Ibnu Taimiyah, sang Mujadid yang Teguh
Penulis: Chusnatul Jannah
“Di sebalik seorang tokoh yang mulia, pasti terdapat seorang wanita yang mulia,” Sebuah ungkapan yang tidak asing di telinga kita. Ya, ibu adalah asas peradaban. Di tangannyalah akan lahir generasi yang hebat.
Setiap kali kita membaca biografi ulama, rasanya sukar bagi kita untuk melepaskan catatan tentang tokoh istimewa yang berada di sebalik kejayaannya. Seorang ibu yang memegang peranan yang cukup besar sehingga berjaya membentuk anak-anaknya menjadi peribadi yang mulia. Salah satu di antara contoh yang paling nyata adalah ibu kepada Ahmad bin Taimiyah atau lebih dikenali dengan Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah.
Siapa yang tidak kenal dengan ulama besar yang seorang ini? Ulama berkarisma yang terkenal pada masanya. Tokoh yang telah berjuang untuk Islam dengan pemikiran dan pendiriannya yang teguh. Karyanya menyebar ke seluruh pelusuk dunia. Bagaimana zaman kanak-kanak Ibnu Taimiyah? Terdapat hikmah yang luar biasa dari sepucuk surat ibunda Ibnu Taimiyah bagi para ibu pendidik generasi Islam.
Kehidupan Ibnu Taimiyah
Abul Abbas Taqiuddin Ahmad bin Abdus Salam bin Abdullah bin Taimiyah al- Harrani atau dikenali dengan nama Ibnu Taimiyah merupakan seorang ulama besar Islam dari Harran, Turki. Beliau lahir pada 10 Rabiulawal 661 H (22 Januari 1263 M).
Selain dikenali sebagai Syaikhul Islam, Ibnu Taimiyah juga dikenali sebagai tokoh ulama yang tegas dan teguh dalam pendirian beliau sesuai dengan yang disyariatkan dalam Islam. Beliau dikenali pula sebagai seorang mujadid (pembaharu) dalam pemikiran Islam.
Beliau berasal dari keluarga yang beragama. Ayahnya Syihabuddin bin Taimiyah adalah seorang ulama, hakim, dan khatib. Datuknya, Majduddin Abul Birkan Abdussalam bin Abdullah bin Taimiyah al-Harrani merupakan seorang ulama yang menguasai fikih, hadis, tafsir, ilmu usul, dan hafiz (penghafal al-Quran).
Ibnu Taimiyah lahir pada masa ketika Baghdad merupakan pusat kekuasaan Islam semasa Kekhalifahan Abbasiyah. Ketika beliau berusia enam tahun (1268), beliau dibawa ayahnya ke Damaskus, Syria, disebabkan serbuan tentera Mongol ke atas Irak.
Sejak kecil tanda-tanda kecerdasannya sudah terlihat. Apabila beliau tiba di Damaskus, beliau segera menghafal al-Quran dan mencari pelbagai cabang ilmu dari para ulama, hafiz, dan ahli hadis di negeri tersebut Kecerdasan serta kekuatan otaknya membuatkan para tokoh ulama tersebut tercengang.
Ketika beliau masih kanak-kanak, pernah ada seorang ulama besar dari Aleppo, Syria, yang sengaja datang ke Damaskus khusus untuk melihat Ibnu Taimiyah yang kecerdasannya menjadi buah mulut. Setelah bertemu, beliau menguji kecerdasannya dengan cara menyampaikan belasan matan hadis sekaligus. Ternyata Ibnu Taimiyah mampu menghafalkannya secara cepat dan tepat.
Begitu pula ketika disampaikan kepadanya beberapa sanad, beliau pun dengan tepat pula mampu mengulangi dan menghafalnya. Ulama tersebut berkata, “Jika kanak-kanak ini hidup, niscaya beliau kelak mempunyai kedudukan besar sebab belum pernah ada seorang kanak-kanak sepertinya.”
Sejak kecil, Ibnu Taimiyah hidup dan dibesarkan di tengah para ulama sehingga mempunyai kesempatan untuk membaca sepuas-puasnya kitab-kitab yang bermanfaat. Beliau menggunakan seluruh waktunya untuk belajar dan menggali ilmu, terutamanya tentang al-Quran dan Sunah Nabi.
