Khalifah Boleh Menyimpang, Jadi Apa Jaminannya?
Oleh: Joko Prasetyo (Wartawan)
Demokrasi dikritik kerana membuka jalan bagi pemilik modal untuk mempengaruhi kekuasaan dan dasar negara demi kepentingannya, bahkan rakyat terpaksa menanggung akibatnya. Apabila Khilafah ditawarkan sebagai penyelesaian, muncul bantahan: bukankah Khalifah juga manusia yang boleh menyalahgunakan kuasa? Apa jaminannya Khilafah tidak melahirkan oligarki dan penyimpangan politik yang serupa?
Jawapannya: Islam tidak menjamin Khalifah sebagai manusia yang pasti benar. Islam menetapkan bahawa Khalifah wajib terikat pada hukum syarak, tidak berhak menetapkan hukum sesuka hati dan boleh dimuhasabah serta boleh didakwa apabila dia melakukan kezaliman. Kekuasaan bukan cek kosong untuk berbuat sesuka hati.
Oleh sebab itu, mengakui bahawa Khalifah boleh menyimpang tidak secara automatik membatalkan Khilafah sebagai sistem pemerintahan Islam. Justeru, isu-isu penting adalah bagaimana kuasa dihadkan, bagaimana penyelewengan dinilai, siapa yang mempunyai kuasa untuk mendakwa mereka, dan bagaimana pelanggaran ditangani.
Khilafah bukanlah pemerintahan yang menjadikan Khalifah manusia yang suci dan sentiasa betul. Khilafah adalah sistem pemerintahan yang wajib menerapkan syariat Islam. Khalifah sebagai manusia boleh saja melakukan kesalahan, tetapi kesalahannya tidak mengubah hukum Allah dan ia tidak boleh membenarkan kezaliman.
- Khalifah Tetap Terikat dengan Hukum Syarak
Tidak ada jaminan bahawa Khalifah sebagai manusia pasti akan sentiasa betul. Namun, Islam tidak menyerahkan penentuan hukum kepada hawa nafsu penguasa.
Dalam konsep Khilafah, Khalifah wajib terikat dengan hukum syarak. Dia tidak berkuasa untuk menghalalkan apa yang diharamkan Allah atau mengharamkan apa yang dihalalkan-Nya demi kepentingan peribadi. Khalifah melakukan 𝑡𝑎𝑏𝑎𝑛𝑛𝑖 (penerapan) hukum syarak untuk mengatur urusan umat, tetapi tidak bebas menetapkan hukum sesuka hati.
Allah SWT berfirman:
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah” [TMQ al-An’am (6): 57]
Bagaimana jika Khalifah tetap melanggar hukum syarak? Dia wajib dibetulkan dan diminta pertanggungjawaban. Jadi, jaminannya bukanlah kesempurnaan peribadi Khalifah, melainkan kewajipan untuk tunduk pada syariat dan adanya mekanisme untuk menangani pelanggaran hukum.
- Khalifah Juga Boleh Didakwa
Jika Khalifah melakukan kezaliman, adakah dia boleh berlindung di sebalik jawatannya? Menurut ketetapan syariat, tidak. Dia mesti diminta pertanggungjawaban, bukan justeru kebal daripada hukum kerana jawatannya. Sebab itu, sistem pemerintahan perlu memiliki mekanisme yang memungkinkan kezaliman penguasa diperiksa dan dibicarakan.
Dalam sistem perudangan Islam, ia dikenali sebagai Qadhi Mazhalim, iaitu hakim yang menangani pengaduan atas kezaliman yang dilakukan penguasa atau pegawai negara, termasuk Khalifah. Ketentuan mengenai kuasa Qadhi Mazhalim dalam sistem pemerintahan Khilafah antara lain dibahas oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab 𝑁𝑖𝑧ℎ𝑎𝑚 𝑎𝑙-𝐼𝑠𝑙𝑎𝑚 (Peraturan Hidup dalam Islam), pada bahagian rancangan undang-undang dasar.
Dalam ketentuan tersebut, ketika Qadhi Mazhalim sedang memeriksa perkara (kes) yang melibatkan Khalifah, Khalifah tidak berkuasa untuk memberhentikan hakim itu. Maksudnya, jawatan Khalifah bukan perisai untuk mengelakkan penelitian undang-undang, dan dia tidak boleh begitu saja menyingkirkan hakim yang mengendalikan kesnya.
Di sinilah salah satu jawapan atas pertanyaan utama artikel ini: jaminannya bukan bahawa Khalifah mustahil melakukan kezaliman, melainkan adanya ketentuan yang memungkinkan kezaliman penguasa diperiksa dan dibicarakan tanpa memberikannya kebebasan untuk menggagalkan proses itu demi melindungi dirinya sendiri.
Adakah mekanisme ini menjadikan penyelewengan mustahil terjadi? Tidak. Namun, adanya risiko penyimpangan tidak membuktikan bahawa peraturan itu tidak berguna. Justru, yang perlu dinilai adalah adakah sistem itu mengehadkan kuasa, menyediakan mekanisme pertanggungjawaban, dan memungkinkan penguasa untuk diberi tindakan apabila melanggar hukum.
- Penyelewengan Perlu Dibetulkan
Risiko pakatan sulit dan saling melindungi memang ada. Oleh sebab itu, kesolehan peribadi pegawai saja tidak cukup.
Islam mewajibkan penguasa berlaku adil dan melarang kezaliman. Pelantikan pegawai merupakan amanah, bukan hak untuk menggunakan kekuasaan demi kepentingan kelompoknya.
