[Syarah Hadis] Upah Mengajarkan Al-Quran
Penulis: Yoyok Rudianto
قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَقَّ مَا أَخَذْتُمْ عَلَيْهِ أَجْرًا كِتَابُ الله
Rasulullah SAW. bersabda, “Sesungguhnya yang paling berhak kalian ambil upahnya adalah Kitabullah.” [HR Al-Bukhari no. 5737].
Imam Al-Bukhari berkata, telah menceritakan kepada kami Sidan bin Mudharb Abu Muhammad al-Bahili, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’syir al-Bashri, dia Shuduq Yusuf bin Yazid al-Barra’, dia berkata, telah menceritakan kepada kami Ubaidullah bin al-Akhnas Abu Malik dari Ibnu Abiy Mulaikah dari Ibnu Abbas RA, bahawa sekelompok sahabat Nabi SAW pernah melalui mata air. Di kalangan mereka ada orang yang disengat binatang berbisa. Salah seorang daripada penduduk sumber air itu menawarkan, “Adakah di antara kalian orang yang boleh merukyah? Di daerah sumber air ada lelaki yang disengat binatang berbisa.” Lalu salah seorang daripada mereka pergi. Kemudian, lelaki itu membacakan Fatihah al-Kitab dengan upah seekor kambing. Orang itu pun sembuh. Lalu dia membawa seekor kambing itu kepada teman-temannya. Mereka tidak suka hal tersebut. Mereka berkata, “Engkau mengambil upah atas Kitabullah.” Lalu mereka tiba di Madinah. Mereka berkata, “Ya Rasulullah, dia mengambil upah atas Kitabullah.” Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya yang paling berhak untuk kalian ambil upahnya adalah Kitabullah.”
Rasulullah SAW pernah menikahkan seorang sahabat dengan seorang wanita dengan mahar mengajarkan al-Quran. Rasul SAW bersabda kepada sahabat itu,
قَدْ زَوَّجْتُكَهَا ( مَلَّكْتُكَهَا) بِمَا مَعَك مِن القُرْآنِ
“Aku telah menikahkan kamu dengan dia dengan (mahar) al-Quran yang ada padamu.” [HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, At-Tirmidzi, dan An-Nasa’i].
Dalam salah satu riwayat Imam Muslim Rasul SAW bersabda kepadanya,
انْطَلِقْ فَقَدْ زَوَّجْتُكَهَا فَعَلِّمْهَا مِنَ الْقُرْآنِ
“Pergilah kerana aku telah menikahkan kamu dengan dia. Kerana itu ajarkanlah dia sebahagian daripada al-Quran.” [HR Muslim].
Jumhur ulama menggunakan dalil dengan kedua-dua hadis di atas terkait bolehnya mengambil upah daripada mengajarkan al-Quran. Hadis Ibnu Abbas jelas menunjukkan dibenarkan mengambil upah atas rukyah dengan membacakan al-Quran. Membaca al-Quran adalah sama sahaja, baik dalam rukyah atau pengajaran atau taklim. Oleh kerana itu, hadis ini juga menjadi dalil dibenarkan mengambil upah disebabkan mengajar al-Quran.
Di dalam satu riwayat Abu Sa’id al-Khudzri dinyatakan bahawa sahabat mensyaratkan upah sepotong dari kambing sehingga dia merukyahnya. Bahkan Rasulullah SAW meminta bahagian ketika potongan kambing itu dibahagi-bahagikan. Daripada peristiwa tersebut, menurut jumhur ulama, hadis ini juga menunjukkan dibenarkan ijarah taklim al-Quran dan mengambil ujrah dari mengajarkan al-Quran.
Demikian pula hadis tentang pernikahan dengan mahar mengajarkan al-Quran. Ini menunjukkan dibenarkan upah atau upah mengajarkan al-Quran. Ini disebabkan oleh, yang dijadikan upah hakikatnya adalah upah atas mengajarkan al-Quran itu. Pengajaran itu, bahkan dinyatakan di dalam riwayat Imam Muslim, Abu Dawud, dan an-Nasa’i.
Di sisi lain, ada hadis-hadis yang memberikan pemahaman larangan mengambil upah atas pengajaran al-Quran.
