Makna Aidiladha bagi Keluarga Muslim
Penulis: Najmah Saiidah
Sungguh, semua keluarga muslim tentu bersukacita dapat bertemu kembali dengan Aidiladha, hari besar umat Islam selain Aidilfitri. Kita telah melaksanakan Solat Aidiladha pagi tadi, berkumpul dengan saudara-saudara kita sesama muslim di negeri kita, saling bersalaman dan bermaaf-maafan.
Sebahagian saudara kita lainnya yang beruntung menjadi tetamu Allah pada tahun ini menunaikan ibadah haji ke Baitullah. Kita dapat melihat lautan manusia dengan pakaian ihram bagi lelaki dan kaum perempuan yang memakai pakaian putih berkumpul wukuf pada 9 Zulhijah kelmarin. Umat Islam berkumpul dari seluruh penjuru dunia di Padang Arafah.
Seketika dada ini terasa sesak, bila umat Islam seluruh dunia bersatu padu di bawah satu pemimpin, di bawah naungan hukum-hukum Islam di muka bumi ini? Seketika mulut ini terucap, “Allahumma iftah lanaa wa iftah bina wa ajjil bitathbiqi ahkamil Islam fil ‘aalam. Aamiin.”
Setiap 10 Zulhijah, umat muslim di seluruh dunia berada di tengah waktu sejarah perjalanan keluarga pilihan, yakni Nabi Ibrahim as.. Keagungan pesan sejarah yang ditorehkannya telah Allah SWT abadikan sebagai Hari Raya Korban. Allah pun mensyariatkan kepada umat Islam tentang Aidiladha, haji, saum Arafah, dan berkorban ketika Zulhijah ini. Banyak hikmah dan pelajaran yang dapat diambil oleh keluarga muslim dengan disyariatkannya berbagai amalan Zulhijah. Mari kita perinci, keluarga muslimah!
- Berhaji ke Baitullah
Keluarga muslim hendaklah memahami bahawa ibadah haji adalah momentum yang sangat istimewa. Sebuah momentum persatuan umat Islam di seluruh dunia. Momen berkumpulnya jutaan orang dari berbagai penjuru dunia. Semua melakukan ritual manasik haji di tempat dan waktu yang sama.
Sebagai rukun Islam yang kelima, haji adalah ibadah yang memerlukan pengorbanan harta, tenaga, fikiran, perasaan, bahkan nyawa. Manasik haji mengajarkan keluarga muslim menafikan semua latar belakang suku, bangsa, budaya, kedudukan, jawatan, dan segala perbezaan. Semua bersatu, berkumpul menyembah Tuhan yang satu, iaitu Allah Taala. Latar belakang bangsa, budaya, kedudukan, dan jawatan tidak menjadi jaminan haji mabrur. Niat tulus sebenar-benarnya, ikhlas, dan ketaatan kepada semua syarat serta rukun hajilah kunci amal yang diterima di sisi-Nya.
Dalam ibadah haji, sekatan-sekatan nasionalisme tidak lagi menjadi penghalang ukhuwah. Semua menjadi umat Islam yang satu. Persatuan adalah makna yang paling utama dalam ritual haji. Semua jemaah haji berkumpul bersama di Padang Arafah pada 9 Zulhijah, menyeru dan menyebut nama Allah Taala. Rasulullah SAW bersabda, “Haji adalah Arafah.” (HR An-Nasa’i).
Bahkan, seorang pemuka salah satu negeri Islam menyatakan, “Tidak ada kewajipan apa pun dari aspek sosial melebihi ibadah haji kerana haji merupakan manifestasi kekuatan, kemuliaan, dan persatuan umat Islam. Ibadah haji mengajarkan pelajaran tentang cara menyelesaikan masalah-masalah umat dan dunia Islam dan memberikan kekuatan, kemuliaan, dan persatuan.”
- Saum Arafah (Puasa Arafah)
Salah satu amalan utama awal Zulhijah adalah Saum Arafah pada 9 Zulhijah. Saum Arafah memiliki keutamaan yang semestinya tidak ditinggalkan oleh seorang muslim. Puasa ini dilaksanakan bagi kaum muslim yang tidak melaksanakan ibadah haji. Berikut penjelasan keutamaan Saum Arafah.
Dari Abu Qatadah, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,
صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ وَالسَّنَةَ الَّتِى بَعْدَهُ وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِى قَبْلَهُ
“Saum Arafah (9 Zulhijah) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun akan datang. Saum Asyura (10 Muharam) akan menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (HR Muslim).
Di antara keutamaan menjalankan Saum Arafah adalah dijauhkan dari seksa api neraka. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada Hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata, ‘Apa yang mereka inginkan?’” (HR Muslim).
- Solat Aidiladha
Sebelum melaksanakan ibadah korban, umat muslim disunnahkan melaksanakan solat Aidiladha. Syeikh Habib Hasan al-kaff menjelaskan bahawa ulama dari kalangan Syafi’i menyebutkan Solat Aidiladha hukumnya sunnah muakadah (solat sunnah yang sangat dianjurkan). Seperti solat sunnah lainnya, Solat Aidiladha pun memiliki banyak keutamaan, di samping tentu saja keluarga muslim akan mendapatkan pahala besar ketika melaksanakannya.