Ketika umurnya belum mencapai belasan tahun, beliau sudah menguasai ilmu usuluddin dan mendalami bidang-bidang tafsir, hadis, dan bahasa Arab. Beliau telah mengkaji Musnad Imam Ahmad sampai beberapa kali, kemudian Kutubus Sittah dan Mu’jam at-Thabrani Al-Kabir. Pada usia 19 tahun, beliau diamanahkan menjadi guru besar hadis di Damaskus menggantikan ayahnya yang baru saja meninggal dunia.
Balasan Surat Ibunda Ibnu Taimiyah yang Membangkitkan Jiwa
Sama seperti para ulama lainnya, dalam perjalanan dakwahnya beliau seringkali mendapat ujian dan penentangan dari musuh-musuhnya. Beliau berulang kali dipenjara kerana tuduhan palsu yang direka kerana kedengkian, fitnah, dan kebencian tanpa alasan. Bahkan, sejarah menyebutkan bahawa selama hidupnya beliau dipenjara sehingga tujuh kali.
Suatu ketika dari sebalik tiang besi penjara, Ibnu Taimiyah menulis surat kepada ibunya. Dalam surat tersebut beliau menyampaikan permohonan maaf disebabkan jauhnya beliau dari sang ibu serta lamanya beliau menetap di Kota Mesir. Mendapat surat dari anaknya tersebut, dengan kata-kata yang lembut dan penuh bijaksana, sang ibu membalas surat anaknya tersebut.
“Anakku yang tercinta, yang kuredhai Ahmad bin Taimiyah. Wa‘alaika assalam warahmatullahi wa barakatuh wa maghfiratuh wa ridhwanuh. Sesungguhnya, demi Allah SWT untuk yang seperti inilah aku mendidikmu sejak kecil, dan demi menolong agama Islam dan kaum muslim aku mempersembahkanmu dan demi syariat agamamu aku mengajarkan ilmu kepadamu.
Jangan engkau menganggap dekatnya dirimu dariku lebih aku cintai dari kedekatanmu terhadap agamamu dalam rangka engkau menolongnya beserta kaum muslimin di seluruh penjuru dunia. Bahkan, ketahuilah wahai anakku, keredhaanku kepadamu itu kembali pada sejauh mana engkau menolong agama Allah SWT dan kaum muslim. Esok di hari kiamat, aku tidak akan menuntutmu di hadapan Allah SWT kerana jauhnya engkau dariku kerana aku tahu di mana dan apa yang engkau lakukan.
Bahkan wahai anakku, Ahmad! Aku akan menuntutmu di hadapan Allah SWT ketika engkau lalai menolong agama Allah SWT dan pengikutnya, kaum muslim. Semoga Allah SWT senantiasa meredhaimu, wahai Anakku, menerangi perjuangan dan meluruskan setiap langkahmu, dan semoga Allah SWT mengumpulkan kita di bawah naungan Arsy-Nya dimana tiada naungan selain naunganNya. Wasaalamu’alaikum warahmatullah wa barakatuh.” (Majmu’ Fatawa, 28/48).
Balasan surat di atas memberikan kesan yang cukup mendalam kepada kita tentang kehebatan ibunda Ibnu Taimiyah. Wanita solehah yang berjaya mendidik anaknya menjadi ulama rujukan umat pada masanya. Wanita kuat yang berorientasikan akhirat. Beliau lebih senang anak-anaknya bermanfaat bagi umat berbanding untuk dirinya sendiri. Dan inilah wanita cerdas yang menjadikan anaknya sebagai pelaburan di hari kiamat kelak.
Semoga perjalanan dan kisah Ibnu Taimiyah mampu menjadi pemicu bagi para pemburu ilmu. Di sebalik pencapaian hebatnya dalam menimba ilmu, terdapat keberkahan berbentuk doa dan perjuangan ibundanya yang berjaya menghantarkan puteranya menjadi mujadid (pembaharu) dan ulama besar.
*Disarikan dari pelbagai sumber