Umat Islam, Umat Yang Satu
Dia (Ziyad) berkata: Saya mendengar ‘Arfajah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda,
إِنَّهُ سَتَكُونُ هَنَاتٌ وَهَنَاتٌ فَمَنْ أَرَادَ أَنْ يُفَرِّقَ أَمْرَ هَذِهِ الْأُمَّةِ وَهِيَ جَمِيعٌ فَاضْرِبُوهُ بِالسَّيْفِ كَائِنًا مَنْ كَانَ
“Suatu saat nanti akan terjadi bencana dan kekacauan, maka sesiapa yang hendak memecah belah persatuan umat ini, penggallah dengan pedang, siapa pun orangnya.”
Dalam hadis ini ada perintah untuk memerangi sesiapa sahaja yang keluar (memberontak) terhadap Imam (Khalifah), atau yang ingin memecahbelahkan kesatuan umat Islam, dan yang seumpamanya; ia juga mengandungi larangan melakukan semua itu.
Jika dia tidak berhenti melakukan perkara yang dilarang itu, maka hendaklah diperangi (dibunuh), iaitu jika keburukannya tidak dapat dicegah melainkan dengan membunuhnya, maka bunuhlah dia, iaitu satu bentuk penumpahan darah.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Penggallah dengan pedang”, sedangkan dalam riwayat lain “bunuhlah”, jika itu sahaja cara untuk menghentikannya.
Daripada hadis ini dapat difahami bahawa Islam melarang umat Islam mempunyai lebih daripada satu negara, atau diperintah lebih daripada seorang pemerintah.
Realiti Umat
Hari ini, umat Islam terpecah belah kepada berpuluh-puluh negeri kecil, yang menyebabkan kita terdedah kepada serangan musuh. Saudara-saudara seIslam kita dibunuh, dianiaya di seluruh dunia, tetapi kerana tidak ada kesatuan Islam di bawah naungan Khilafah, maka tidak ada tentera yang digerakkan oleh pemimpin Islam untuk memerangi tentera kuffar yang jahat lagi zalim. Selain itu, kesatuan ummah juga tidak nampak dalam isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri.
Kaedah yang ditetapkan oleh Islam ialah rukyatul hilal, tetapi ada negara yang menggunakan kaedah lain yang mengakibatkan tarikh hari raya berbeza untuk beberapa tempat, sedangkan kita satu umat, percaya kepada satu akidah, mengapa hari raya kita mesti berbeza? Ketika umat di sesebuah negara sedang beraya, mengapa masih ada umat Islam di negara lain yang berpuasa. Bukankah haram berpuasa pada 1 Syawal?
Muhasabah Syawal
Umat Islam hanya akan merasai manisnya kesatuan ummah di bawah naungan seorang pemimpin yang adil, iaitu Khalifah yang akan memerintah di negara Khilafah. Beliau akan melaksanakan semua hukum syariat secara kaffah, mengerahkan tenaga rijal untuk berjihad, menyelamatkan semua umat Islam yang menderita, memastikan semua umat Islam mendapat hak hakiki mereka, memastikan tiada perbezaan dalam penetapan Hari Raya Aidilfitri, dan yang paling penting seluruh umat Islam bersatu dalam sebuah negara serta mengikuti ajaran sebenar al-Quran dan sunnah, bukannya berselisih atau berbalah sesama sendiri seperti realiti hari ini, kerana terlalu banyak fahaman atau aliran yang memecahbelahkan kesatuan umat. Ayuh, sama-sama kita kembalikan perisai dan pelindung umat Islam, Khilafah ala Minhaj an-Nubuwwah.