MENGHIDUPKAN KEMBALI TRADISI DIALOGI ANTARA MAZHAB/ALIRAN PEMIKIRAN DI KALANGAN UMAT ISLAM
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
DI TENGAH dinamika pemikiran umat Islam dewasa ini, kita menyaksikan sebuah fenomena yang patut direnungkan bersama: memudarnya tradisi dialog ilmiah dalam menyikapi perbezaan pendapat. Perbezaan yang dulu menjadi ruang subur bagi lahirnya karya-karya besar, kini dalam sebahagian kes sebaliknya berhujung dengan sikap reaktif yang jauh dari nuansa keilmuan.
Sebahagian polemik yang muncul kebelakangan ini memperlihatkan kecenderungan tersebut. Ketika sebuah gagasan dianggap keliru, respons yang muncul bukan lagi berupa telaah, kritik ilmiah, atau bantahan argumentatif; melainkan tindakan simbolik yang cenderung emosional. Di sinilah kita merasa perlu untuk mengingatkan kembali bagaimana para ulama terdahulu menjaga marwah ilmu.
Dalam lingkungan institusi agama seperti pesantren misalnya, kita mengenal tradisi bahtsul masa’il, muthala‘ah, muhadharah dan munazharah. Tradisi ini bukan sekadar metode belajar, melainkan warisan peradaban. Tradisi dialog ini sejatinya tidak pernah hilang. Setidaknya di dalam ruang lingkup internal satu mazhab atau satu arus pemikiran. Para pelajar dilatih untuk berhujah, menguatkan dalil, sekaligus menghormati perbezaan.
Demikian juga tradisi para ulama dahulu. Apabila sesuatu pendapat dinilai syādz (ganjil/menyimpang) atau lemah, para ulama tidak tergesa-gesa menolaknya secara kasar. Mereka mengkajinya dengan teliti, menunjukkan letak kekeliruannya, lalu menghadirkan bantahan yang kukuh dan berhemah. Daripada sinilah lahir kitab-kitab syarah, hasyiyah dan karya-karya kritikan yang memperkayakan khazanah Islam.
Namun, realiti yang kita hadapi hari ini menunjukkan sesuatu yang berbeza. Terutama apabila perbezaan itu melintasi batas mazhab atau aliran pemikiran. Dialog merentas kelompok yang berbeza mazhab dan aliran pemikiran sering terasa seolah-olah menjadi sesuatu yang tabu. Bukannya duduk bersama untuk saling memahami dan menguji hujah, yang muncul ialah sekatan-sekatan psikologi, prasangka, malah penolakan untuk sekadar mendengar.
Padahal dalam tradisi keilmuan Islam yang agung, perbezaan bukan alasan untuk menutup pintu dialog. Sebaliknya, perbezaan menjadi alasan untuk membuka ruang perbincangan yang lebih luas dan lebih mendalam. Tanpa dialog merentas mazhab atau aliran pemikiran, umat berisiko terjebak dalam “ruang gema” (echo chamber). Maksudnya, seseorang hanya mendengar apa yang ingin didengarnya, dan menolak segala sesuatu di luar lingkarannya.
Dalam konteks ini, tindakan memusnahkan sebuah karya tanpa menjelaskan letak kesalahannya justeru semakin memperkukuh hilangnya semangat dialog tersebut. Ukuran apa yang digunakan? Di bahagian mana letak penyimpangannya? Tanpa penjelasan yang terbuka dan ilmiah, tindakan seperti itu sukar dijadikan pengajaran bagi umat.
Padahal, keadilan intelektual merupakan prinsip penting dalam Islam. Sebuah pemikiran tidak wajar ditolak tanpa hujah yang jelas, sebagaimana seseorang tidak wajar dihakimi tanpa bukti. Bahkan terhadap pemikiran yang berbeza secara mendasar sekalipun, para ulama tetap menempuh jalan ilmiah: memahami terlebih dahulu, kemudian mengkritiknya secara berimbang.
Lebih daripada itu, keterbukaan dalam berdialog merentas mazhab atau aliran pemikiran mencerminkan keyakinan diri terhadap kebenaran yang dipegang. Kebenaran tidak takut diuji. Ia tidak memerlukan tindakan simbolik untuk mempertahankan dirinya. Sebaliknya, ia menjadi lebih kukuh apabila diuji melalui diskusi yang jujur, terbuka dan beradab.
Oleh itu, sudah tiba masanya kita menghidupkan kembali tradisi dialog merentas mazhab dan aliran pemikiran. Duduk bersama, membuka kitab, mengurai dalil, dan mendengar dengan penuh adab. Bukan untuk saling menjatuhkan, tetapi untuk saling mendekatkan diri kepada kebenaran. Bukan untuk memperlebar jurang, tetapi untuk membina jambatan kefahaman.
Kita tentu tidak berharap perbezaan hilang, kerana perbezaan merupakan sebahagian daripada sunnatullah dalam kehidupan manusia. Namun, yang kita harapkan ialah hadirnya kedewasaan dalam menyikapi perbezaan tersebut, sebagaimana yang telah dicontohkan oleh para ulama terdahulu.
Jangan sampai yang hilang bukan hanya tradisi dialog, tetapi juga adab dalam berilmu. Jangan sampai yang terbakar bukan hanya lembaran kertas, tetapi juga semangat berfikir secara jernih dan keberanian untuk berdialog secara ilmiah.
Sebab itu penting untuk merenungkan dan mengamalkan kembali dengan bersungguh-sungguh akan firman Allah SWT:
ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (TMQ an-Nahl [16]: 125).
Semoga Allah SWT membimbing kita semua untuk tetap menjaga adab dalam berilmu, menghidupkan kembali tradisi dialog yang sihat serta mempersatukan hati kaum Muslim di atas kebenaran Islam.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
#Adab #OneUmmah #DialogIlmiah #AyuhUmatBangkit