pada selainnya, iaitu perang.
Di dalam hadis qada’ haji yang di dalamnya dinyatakan sabda Nabi SAW, “fa adynullâh ahaqqun bi al-qadhâ’ (maka hutang kepada Allah lebih berhak untuk ditunaikan)“ menggunakan lafaz umum yang mencakup semua hutang kepada Allah. Dan solat merupakan hutang kepada Allah sehingga masuk di bawah keumuman kata “daynullâh (hutang kepada Allah)“ sebab itu merupakan isim jenis yang di-idhafat-kan dan itu termasuk redaksi umum secara pasti.
Orang yang sengaja meninggalkan solat telah diseru dengan solat sebagaimana setiap muslim diseru dengan solat. Wajib baginya menunaikannya sehingga menjadi hutang yang menjadi kewajipannya. Hutang tidak gugur kecuali dengan ditunaikan. Maka demikian juga solat, tidak gugur dengan telah berlalu waktunya, kecuali dengan ditunaikan, dan baginya dosa kerana meninggalkannya pada waktunya. Selesai, kutipan dari buku Ahkâm ash-Shalât.
Saya berharap penjelasan di atas adalah mencukupi. Wallahu’alam wa ahkam.
Sumber: tsaqofah.id