Hukum Mengambil Pinjaman daripada Negara
Soalan:
Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
Saya memohon kepada Allah Yang Maha Agung agar mempermudahkan kemenangan dan pengukuhan kekuasaan bagi umat Islam, serta agar perkara tersebut berlaku secepat mungkin. Saya juga memohon agar Allah mengurniakan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan kepada tuan, wahai Syeikh kami yang dihormati.
Ada pun setelah itu,
Persoalan seperti berikut:
Kerajaan Tunisia telah mengumumkan satu program bagi memudahkan pemberian pinjaman kepada golongan masyarakat yang dikenali sebagai golongan rentan, dengan membolehkan mereka memperoleh pinjaman tanpa faedah.
Adakah umat Islam dibenarkan memohon untuk mendapatkan pinjaman seperti ini, atau adakah bermuamalah dengan bank pada asalnya tidak dibenarkan, walaupun pinjaman tersebut dikenakan kadar faedah 0%?
Semoga Allah memberkati anda, menambahkan ilmu kurniaan-Nya kepada anda, serta menjadikan kemenangan terlaksana melalui kedua-dua tangan anda.
[Hichem Habbesi]
Jawapan:
Wa ‘alaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.
Pertama: Berhutang tanpa faedah adalah dibenarkan bagi mereka yang memerlukan. Pemberi pinjaman (pemiutang) pula akan memperoleh pahala dalam keadaan ini, dengan izin Allah. Dalil-dalil bagi perkara tersebut adalah seperti berikut:
- Mengenai pahala bagi pemberi pinjaman (pemiutang), Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ»
“ Barangsiapa yang meringankan daripada seorang Mukmin satu kesulitan di antara kesulitan dunia, maka Allah akan meringankan darinya satu kesulitan di antara kesulitan di hari kiamat. Dan barangsiapa memudahkan orang yang sedang kesulitan, maka Allah akan memudahkan baginya di dunia dan di akhirat.”
Demikian juga, Imam Ibnu Majah telah meriwayatkan dalam kitab Sunan-nya daripada Ibnu Mas’ud RA bahawa Nabi SAW bersabda:
«مَا مِنْ مُسْلِمٍ يُقْرِضُ مُسْلِماً قَرْضاً مَرَّتَيْنِ إِلَّا كَانَ كَصَدَقَتِهَا مَرَّةً»
“ Tidak ada seorang Muslim pun yang memberi wang kepada seorang Muslim lain sebanyak dua kali kecuali itu seperti mensedekahannya sekali.”
- Mengenai keharusan berhutang bagi orang yang memerlukan:
- Imam Muslim telah meriwayatkan daripada Abu Rafi’ RA:
«أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ اسْتَسْلَفَ مِنْ رَجُلٍ بَكْراً فَقَدِمَتْ عَلَيْهِ إِبِلٌ مِنْ إِبِلِ الصَّدَقَةِ فَأَمَرَ أَبَا رَافِعٍ أَنْ يَقْضِيَ الرَّجُلَ بَكْرَهُ فَرَجَعَ إِلَيْهِ أَبُو رَافِعٍ فَقَالَ: لَمْ أَجِدْ فِيهَا إِلَّا خِيَاراً رَبَاعِياً. فَقَالَ: أَعْطِهِ إِيَّاهُ، إِنَّ خِيَارَ النَّاسِ أَحْسَنُهُمْ قَضَاءً»
“Sesungguhnya Rasulullah SAW berhutang seekor unta muda dari seorang lelaki, lalu beberapa unta dari unta-unta sedekah datang kepada beliau, maka beliau memerintahkan Abu Rafi’ untuk mengembalikan unta muda itu kepada lelaki tersebut. Abu Rafi’ kembali kepada baginda dan berkata: “Aku tidak menemukan di antara unta-unta itu selain unta berumur empat tahun yang bagus”. Maka baginda bersabda: “Berikanlah kepadanya, sesungguhnya orang yang paling baik adalah orang yang paling baik pengembaliannya.”
