HUKUM MELIHAT WANITA (BAHAGIAN 2)
Dalam menjalani kehidupan yang sempurna, setiap Muslim perlu berinteraksi untuk menyelesaikan banyak urusan kehidupan. Oleh itu, interaksi antara lelaki dan wanita mungkin berlaku dalam pelbagai bentuk urusan. Dalam lembaran yang lalu (Bahagian 1), kami telah mengulas tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh syarak sehingga membolehkan interaksi wujud berserta syarat-syaratnya. Untuk lembaran kali ini, kami akan memfokuskan kewajipan seorang wanita ketika berada di tempat awam, iaitu tempat yang berpotensi untuk dilihat oleh sesiapa sahaja termasuk lelaki ajnabi.
Ketika seorang wanita berada di tempat awam, Allah SWT telah mewajibkan kepada wanita untuk memakai pakaian yang dapat menutupi warna kulit, iaitu pakaian yang tidak nipis. Dia juga perlu memakai pakaian luar yang longgar melapisi pakaian hariannya yang dia pakai ketika di dalam rumah. Ini bermakna, tidak cukup hanya memakai pakaian yang menutup aurat. Allah SWT telah mewajibkan wanita memakai mulâ‘ah (sekeping kain yang tidak terpotong/jubah) atau milhafah (seperti selimut) untuk dipakai di bahagian luar pakaian harian dan dilabuhkan ke bawah (irkhâ’) sehingga menutupi kedua-dua kakinya. Dalil perintah ini adalah firman Allah SWT: “Hai Nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, ‘Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka” [TMQ al-Ahzab (33): 59].
Sekiranya seorang wanita tidak mempunyai mulâ’ah atau milhafah, maka hendaklah dia meminjamnya sama ada daripada jiran, teman atau kerabatnya. Namun, jika dia tidak dapat meminjamnya atau tiada sesiapa yang mahu meminjamkannya, maka dia tidak boleh keluar dari rumah tanpa mengenakan pakaian tersebut. Kewajipan ini telah diriwayatkan dari Ummu ‘Athiyah, dia berkata: Rasulullah SAW memerintahkan agar kami mengeluarkan para wanita iaitu hamba-hamba sahaya perempuan, wanita-wanita yang sedang haid, dan para gadis yang sedang dipingit, pada hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Wanita-wanita yang sedang haid, mereka memisahkan diri tidak ikut menunaikan solat, tetapi tetap menyaksikan kebaikan dan (mendengarkan) seruan kepada umat Islam. Aku lantas berkata, “Ya Rasulullah, salah seorang di antara kami tidak memiliki jilbab.” Rasulullah pun menjawab, “Hendaklah saudaranya memakaikan jilbabnya kepada wanita itu.” [HR Muslim].
Seorang wanita juga diwajibkan memakai tudung (khimar) atau seumpamanya yang dapat menutup seluruh kepala, seluruh leher, dan belahan pakaian di dada. Dalil perintah ini adalah firman Allah SWT: “Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya…” [TMQ Al-Nur (24) : 31]
Dalam menjaga iffah wanita, Islam bukan sahaja mewajibkan wanita menutup auratnya, malah Islam juga melarang wanita bertabarruj. Tabarruj ialah perbuatan berhias atau berpakaian secara berlebihan bagi wanita sehingga menarik perhatian ramai walaupun menutup aurat. Oleh itu, wanita hendaklah memastikan pakaiannya menutup aurat dan tidak menarik perhatian sesiapa ketika melangkah keluar dari rumah.
Dalil tentang perkara ini ialah, “Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan” [TMQ An-Nur (24): 31]. Berdasarkan dalil ini, seorang wanita dilarang berjalan dengan cara yang boleh menarik perhatian ke arah gelang kakinya walaupun kakinya tertutup. Oleh itu, berpakaian yang boleh menarik perhatian (walaupun tanpa membuka aurat) adalah tabarruj dan ini adalah dilarang. Allah SWT juga berfirman “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan diri kamu seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”[TMQ Al-Ahzab (33): 33].
Sebagai seorang Muslim, kita tidak sepatutnya menjadikan kebiasaan wanita jahiliyyah yang suka bertabarruj sebagai kebiasaan kita pada hari ini. Seorang wanita tidak boleh memakai alat-alat solek secara berlebihan sehingga dapat menarik perhatian lelaki ajnabi kepadanya dan menimbulkan fitnah. Berlebihan dalam berhias bagi seorang wanita adalah dibenarkan hanya kepada suaminya sahaja. Daripada Sa`id bin Musayyib, bahawa Saidina Ali RA bertanya kepada isterinya Fatimah RA: “Apakah perkara yang paling baik bagi kaum wanita? Fatimah menjawab: Wanita-wanita yang tidak memandang lelaki dan lelaki juga tidak memandang mereka.” [HR Imam Ibnu Nu’aim].
Oleh itu, wanita hendaklah menyempurnakan pakaian mereka di tempat umum dan tidak bertabarruj. Usaha kaum wanita untuk menjadi lebih baik bermula apabila mereka menyempurnakan segala perintah dan larangan Allah. Hanya Islam yang mampu melindungi kaum wanita. Salah satunya adalah dalam cara berpakaian dan larangan tabarruj ini. Hukum-hukum mengenainya dapat menjaga kemuliaan wanita, menjaga iffah mereka dan bentuk kasih sayang Allah kepada mereka.