[KISAH INSPIRASI] Ahnaf bin Qais, Pemimpin Pintar dan Bernas
Penulis: Chusnatul Jannah
Ketika itu, penduduk Damsyik sedang tersenyum ceria menyambut kedatangan musim bunga. Bangga dengan kesuburan tanah dan taman yang indah berseri.
Pada hari itu Amirul mukminin Muawiyah bin Abi Sufyan sedang bersiap sedia menerima utusan di istana. Apabila peluang pertama dibuka, Ummul Hakam binti Abi Sufyan segera mengambil tempat duduk di belakang tabir. Dari situ dia dapat mendengar perbincangan dalam majlis abangnya tentang hadis-hadis Nabi SAW. Dia mengisi dirinya dengan segala yang didengarinya daripada penasihat negara, laporan tentang pelbagai perkara, berita yang aneh, syair-syair yang indah atau hikmah-hikmah yang luhur.
Wanita bangsawan yang sangat pintar ini bersemangat untuk mencapai ketinggian martabat. Manakala abangnya pula menerima orang yang menghadap berdasarkan kedudukannya. Para sahabat Rasulullah SAW sentiasa didahulukan daripada yang lain, kemudian diikuti oleh tokoh tabiin, para ulama dan golongan bangsawan.
Tidak seperti biasa, Ummul Hakam mendapati bahawa tetamu pertama abangnya membawa suasana yang agak tegang dan mendebarkan. Dia mendengar abangnya berkata, “Demi Allah, wahai Ahnaf, setiap kali aku teringat perang Shiffin dan bagaimana kamu berpihak kepada Ali bin Abi Thalib kemudian meninggalkan kami, rasa kesal di hatiku tidak dapat diubati.”
Tegas lawan bicaranya menjawab,“Demi Allah, wahai Muawiyah, rasa benci juga masih membekas dalam hati kami dan pedang yang kami gunakan untuk melawan kamu masih ada di tangan kami. Jika anda maju selangkah, kami akan maju sepuluh langkah. Jika anda maju dengan berjalan, maka kami akan maju dengan berlari. Demi Allah, kami ke sini bukan untuk mengemis dari anda atau kerana gertakan kemarahan anda. Kami datang ke sini untuk menguatkan hubungan yang retak di antara kita, menyatukan pendapat, dan menyatukan umat Islam.” Setelah itu tetamu tersebut meminta diri.
Timbul rasa ingin tahu di fikiran Ummul Hakam. Disingkap tabir penutup untuk melihat siapakah orang yang bersikap biadap terhadap khalifah. Ternyata dia adalah seorang yang bertubuh kecil, kepala botak, dagunya senget, mata cekung, dan kedua kakinya bengkok ke dalam. Tidak kekurangan jasad yang dimiliki oleh manusia, melainkan dia mendapat bahagiannya.
Ummul Hakam berpaling kepada abangnya dan berkata, “Wahai Amirul mukminin, siapakah orang itu? Berani betul mengancam khalifah di rumahnya.” Muawiyah menghela nafas panjang dan berkata, “Begitulah, jika dia sedang marah, pasti seratus ribu penduduk Bani Tamim akan ikut marah tanpa mengetahui sebabnya. Dia adalah Ahnaf bin Qais, pemimpin Bani Tamim dan pahlawan bangsa Arab.”
Kedudukan Ahnaf
Pada tahun ketiga sebelum Hijriah, Qais bin Muawiyah as-Sa’di mendapat hadiah seorang bayi lelaki. Dia diberi nama Adh-Dhahhak, tetapi orang memanggilnya Ahnaf kerana kakinya yang bengkok (seperti huruf X), nama panggilan yang memang lebih sesuai daripada namanya sendiri sehingga nama panggilan itu seolah-olah menjadi namanya.
Ayah Ahnaf yang bernama Qais bukanlah seorang tokoh dari kaumnya dan bukan juga dari golongan bawahan. Kedudukan mereka adalah pertengahan. Ahnaf dilahirkan di sebelah Barat Yamamah, tepatnya di daerah Najd. Ahnaf kecil membesar sebagai yatim kerana ayahnya terbunuh ketika dia masih kecil. Cahaya Islam bersinar dalam hati budak kecil itu sejak misainya masih belum tumbuh.
Rasulullah SAW pernah menghantar beberapa sahabat kepada kaum Ahnaf bin Qais beberapa tahun sebelum kematiannya untuk menyeru mereka kepada Islam. Mereka bertemu pemimpin kaum tersebut sambil memberikan dorongan iman dan menawarkan Islam.