- Imam an-Nasa’i telah meriwayatkan daripada Ismail bin Ibrahim bin Abdullah bin Abi Rabi’ah, daripada bapanya, daripada datuknya, beliau berkata:
«اسْتَقْرَضَ مِنِّي النَّبِيُّ ﷺ أَرْبَعِينَ أَلْفاً فَجَاءَهُ مَالٌ فَدَفَعَهُ إِلَيَّ وَقَالَ: بَارَكَ اللَّهُ لَكَ فِي أَهْلِكَ وَمَالِكَ، إِنَّمَا جَزَاءُ السَّلَفِ الْحَمْدُ وَالْأَدَاءُ»
“Nabi SAW pernah berhutang daripadaku sebanyak empat puluh ribu. Kemudian, apabila Baginda memperoleh harta, Baginda menyerahkannya kepadaku lalu bersabda, ‘Semoga Allah memberkatimu dalam keluargamu dan hartamu. Tidak lain balasan untuk adalah pujian dan pengembalian.”
(*Pent – Sesungguhnya balasan bagi pinjaman hanyalah pujian (ucapan terima kasih) dan pelunasan)
- Sekiranya seseorang berhutang kerana keperluan dan hutang tersebut dibenarkan oleh syarak, maka Allah SWT akan membantunya untuk melunaskan hutang berkenaan dengan mempermudahkan urusannya:
- Imam al-Bukhari telah mengeluarkan… daripada Abu al-Ghaith, daripada Abu Hurairah RA, daripada Nabi SAW yang bersabda:
«مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ»
“Barangsiapa mengambil harta orang lain yang dia ingin mengembalikannya, maka Allah akan mengembalikannya untuknya, dan barangsiapa mengambil harta orang lain yang dia ingin menghancurkannya, maka Allah menghancurkannya.”
- Imam Ahmad turut meriwayatkan:
«مَنِ اسْتَدَانَ دَيْناً يَعْلَمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ مِنْهُ أَنَّهُ يُرِيدُ أَدَاءَهُ أَدَّاهُ اللَّهُ عَنْهُ»
“ Barang siapa berhutang, Allah ‘azza wa jalla mengetahui bahawa dia ingin melunasinya, maka Allah akan melunasinya untuknya.”
Yakni, Allah akan membantunya dalam melunaskan hutang berkenaan.
Kedua: Adapun riba, sesungguhnya ia diharamkan dengan pengharaman yang sangat tegas.
- Allah SWT berfirman:
﴿الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوا إِنَّمَا الْبَيْعُ مِثْلُ الرِّبَا وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا﴾
“ Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba…” (TMQ al-Baqarah [2]: 275)
- Allah SWT berfirman:
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ * فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ﴾
“ Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (TMQ al-Baqarah [2]: 278–279)
Ketiga: Mengenai pengambilan pinjaman dan pembayaran balik hutang:
- Sekiranya pinjaman tersebut diberikan oleh kerajaan, contohnya melalui Kementerian Kewangan atau jabatan-jabatan di bawahnya, kemudian anda mengemukakan permohonan pinjaman dan permohonan itu diluluskan, lalu anda menerima pinjaman tersebut dengan syarat perlu membayarnya kembali kepada jabatan kerajaan berkenaan dalam tempoh tertentu tanpa sebarang tambahan (tanpa riba), maka sekiranya keadaannya sedemikian, perkara tersebut adalah dibenarkan.
- Sekiranya pinjaman tersebut diberikan oleh bank milik kerajaan dan anda membayar balik pinjaman itu kepada bank kerajaan berkenaan tanpa sebarang tambahan (tanpa riba), maka perkara tersebut adalah dibenarkan.
- Sekiranya pinjaman tersebut diberikan kepada anda oleh negara melalui sebuah bank swasta, iaitu bank yang bukan berbentuk syarikat berhad, dan anda membayar balik pinjaman tersebut melalui bank berkenaan tanpa sebarang tambahan (tanpa riba), maka perkara tersebut adalah dibenarkan.
- Adapun sekiranya pinjaman tersebut diberikan kepada anda oleh negara melalui sebuah bank swasta yang berbentuk syarikat berhad, dan anda membayar balik pinjaman tersebut kepada bank berkenaan, maka perkara itu tidak dibenarkan. Hal ini kerana akad penubuhan syarikat berhad tersebut adalah batil, sehingga tidak sah untuk melakukan transaksi dengannya.
Sebagai penutup, saya memohon kepada Allah SWT agar mengurniakan kepada anda rezeki yang halal lagi baik.
﴿إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ﴾
“ Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhlukNya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaanNya.” (TMQ az-Zariyat [51]: 58)
Saudaramu,
Atha’ bin Khalil Abu Rasytah
13 Jamadilawal 1448 H
24 Oktober 2026 M
Sumber:
#Pinjaman #Hutang #Transaksi #JauhiRiba