Momen Solat Aidiladha merupakan sarana atau media yang sangat baik bagi makhluk untuk mendekatkan diri kepada Sang Pencipta, Allah SWT. Semua ini menunjukkan betapa penting dan agungnya keutamaan Hari Raya, sampai-sampai Nabi SAW memerintahkan pada wanita untuk turut serta keluar dari rumah-rumah mereka. Bukan untuk melaksanakan Solat Eid kerana mereka haram untuk solat, melainkan agar mereka melihat kebaikan dan adanya syiar Islam.
Dari Ummu Athiyah ra., dia berkata, “Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk keluar pada Hari Aidilfitri dan Aidiladha, baik ‘awatiq (wanita yang baru baligh), wanita haid, mahupun anak gadis. Adapun wanita haid, mereka memisahkan diri dari tempat pelaksanaan solat dan mereka menyaksikan kebaikan serta dakwah kaum muslim. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, salah seorang dari kami tidak memiliki jilbab.’ Beliau menanggapi, ‘Hendaklah saudarinya (maksudnya: sesama muslimah, pen.) meminjamkan jilbab kepadanya.’” (HR Bukhari-Muslim).
Hikmah dari disyariatkannya Solat Aidiladha, selain mendekatkan keluarga muslim kepada Allah dan bertambah pahala, juga agar seluruh keluarga muslim dapat menyaksikan kebaikan di tengah umat dan untuk kepentingan syiar Islam kepada dunia. Oleh kerananya, pelaksanaan Solat Eid ini sebaiknya dilakukan di lapangan terbuka agar semua manusia dapat menyaksikan kebaikan Islam dan syiar Islam.
- Berkorban atau menyembelih haiwan korban
Korban mendidik umat Islam untuk meninggalkan bermacam-macam tabiat dan kebiasaan buruk, serta menanamkan kasih sayang kepada fakir miskin, menyayangi sesama makhluk hidup yang selamanya ada dalam kekurangan, serta mendekatkan persaudaraan dan kekeluargaan.
Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhan-Mu dan berkorbanlah.” (TMQ Al-Kautsar: 1—2).
Jadi, setelah solat, Allah memerintahkan kita untuk berkorban sebagai bukti nyata ketundukan kita kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada amalan anak cucu Adam pada yang lebih disukai Allah melebihi dari mengucurkan darah (menyembelih haiwan korban). Sesungguhnya pada hari kiamat nanti haiwan-haiwan tersebut akan datang lengkap dengan tanduk-tanduknya, kuku-kukunya, dan bulu- bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah—sebagai korban—di mana pun haiwan itu disembelih sebelum darahnya sampai ke tanah, maka ikhlaskan ia menyembelihnya.” (HR Tirmidzi).
Sesungguhnya, berkorban bukan terletak pada besar kecilnya barang atau sesuatu yang dikorbankan, melainkan nilai kecintaan terhadap Allah dan Rasul-Nya. Keindahan haiwan korban memang penting, tetapi keindahan hati yang sangat tulus dan ikhlas berkorban semata kerana Allah itu jauh lebih penting.
Semoga keluarga kita termasuk hamba Allah SWT yang memperoleh kenikmatan agung. Tidak sekadar pengorbanannya diterima, tetapi akan selalu berada di dalam cinta kasih Allah SWT, baik di dunia mahupun akhirat.
Selain itu, keutamaan korban yang lain adalah memberikan keleluasaan kepada keluarga muslim pada Hari Raya Aidiladha untuk menebarkan kasih sayang di antara fakir miskin. Korban juga menjadi wujud rasa syukur keluarga kepada Allah dan akan memotivasi keluarga muslim untuk meningkatkan pengorbanan yang lebih besar lagi untuk kepentingan agama Allah.
Ketika keluarga muslim ikhlas mengorbankan hartanya, dia akan ikhlas pula mengorbankan waktunya untuk kepentingan dakwah Islam. Bahkan, jiwa dan tenaganya adalah demi kebangkitan Islam dan kaum muslim, serta dalam perjuangan mewujudkan tegaknya syariat Islam di muka bumi ini.
Khatimah
Demikianlah makna Aidiladha yang mesti difahami oleh keluarga muslim. Di dalamnya banyak amalan yang menyertainya. Semua amalan di dalamnya mengandung keistimewaan, bukan semata-mata ibadah, melainkan juga memiliki nilai yang luar biasa. Solat Aidiladha dan ibadah haji, misalnya, keduanya bukan sebatas ibadah ritual yang harus dilakukan oleh setiap muslim yang mampu menjalankannya, melainkan keduanya merupakan simbol atau wujud penting persatuan umat yang mesti diwujudkan oleh keluarga muslim, bahkan seluruh kaum muslim di dunia.
Sayangnya, saat ini berhaji menjadi sebatas ibadah ritual. Sepulang haji, semua umat Islam kembali terpisah oleh sekatan-sekatan semu nasionalisme bangsa. Persatuan dan kesatuan hilang seiring berakhirnya ibadah haji.
Hanya dalam sistem Khilafah, ibadah haji akan memiliki fungsi yang utuh. Sebagai momen persatuan umat Islam hakiki di bawah naungan suatu institusi—Khilafah Rasyidah ‘ala minhajin nubuwwah—berdasarkan Al-Quran dan Sunnah, sudah saatnya keluarga muslim berjuang bersama untuk kembali menegakkan Khilafah. Wallahualam.