Kekuasaan yang Menolong
Oleh: Farid Wadjdi
Memang tidak dinafikan, kekuasaan sangat penting. Kekuasaan ialah hak yang membenarkan seseorang, institusi atau negara dapat menjalankan dan menguruskan hal ehwalnya. Dengan kuasa, negara dapat menjalankan dan mengatur urusan rakyatnya. Kerana politik itu, dengan maksud mengatur urusan rakyat, sudah tentu sangat memerlukan kekuasaan. Negara yang mempunyai ideologi apa pun pasti memerlukan kekuasaan. Tanpa kekuasaan, politik akan menjadi mandul, negara akan lemah dan undang-undang juga tidak dapat ditegakkan.
Pentingya kekuasaan ini dapat dilihat dalam al-Quran. Allah SWT berfirman (yang bermaksud): Katakanlah (Muhammad): “Tuhanku, masukkanlah aku dengan cara masuk yang benar, dan keluarkanlah aku dengan cara keluar yang benar, serta berilah aku dari sisi Engkau kekuasaan yang menolong.” [TMQ al-Isra’ (17): 80].
Mengenai ayat tersebut, Qatadah seperti yang ditulis dalam Tafsir Ibnu Katsir mengatakan, “Sesungguhnya Nabi SAW menyedari bahawa dia tidak mempunyai kekuatan untuk mengemban tugas (dakwah) ini kecuali dengan kekuasaan. Kerana itu Rasulullah SAW memohon kekuasaan yang menolong kepada Allah untuk membela Kitabullah, batasan-batasan Allah, perkara yang Allah fardhukan dan untuk menegakkan agama Allah. Sesungguhnya kekuasaan itu adalah rahmat dari Allah yang Dia kurniakan di kalangan hamba-hamba-Nya. Seandainya tidak ada kekuasaan ini, pasti sebahagian dari mereka menyerang sebahagian yang lain dan yang paling kuat di antara mereka akan memakan yang lemah dari mereka.”
Islam telah menegaskan kekuasaan diperlukan dalam bernegara dan berpolitik. Namun, bukan sebarang kekuasaan, tetapi kekuasaan untuk menolong Islam dan umat Islam. Kekuasaan yang menolong ini dapat kita jadikan pedoman untuk membezakan siapa yang sebenarnya digelar ahli politik Islam, siapa pula yang hanya memanfaatkan agama (termasuk Islam). Ini juga yang membezakan antara politisasi agama dan Islamisasi politik. Politisasi agama sekadar memanfaatkan agama untuk meraih undi. Menggunakan simbol agama, melawat pondok dan masjid, juga boleh menjadi imam masjid. Namun, selepas berkuasa, dia tidak menolong agama; malah memusuhi agama, bertindak menindas umat Islam yang ingin menegakkan syariah Islam, menjenayahkan ulama yang tidak sehaluan dengan rejim pemerintah, dll.
Sebaliknya, Islamisasi politik adalah perjuangan menjadikan politik untuk menegakkan Islam. Kekuasan yang diperoleh digunakan untuk melaksanakan syariah Islam secara menyeluruh. Inilah kekuasaan yang menolong, yang diperlukan oleh umat hari ini. Umat memerlukan bukan sekadar ahli politik Islam yang berkuasa tetapi tidak melaksanakan syariah Islam. Mereka memerlukan ahli politik Islam yang melaksanakan syariah Islam. Dengan melaksanakan syariah Islam, akan berlaku perubahan yang ketara.
Belajar daripada pengalaman politik semasa Arab Spring, kemunculan ahli politik yang berakar umbi dalam gerakan Islam tidak cukup untuk membawa perubahan. Apatah lagi menyelesaikan pelbagai masalah rakyat yang sebenarnya berpunca daripada penerapan ideologi sekular.
Dalam menghadapi musim pilihan raya, umat mestilah mempunyai garis panduan politik yang jelas dan tegas. Pertama: Politik mestilah berlandaskan Islam. Kedua: Kekuasaan yang diperoleh dalam politik mestilah kekuasaan yang menolong Islam dan umatnya. Ketiga: Politik mesti membawa kepada kekuasaan yang boleh melanjutkan kehidupan Islam secara menyeluruh di bawah naungan Khilafah. Keempat: Politik Islam mestilah bertujuan untuk melayani kepentingan rakyat dan menjaga agama.
Hasilnya, untuk dinamik politik masa depan, apa yang umat perlukan bukan sahaja pemimpin yang baik, tetapi juga sistem yang baik. Semua itu hanya terwujud apabila Islam menjadi asas dalam politik dan syariah Islam menjadi standard dalam berpolitik.
Umat pada masa ini memerlukan pertolongan ahlul nushrah, yang mempunyai kekuasaan sebenar untuk menolong Islam, seperti ahlul nushrah pada zaman Rasulullah dari suku Aus dan Khazraj. Dengan kekuasaan yang diberikan oleh kabilah utama Madinah ini, Rasulullah SAW boleh membina Daulah Islam (Negara Islam) yang berlandaskan Islam, melaksanakan syariah Islam dan menyebarluaskan dakwah Islam.
Pada masa ini umat memerlukan pegawai tentera yang memberikan nushrah mereka untuk menegakkan Islam. Ini adalah amal yang akan mendapat ganjaran pahala yang sangat besar daripada Allah SWT. Sebabnya, dengan kekuasaan yang diberikan itu, Islam benar-benar dapat direalisasikan dalam kehidupan; bukan sahaja dalam konteks individu atau keluarga sahaja, tetapi juga negara. Inilah peluang keemasan para ahlul nushrah untuk mendapatkan kedudukan yang mulia ini.
Kemuliaan ini pernah diraih oleh sahabat Rasulullah SAW, Saad bin Muadz ra. Tokoh terkemuka di Madinah ini memberikan kekuasaannya untuk perjuangan Rasulullah SAW sehingga Islam direalisasikan dalam seluruh aspek kehidupan melalui institusi politik negara. Negara Islam ini kemudiannya menjadi negara berkuasa besar yang berpengaruh di seluruh dunia. Kerana itu Rasulullah SAW berasa sangat kehilangan apabila Saad bin Muadz meninggal dunia. Rasulullah SAW menggambarkan kemulian Saad bin Muadz dengan menyatakan, “Sesungguhnya, kematian Saad telah membuatkan ‘Arasy Allah tergoncang.”
Kekuasaan yang menolong ini merupakan janji Allah SWT. kepada orang yang beriman. Imam Ibnu Katsir memetik pernyataan Al-Hasan al-Bashri dalam tafsir Surah al-Isra’ ayat 80: “Allah telah berjanji kepada Nabi SAW bahawa Dia benar-benar akan mencabut Kerajaan Parsi dan kemuliaannya, dan Dia benar-benar akan memberikannya itu kepada beliau. Allah juga benar-benar akan mencabut Empayar Rom dan kemuliaanya, lalu Dia memberikannya kepada beliau.”
AlLaahu Akbar!
#KekuasaanYangMenolong #PolitikIslam #PemimpinIslam #Khilafah