Di antaranya hadis dari Abdurrahman bin Syiblin yang menuturkan bahawa Rasul SAW bersabda,
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ وَلَا تَغْلُوا فِيهِ وَلَا تَجْفُوا عَنْه وَلا تَأْكُلُوا بِهِ وَلا تَسْتَكْثِرُوا بِهِ
“Bacalah al-Quran. Janganlah berlebihan di dalamnya. Jangan berpaling darinya. Jangan kamu makan dengannya. Jangan pula berlebihan meminta dengannya.” [HR Ahmad].
Imran bin Hushain menuturkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ وَاسْأَلُوا الله بِهِ، فَإِنَّ مِنْ بَعْدِكُمْ قَوْمًا يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ رَوَاه أَحْمَدُ وَالتِّرْمِذِي
“Bacalah al-Quran dan mintalah kepada Allah dengannya sebab akan ada sesudah kalian kaum yang membaca al-Quran dan meminta kepada manusia dengan al-Quran. [HR Ahmad dan At-Tirmidzi].
Ubadah bin As-Shamit menuturkan bahawa dia mengajarkan beberapa sahabat ahlu ash-shufah. Lalu salah seorang menghadiahkannya dia busur panah. Dia memberitahu perkara tersebut kepada Rasul SAW, lalu Rasulullah SAW bersabda kepada dirinya:
إِنْ سَرَّكَ أَنْ تُطَوَّقَ بها طَوْقًا مِنْ نار فَاقْبَلْهَا
“Jika engkau senang dikalungi dengannya kalung dari api (neraka), maka terimalah.” [HR Ahmad, Ibnu Majah, dan Abu Dawud].
Ketiga-tiga hadis ini dan seumpamanya, di dalamnya terdapat makna larangan mengambil imbalan dari pengajaran al-Quran. Di dalamnya juga terdapat celaan terhadap mengambil upah dari mengajarkan al-Quran.
Dari kedua-dua kelompok hadis di atas, kelihatan jelas adanya pertembungan. Hanya sahaja, dengan merenungkan semuanya, maka kedua-dua kelompok hadis di atas boleh dipertemukan.
Adapun pendapat yang mengatakan bahawa larangan mengambil upah itu telah di-naskh dengan dibenarkan atau sebaliknya, tuntutan naskh ini tidak boleh diterima sebab tidak diketahui mana yang lebih dulu dan yang kemudian.
Hadis-hadis yang bermakna larangan itu, menurut al-Hafizh Ibnu Hajar al-‘Ashqalani, tidak mengandungi pernyataan larangan secara mutlak. Bahkan itu merupakan peristiwa-peristiwa tertentu yang boleh ditakwilkan agar sesuai dengan hadis-hadis sahih seperti hadis Ibnu Abbas dan Abu Sa’id al-Khudzri tersebut.
Memang hadis-hadis itu mengandungi makna larangan, juga hadis Ubadah seolah-olah menunjukkan larangan itu tegas. Namun demikian, adanya hadis sahih yang membolehkan, iaitu hadis Ibnu Abbas dan Abu Sa’id, apalagi Rasulullah SAW sendiri yang melakukannya dalam hadis Ibnu Abbas dan dalam hadis Abu Sa’id, Rasulullah pun ikut mendapat bahagian dari imbalan kambing ketika dibahagi-bahagi, menjadikan larangan itu tidak bersifat tegas. Ertinya, larangan itu tidak menunjukkan haram, melainkan menunjukkan karahah atau kemakruhan mengambil upah dari mengajarkan al-Quran.
Adapun ijarah mengajarkan atau taklim al-Quran tetap boleh. Hal itu ditegaskan oleh ijmak sahabat. Diriwayatkan dari Wadhiyah bin Atha’ bahawa di Madinah terdapat tiga orang pengajar yang mengajarkan anak-anak. Umar bin Al-Khattab RA memberikan upah masing-masing dari baitulmal sebanyak 15 (dinar) setiap bulan. Tentu sahaja, taklim di sini juga mencakup taklim al-Quran. Apalagi, itu termasuk hal paling penting yang mesti diajarkan kepada anak-anak.
Wallahualam wa ahkam.