Orang ramai terdiam seketika mendengar ajakan para sahabat. Mereka berpandangan antara satu sama lain, tiba-tiba Ahnaf muda yang turut hadir bersuara, “Wahai saudara-saudaraku, mengapa kalian masih teragak-agak? Demi Allah, utusan yang datang kepada kalian ini adalah sebaik-baik utusan. Mereka mengajak kepada akhlak yang mulia dan melarang dari yang tercela. Demi Allah, tiada yang kita lihat daripada mereka melainkan kebaikan, maka sambutlah seruan hidayah ini, nescaya kalian akan berbahagia di dunia dan akhirat.”
Akhirnya orang ramai memeluk Islam secara serentak bersama Ahnaf. Kemudian mereka mengirimkan utusan kepada Rasulullah SAW, tetapi Ahnaf tidak termasuk kerana masih terlalu muda sehingga tidak mendapat penghormatan sebagai salah seorang sahabat. Namun demikian, dia tidak dihalang untuk mendapatkan redha dari Rasulullah SAW dan doa beliau kepadanya.
Ahnaf menceritakan kisahnya, “Pernah pada masa pemerintahan Umar bin Khattab, aku sedang melakukan tawaf di Baitul Atiq (Kaabah) dan berjumpa dengan seseorang yang sudah aku kenali. Dia memegang tanganku dan berkata, “Mahukah aku memberikan khabar gembira kepada kamu?” Aku berkata, “Ya sudah tentu.” Dia berkata, “Apakah kamu ingat ketika aku diutus oleh Nabi SAW untuk menyeru kaummu kepada Islam? Saya telah memujuk mereka dan menawarkan Islam, kemudian kamu mengatakan sesuatu kepada mereka?” Aku menjawab, “Ya, aku ingat.” Dia menyambung, “Apabila aku tiba kepada Rasulullah SAW dan menceritakan tentang apa yang kamu katakan, beliau berdoa, “Ya Allah, berikan keampunan kepada Ahnaf.”
Ahnaf berkata, “Tidak satu pun dari amalanku yang aku harapkan lebih bermanfaat pada hari kiamat melainkan doa Nabi SAW.”
Kepintaran Ahnaf dalam Pembebasan Parsi
Pada suatu hari Utbah bin Ghazwan menerima surat dari Khalifah Umar bin Khattab. Beliau meminta supaya menghantar sepuluh orang tentera utama daripada pasukannya yang pernah berkhidmat dalam peperangan. Khalifah Umar ingin mengetahui tentang pasukan Islam dan ingin meminta pertimbangan mereka.
Perintah itu segera dilaksanakan oleh Utbah. Beliau menghantar sepuluh orang tenteranya yang terbaik kepada Amirul mukminin di Madinah, termasuk Ahnaf bin Qais. Kemudian mereka berangkat menuju ke Madinah.
Setibanya utusan itu disambut oleh Khalifah dan diminta duduk di dalam majlisnya. Mereka ditanya tentang keperluan mereka dan keperluan seluruh rakyat. Mereka berkata, “Mengenai keperluan rakyat secara umum, kamu lebih tahu kerana kamu adalah pemimpin. Kami hanya berbicara atas nama peribadi kami sendiri.” Kemudian masing-masing meminta keperluan mereka.
Kebetulan Ahnaf bin Qais mendapat peluang terakhir untuk berbicara kerana dikira paling muda di antara mereka. Beliau memuji Allah dan menyanjung-Nya, kemudian berkata:
“Wahai Amirul mukminin, sesungguhnya tentera kaum muslim yang dihantar ke Mesir, mereka tinggal di daerah hijau yang subur dan tempat yang mewah peninggalan Firaun. Manakala, pasukan yang dihantar ke negeri Syam, mereka tinggal di tempat yang selesa, banyak buah-buahan dan taman seperti istana. Kemudian tentera yang dihantar ke Parsi, mereka tinggal di sekitar sungai yang banyak dengan air tawar, serta dusun buahan yang ditinggalkan oleh maharaja.
Namun, kami yang dihantar ke Basrah, mereka tinggal di tempat yang kering dan tandus, tanahnya tidak subur dan tidak menumbuhkan apa-apa buah. Salah satu tepinya adalah laut yang masin, tepi satu lagi hanyalah hamparan tandus. Oleh itu, perhatikanlah kesusahan mereka, wahai Amirul mukminin! Perbaikilah kehidupan mereka dan perintahkan gabenor kamu di Basrah untuk membuat aliran sungai supaya mempunyai air tawar yang dapat menampung ternakan dan pokok. Perbaikilah keadaan mereka dan keluarga mereka, ringankanlah penderitaan mereka kerana mereka menggunakan perkara itu sebagai sarana untuk berjihad fii sabililah.”
