Menjaga Keikhlasan
Oleh: Naila Ahmad
“(Perhatikanlah apa yang diperkatakan, jangan memperhatikan siapa yang berkata-kata).”
Kata-kata di atas diungkapkan oleh Ali bin Abi Talib sebagaimana yang diriwayatkan dari Ibnu Asakir. Ungkapan di atas boleh menjadi tamparan keras untuk diri kita agar sentiasa ikhlas. Menerima nasihat daripada sesiapa pun asalkan baik, maka ini menjadi sesuatu yang amat menguji keikhlasan kita dalam beramal.
Fenomena yang sering berlaku pada hari ini ialah kita segan untuk mendengar nasihat jika ia datang daripada orang yang lebih muda daripada kita, atau daripada orang yang tidak bersekolah, atau yang berpendidikan rendah daripada kita. Jika apa yang mereka sampaikan itu baik dan bermanfaat untuk kita, maka janganlah kita menolaknya.
Dalam sebuah kisah yang datang dari seorang ulama besar iaitu Imam Abu Hanifah, kita dapat mengetahui bahawa seorang ulama pun mendengar kata-kata dari seorang kanak-kanak.
Ketika itu Imam Abu Hanifah sedang berjalan dan bertemu dengan seorang kanak-kanak kecil memakai sandal kayu. Kemudian dia berkata, “Hati-hati anakku, jangan sampai engkau tergelicir kerana sandal kayumu.” Anak kecil itu tersenyum dan mengucapkan terima kasih. Kemudian dia bertanya kepada Imam Abu Hanifah, “Boleh saya tahu siapa nama tuan?” “Nu’man,” jawab Imam Abu Hanifah.
Kemudian anak kecil itu berkata lagi, “Jadi tuan lah yang selama ini terkenal dengan gelaran al-Imam al-Adham(Imam agung) itu?” Kemudian Imam kembali menjawab, “Bukan saya yang memberi gelaran itu, tetapi masyarakat yang berprasangka baik dan memberikan saya gelaran itu.”
“Wahai Imam, berhati-hatilah dengan gelaran yang diberikan kepadamu, sandal kayuku ini mungkin hanya akan menggelincirkanku di dunia. Tetapi gelaranmu itu boleh menjerumuskanmu ke dalam neraka jika kesombongan dan keangkuhan mengiringinya.”
Imam Abu Hanifah segera menangis, dia bersyukur, Allah SWT tetap mengingatkan dia walaupun melalui mulut anak kecil. Lihatlah, seseorang yang memiliki darjat seperti Imam Hanafi tidak kisah dinasihati oleh anak kecil yang mungkin jauh di bawahnya dalam bidang sains, tetapi sikapnya yang merendah diri membuatkan dia sanggup menerima nasihat daripada sesiapa sahaja.
Oleh yang demikian, kerana itu belia milenial perlu berfikiran terbuka, iaitu berlapang dada dan terbuka pemikirannya. Jangan terkurung dengan cara pemikiran lama. Kita hendaklah bersedia menerima nasihat daripada sesiapa sahaja, sebagai bukti kita sentiasa menjaga keikhlasan dalam beramal. Ini supaya hati kita tetap berlapang dada, tidak kira siapa yang menasihati, kerana lihatlah apa yang disampaikan, bukan siapa yang menyampaikan.
Wallahu’alam bissawwab.