[Nafsiyah]Fitrah Wanita Sebagai Tiang Peradaban Telah Hilang
Umum mengetahui bahawa pada zaman dahulu, wanita sangat dijaga dan dipelihara. Namun, seiring berjalannya waktu, peranan wanita sebagai tiang peradaban telah hilang akibat beberapa perkara yang bertentangan dengan Islam. Yang pertama ialah, hilangnya rasa malu terhadap maksiat. Ketika kita menjadikan maksiat itu sebagai perkara biasa yang kita lakukan, maka ia dapat membahayakan keturunan dan boleh menyebabkan pertengkaran di dalam keluarga.
Sedangkan kita mengetahui bahawa perempuan merupakan wanita pertama atau dianggap sebagai ummu warrabbatul bait. Maka ketika kita menjadikan maksiat sebagai perkara yang biasa, lambat laun ia akan menjadi seperti kesalahan yang menjadi kebenaran. Seseorang pernah mengatakan, “Tanamkanlah kebatilan terus-menerus, lama-kelamaan kebatilan tersebut seolah-olah menjadi kebenaran.”
Kedua, lemahnya sendi-sendi kekuatan Islam dengan menggunakan agama. Wanita diberikan kebebasan dengan pelbagai tawaran yang menarik. Tujuannya untuk melemahkan atau menghilangkan makna syariat. Akhirnya para wanita menganggap kebebasan tersebut dibenarkan dalam Islam.
Orang yang benci terhadap Islam akan menyampaikan maklumat yang sesat kepada kaum Muslimah. Kemudian, para Muslimah akan membenarkannya atas nama agama. Sebagai contoh, idea kesetaraan gender yang disuarakan oleh para pembenci Islam. Mereka mengatakan bahaawa Islam menjunjung tinggi keadilan dan idea kesetaraan gender merupakan bukti keadilan antara wanita dan lelaki.
Ketiga ialah berhujah dengan pendapat-pendapat pelik yang boleh membuatkan keadaan umat menjadi huru-hara. Pada hari ini, sering kali kita mendengar wanita mengutarakan pendapat yang bertentangan dengan Islam, sehingga akhirnya mereka terkenal di kalangan awam kerana pendapatnya itu.
Keempat, hilangnya rasa malu, yang akhirnya menyebabkan wanita menimbulkan kontroversi dan melemahkan wanita lain yang kurang pemahaman. Ramai wanita tidak beretika dan tidak beradab tetapi mereka masih wujud dan ramai yang mengikuti mereka. Apabila wanita dilucutkan fitrahnya dan kefahaman mereka tentang Islam dihilangkan, muncul wanita pelik, penuh kontroversi yang seterusnya diikuti oleh wanita lain.
Kelima, melalui media (filem/drama) yang mendidik wanita untuk membenarkan idea sesat dan idea kebebasan yang disebarkan oleh Barat. Filem dibuat untuk menyampaikan idea pembuat filem kepada penonton mereka. Sentiasa ada “penumpang gelap” dalam sesebuah filem untuk menyebarkan idea-idea mereka walaupun bertentangan dengan nilai -nilai Islam. Contohnya, filem “Mentega Terbang”, yang mengisahkan seorang remaja yang dibesarkan dalam keluarga Muslim yang liberal , ayah yang mendokong anak untuk murtad jika itu yang dipilh oleh anaknya, mengarahkan perbincangan kehidupan selepas mati mengikut konteks agama Hindu. Manakala drama-drama yang disiarkan lebih terfokus kepada perebutan harta , cinta dan malah banyak drama tidak menunjukkan ciri-ciri kehidupan keluarga Muslim..
Keenam, pakaian Muslimah yang dipakai meragukan. Para wanita melihat dari kaum mereka, golongan yang telah memakai pakaian muslimah, lalu menanggalkannya dengan mudah. Kemudian, terdapat juga wanita yang bertudung dan memakai jubah melakukan perkara-perkara pelik yang tidak diajarkan dalam Islam. Akhirnya membuatkan wanita yang melihatnya meragui pakaian muslimah yang mereka pakai.
Semua perkara di atas menyebabkan hilangnya fitrah wanita sebagai tiang peradaban. Padahal Islam sangat memuliakan para wanita. Ketika wanita mengikuti syariat, maka tiang peradaban akan kuat dan sepatutnya wanita tidak boleh terputus dengan rujukannya kepada kehidupan bersandarakan ajaran Islam.
Seperti ibu Imam Ash-Shafie iaitu Fatimah binti Ubaidillah yang mendidik anaknya, Imam Ash-Shafie dengan nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. Maka, ketika beliau berumur 9 tahun dan masih muda, beliau telah menghafal al-Quran. Suatu kemampuan yang luar biasa dan hebat dibandingkan dengan anak-anak umur tersebut pada zaman sekarang. Peribadi wanita mulia dalam Islam yang taat terhadap syariat telah membuktikan bahawa mereka mampu menjadi tiang peradaban yang kukuh.
Yakinlah bahawa keberadaan wanita yang taat kepada syariat sangat penting bagi suatu peradaban dan kelak ia akan menjadi penolong bagi kehidupan rumah tangga dalam urusan akhirat. Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah salah seorang dari kalian memiliki hati yang bersyukur, lisan yang senantiasa berzikir, dan isteri mukmin yang akan menolongmu dalam urusan akhirat.” [HR Ibnu Majah no. 1856].
Semoga kita menjadi sebahagian dari para wanita yang mentaati syariat dan tidak kehilangan fitrahnya sebagai ummu warabbatul bait sehingga mampu menjadi tiang peradaban Islam dan menolong pasangan hidup kita dalam urusan akhirat. Wallahu’alam.
https://muslimahnews.net/2022/02/16/5010/