Dalam konsep Khilafah, Majlis Umat berperanan menyampaikan aspirasi dan melakukan muhasabah terhadap penguasa. Namun, kewajipan memuhasabah penguasa tidak terhad hanya pada lembaga tersebut.
Setiap Muslim berkewajipan menyampaikan kebenaran dan membetulkan kemungkaran sesuai ketentuan syariat. Rasulullah SAW bersabda:
“Jihad yang paling utama adalah menyampaikan perkataan yang adil di hadapan penguasa yang zalim” (HR. Abu Dawud).
Islam juga memerintahkan adanya kelompok yang menyeru kepada kebajikan serta melakukan amar makruf nahi mungkar. Allah SWT berfirman:
“Hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar” [TMQ Ali Imran (3): 104]
Dengan Demikian, muhasabah lil hukkam (membetulkan penguasa) dijalankan melalui tanggungjawab individu, aktiviti kelompok dan mekanisme institusi termasuk Majlis Umat.
Penguasa tidak boleh dibiarkan tanpa dimuhasabah apatah lagi berlindung di sebalik solidariti para pekerja untuk menutupi kezaliman.
- Sejarah Menjadi Bahan Penilaian
Benar, sejarah pemerintahan kaum Muslim tidak semuanya mencerminkan penerapan syariat secara sempurna. Ada penguasa yang adil, ada juga yang zalim. Fakta sejarah tidak perlu ditutup-tutupi.
Namun, perbuatan penguasa Muslim tidak automatik menjadi ajaran Islam. Perbuatannya perlu dinilai berdasarkan hukum Islam, malahan bukan sebaliknya di mana hukum Islam dinilai berdasarkan setiap tindakan penguasanya.
Pengajaran sejarah adalah penting untuk mengenal pasti penyimpangan dan mencegahnya daripada berulang. Kerana itu, perlu diperiksa adakah penyimpangan berlaku akibat hukum syarak tidak diterapkan, penyalahgunaan kuasa atau mekanisme pengawasan yang gagal berjalan.
- Ketakwaan Mesti Disokong Mekanisme Hukum
Tidak tepat menjanjikan bahawa setelah Khilafah berdiri, semua penyimpangan pasti lenyap. Islam tidak menjadikan manusia maksum (terpelihara daripada kesalahan dan dosa).
Namun, dalam perspektif akidah Islam, syariat yang bersumber dari wahyu Allah tidak boleh disamakan dengan sistem buatan manusia. Kesempurnaan syariat tidak bermaksud setiap orang yang menjalankannya secara automatik sentiasa betul.
Penerapan Islam memerlukan suasana ketakwaan yang mendorong penguasa dan para pegawainya mentaati hukum Allah, mekanisme hukum yang jelas untuk mengawasi dan mengadili penyimpangan, serta hukuman yang tegas terhadap penyimpangan. Ketiga-tiganya mesti berjalan bersama.
Ketakwaan tidak menggantikan penegakan hukum. Sebaliknya, peraturan dan hukuman tidak akan berkesan jika kuasa penegakannya diabaikan atau disalahgunakan. Kerana itu, hukuman perlu dijatuhkan berdasarkan hukum syarak melalui proses hukum yang betul, bukan semata-mata atas kehendak penguasa.
Jadi, yang diperjuangkan bukanlah sistem yang membuat kesalahan mustahil terjadi, melainkan sistem yang mewajibkan penerapan syariat, melarang kezaliman dan menyediakan mekanisme pertanggungjawaban ketika penguasa menyimpang.
- Landasan Sistem Perlu Diubah
Meneliti sejarah, timbul persoalan: “Bukankah pada akhirnya, agar sistem berfungsi dengan baik, bebas daripada oligarki dan penyelewengan politik yang lain, ia bergantung kepada orang yang menjalankan dan menjaganya?”
Benar, sistem memerlukan manusia yang baik. Namun, persoalannya bukan hanya siapa yang menjalankan sistem, tetapi juga landasan hukum yang mengatur kekuasaan.
Sistem buatan manusia tetap bermasalah ketika manusia diberi kuasa untuk menetapkan hukum yang bertentangan dengan hukum Allah. Sebaik apa pun penguasanya, dia tidak berhak mengambil kekuasaan yang menjadi hak Allah.
Dalam Islam, menerapkan syariat sebagai bentuk ketaatan kepada Allah bernilai ibadah, sedangkan melanggar ketetapan-Nya boleh menjadi kemaksiatan. Kerana itu, ketakwaan manusia yang menjalankan pemerintahan perlu berjalan bersama penerapan syariat dan mekanisme hukum yang memastikan penguasa tidak bertindak sewenangnya.
Jadi, penyelesaiannya bukan sekadar mengganti orang yang menjalankan sistem buatan manusia, melainkan mengubah landasan sistemnya dengan syariat Allah sekaligus mepersiapkan manusia bertakwa untuk menerapkannya.
Kita tidak memerlukan penguasa yang dianggap mustahil salah. Kita memerlukan sistem yang tidak membenarkan kesalahan penguasa, tidak membiarkan kezaliman berlindung di sebalik kekuasaan dan mewajibkan pengaturan negara agar tunduk kepada hukum Allah. Itulah salah satu sebab asas mengapa syariat Islam secara menyeluruh (Islam kaffah) layak untuk diperjuangkan. Wallahu’alam.
#TegakKhilafah #TerapIslamKaffah