BELAJAR BERSUNGGUH-SUNGGUH DALAM SENYAP
Terdapat beberapa perkara yang hendak saya sampaikan kepada para penuntut ilmu:
Pertama, belajar semasa usia muda.
Terdapat sebuah pesanan indah yang disampaikan oleh Saidina Umar bin al-Khattab RA dalam kitab Sahih al-Bukhari:
تَفَقَّهُوا قَبْلَ أَنْ تُسَوَّدُوا
“Belajarlah sebelum kamu diangkat menjadi pemimpin”
Maksud Sadina Umar adalah belajarlah sebelum kamu disibukkan dengan urusan kepimpinan. Ini kerana orang yang disibukkan dengan urusan kepimpinan akan semakin sulit meluangkan waktu untuk belajar ilmu agama.
Abu Ubaid dalam kitabnya Gharib al-Hadits menafsirkan ucapan Saidina Umar seperti berikut:
مَعْنَاهُ تَفَقَّهُوا وَأَنْتُمْ صِغَارٌ قَبْلَ أَنْ تَصِيرُوا سَادَةً فَتَمْنَعُكُمُ الْأَنَفَةُ عَنِ الْأَخْذِ عَمَّنْ هُوَ دُونَكُمْ فَتَبْقُوا جُهَّالًا
“Maksudnya: belajarlah ilmu agama ketika kamu masih kecil (muda) sebelum kamu menjadi pemimpin lalu keegoanmu akan menghalangimu belajar dari orang yang berada di bawahmu, sehingga kamu pun tetap menjadi orang bodoh.”
Kedua, belajarlah meskipun sudah menjadi pemimpin dan sudah tua.
Berkaitan dengan perkataan Saidina Umar tersebut, Imam al-Bukhari menambahkan:
وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا وَقَدْ تَعَلَّمَ أَصْحَابُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي كِبَرِ سِنِّهِمْ
“Dan juga setelah diangkat menjadi pemimpin, dahulu para sahabat Nabi SAW juga belajar pada usia tua”
Maksudnya, belajarlah ilmu agama, baik sebelum mahupun setelah kamu menjadi pemimpin. Maksud Imam al-Bukhari adalah belajarlah meskipun kamu sudah menjadi pemimpin. Jangan segan-segan untuk datang ke majlis ilmu meskipun kamu sudah menjadi pemimpin. Dan jika kamu sudah tidak lagi menjadi pemimpin, jangan malu untuk kembali ke majlis ilmu.
Ibnu Hajar Al Asqalani berkata:
وَإِنَّمَا عَقَّبَهُ الْبُخَارِيُّ بِقَوْلِهِ وَبَعْدَ أَنْ تُسَوَّدُوا لِيُبَيِّنَ أَنْ لَا مَفْهُومَ لَهُ خَشْيَةَ أَنْ يَفْهَمَ أَحَدٌ مِنْ ذَلِكَ أَنَّ السِّيَادَةَ مَانِعَةٌ مِنَ التَّفَقُّهِ وَإِنَّمَا أَرَادَ عُمَرُ أَنَّهَا قَدْ تَكُونُ سَبَبًا لِلْمَنْعِ لِأَنَّ الرَّئِيسَ قَدْ يَمْنَعُهُ الْكِبْرُ وَالِاحْتِشَامُ أَنْ يَجْلِسَ مَجْلِسَ الْمُتَعَلِّمِينَ
“Maksud al-Bukhari menambahkan pesanan ‘dan setelah menjadi pemimpin’ adalah untuk menjelaskan bahawa ucapan Umar tidak boleh difahami sebaliknya. Dia khuatir terdapat orang yang memahami bahawa menjadi pemimpin bermakna berhenti dari mempelajari ilmu agama. Yang dimaksudkan oleh Umar hanyalah kepimpinan berpeluang besar menjadi sebab penghalang dari mempelajari ilmu agama. Hal ini kerana seorang pemimpin boleh jadi merasa malu untuk duduk di majlis para pelajar.”
[Sumber: Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, 1/166]
Ketiga, serius dan bersungguh-sungguhlah dalam senyap.
Thalabul ilmi adalah jalan menggapai redhaNya. Namun Allah SWT ingin melihat kesungguhan kita dalam menempuh jalan menuju keredhaanNya.
أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ
“Adakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang bersungguh-sungguh di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang sabar.” [TMQ Ali Imran (3): 142]
Pepatah Arab mengatakan:
وما اللذة إلا بعد التعب
“Tiada kelazatan kecuali setelah keletihan.”
Jadi jika kita berangan-angan hidup tanpa ujian, perjuangan dan susah-payah, sebenarnya jalan siapa yang mahu kita ikuti?
Keseriusan dalam belajar itu tidak perlu selalu dihebohkan apatah lagi harus di hadapan lensa kamera. Terdapat sebuah pepatah Arab yang bagus untuk dijadikan sebagai renungan:
اعمل بجد في صمت ودع نجاحك يصنع الضجة
“Bekerja keraslah dalam diam dan biarkan kejayaanmu yang menonjol.”
Keempat, munajat dalam doa dan saling mendoakan.
Para pelajar hendaklah selalu berdoa, memohon keberkatan ilmu kepada Allah SWT. Ini kerana Allah-lah yang memiliki semua ilmu dan memberikannya kepada siapa yang Dia kehendaki. Juga tidak lupa agar saling mendoakan diantara kita.
Semoga kita ada dalam redhaNya, yang salah satu sebabnya adalah mempelajari tsaqafah Islam.
– Ustaz Yuana Ryan Tresna