Umar kagum mendengar kenyataannya, kemudian bertanya kepada utusan yang lain, “Mengapakah kalian tidak melakukan seperti yang dia lakukan? Sungguh dia (Ahnaf)—demi Allah—adalah seorang pemimpin.”
Kemudian Umar menyiapkan bekalan mereka dan juga menyiapkan bekalan untuk Ahnaf. Namun, Ahnaf berkata, “Demi Allah wahai Amirul mukminin, tidaklah kami datang dari jauh untuk bertemu kamu dan memukul perut unta berhari-hari semata-mata untuk mendapatkan bekalan. Saya tidak mempunyai keperluan melainkan keperluan kaumku seperti yang telah saya katakan kepada kamu. Jika kamu mengabulkannya, itu sudah cukup untuk kamu.”
Rasa kagum Umar semakin bertambah, lalu beliau berkata, “Pemuda ini adalah pemimpin penduduk Basrah.”
Amirul mukminin memberi kebenaran kepada para utusan untuk kembali ke Basrah. Namun, Ahnaf tidak dibenarkan kembali bersama mereka. Beliau diminta tinggal bersama Umar selama setahun penuh. Umar ra. memerhatikan bahawa pemuda Bani Tamim itu lebih cerdas, fasih berbicara, berjiwa besar, bersemangat tinggi, dan kaya dengan ilmu pengetahuan.
Oleh itu, Umar berniat untuk membinanya agar menjadi kader muslim yang berguna dengan cara banyak belajar daripada para sahabat dan mengikuti jejak mereka dalam menuntut agama Allah.
Beliau juga berhasrat untuk menguji lebih dalam tentang keperibadian Ahnaf sebelum memberikannya tugas sosial. Ini kerana Umar sangat bimbang akan orang yang pintar dan fasih dalam berbicara. Orang-orang seperti itu, jika mereka baik boleh memenuhi dunia, dan jika mereka rosak maka kecerdasannya akan menjadi bencana bagi manusia.
Setelah setahun Ahnaf bersama Umar, lalu Umar berkata, “Wahai Ahnaf, aku sudah mengujimu, ternyata yang aku dapati dalam dirimu hanyalah kebaikan. Aku melihat luaranmu baik, maka aku berharap batinmu juga begitu.”
Kemudian Umar menghantar Ahnaf untuk memimpin pasukan ke Parsi. Beliau berpesan kepada panglimanya, iaitu Abu Musa al-Asy’ari, “Untuk kali berikutnya sertailah Ahnaf sebagai teman, ajaklah dia bermusyawarah dalam semua urusan dan perhatikan usulnya.”
Nasihat Ahnaf
Ahnaf mempunyai kedudukan yang terhormat di mata rakyatnya. Biarpun dia tidak berjawatan tinggi, ayah dan ibunya juga bukan orang yang menjadi tokoh oleh kaumnya. Berkali-kali orang bertanya tentang pencapaian Ahnaf sebagai pemimpin Bani Tamim yang disegani. Di antara mereka ada yang bertanya, “Bagaimanakah kaummu menganggapmu sebagai pemimpin, wahai Abu Bahr?”
Ahnaf menjawab, “Barangsiapa yang mempunyai empat perkara, maka dia akan memimpin kaumnya dan tidak akan terhalang untuk mendapatkannya.” Orang itu bertanya, “Apakah empat perkara itu?”
“Agama sebagai perisai, kemuliaan yang menjaganya, akal yang membimbingnya, dan rasa malu yang mengawalnya,” jawab Ahnaf.
Ahnaf adalah orang yang tekun beribadah, rajin berpuasa, dan zuhud terhadap apa-apa yang menjadi milik orang lain. Apabila malam tiba, dia menyalakan pelita dan meletakan berhampiran dengannya. Selepas itu, dia mula solat berdiri terketar-ketar seperti orang sakit sambil menangis kerana takut akan azab dan murka Allah SWT..
Setiap kali dia teringat akan dosa-dosanya, Ahnaf meletakkan jarinya di atas api sambil berkata, “Hai Ahnaf! Rasakanlah ini! Apa yang membuatmu bertindak seperti itu pada hari dan ketika itu? Celakalah engkau, Ahnaf! Jika engkau tidak dapat menahan panasnya api pelita ini dan tidak dapat bersabar, bagaimana mungkin engkau dapat menahan panasnya api neraka dan dapat bersabar dengan rasa pedihnya?”
Inilah Ahnaf. Pemimpin Bani Tamim yang pintar memberi input kepada Khalifah. Pemimpin yang dipilih kerana ucapan bernasnya. Dia dimuliakan lantaran kapasiti kepimpinannya, bukan berbekalkan penampilan.
*Disarikan daripada pelbagai sumber
#KisahInspirasi #AhnafBinQais #PemimpinPintarDan Bernas #Berani #Zuhud