[Fikrul Islam] Berfikir tentang Sarana (Wasa’il)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Berfikir tentang sarana (al-wasa’il, means) merupakan pasangan dari berfikir tentang cara. Berfikir tentang sarana adalah berfikir tentang alat-alat fizikal (al-adawat al-madiyah, phisycal tools) yang akan digunakan untuk melakukan sesuatu perbuatan. Jika berfikir tentang cara adalah aspek yang akan mampu menyelesaikan masalah, cara tidak akan ada nilainya jika menggunakan sarana yang tidak mampu menyelesaikan masalah.
Meski memahami sarana dapat diperoleh melalui proses berfikir, tetapi pengalaman/percubaan (at-tajribah, trial) terhadap sarana tersebut merupakan unsur yang sangat penting untuk dapat mengetahui sarana. Oleh kerana itu, orang yang berfikir tentang cara mesti berfikir tentang sarana. Apabila tidak, pasti segala macam cara tidak akan dapat membuahkan hasil apabila sarana yang ada tidak cukup baik untuk mendukung cara.
Lebih-lebih lagi, sarana merupakan bahagian fundamental untuk melahirkan cara. Sebagai contoh, membuat rancangan (khiththah, plan) untuk memerangi musuh merupakan pembuatan cara (uslub), walaupun merupakan rancangan, kerana rancangan itu sendiri sebenarnya merupakan cara.
Apabila seseorang telah membuat rancangan yang sempurna 100%, tetapi jika dia menggunakan senjata yang tidak sesuai untuk menghadapi senjata musuh, maka rancangan tersebut pasti akan gagal, meskipun pasukannya lebih kuat daripada pasukan musuh. Rancangan itu pasti akan gagal meskipun dia berperang dengan pasukan yang kekuatannya mampu memerangi musuh atau bahkan kekuatannya dua kali ganda berbanding kekuatan musuh.
Jadi, rancangan yang dibuat untuk berperang adalah cara. Sedangkan, pasukan dan senjata adalah sarana-sarana untuk menerapkan cara tersebut. Jika berfikir tentang sarana tidak ada ketika kita berfikir tentang cara, atau sarana yang ada tidak sepadan dengan cara yang akan diterapkan, maka berfikir tentang cara akan menjadi tidak bernilai. Demikian juga cara yang telah difikirkan pun akan menjadi tidak bernilai.
Ini kerana suatu cara tidak akan membuahkan hasil, kecuali ketika kita berfikir tentang cara kita juga berfikir tentang sarana, dan sarananya sendiri haruslah sepadan dengan cara yang digunakan. Berdasarkan hal tersebut, berfikir tentang sarana tidak boleh dilepaskan dari berfikir tentang cara. Tidak benar berfikir tentang sarana, kecuali berdasarkan petunjuk mengenai cara yang sedang difikirkan.
Meskipun perihal cara (uslub) kadang-kadang tidak begitu jelas bagi seorang pemikir, perihal sarana (wasilah) lebih tidak jelas lagi bagi setiap pemikir. Hal ini kerana perihal cara cukup dengan difikirkan hingga dapat ditetapkan. Sedangkan sarana, mesti difikirkan dan dicuba untuk menentukan benar tidaknya dan turut menentukan sesuai atau tidaknya dengan cara.
Sebagai contoh, negara-negara bukan industri membeli senjata dari negara-negara industri, kemudian melatih pasukan perangnya untuk menggunakan senjata-senjata tersebut dengan pengalaman dari kepakaran negara-negara industri. Namun, negara-negara bukan industri tersebut tidak mencuba senjata-senjata tersebut dan tidak menguji hasil latihan pasukan perangnya. Oleh kerana itu, bagaimanapun jua negara-negara bukan industri tersebut membuat perancanganannya, sebenarnya tidak memilih sarana-sarana yang sepadan dengan rancangan-rancangan yang dibuat.
Memang benar negara bukan industri tersebut telah menerima pendidikan militer dari negara-negara militer dan negara-negara industri. Mengenai pendidikan militer, penyusunan rancangan, dan yang semisalnya, sesungguhnya merupakan cara (uslub), yang cukup hanya dengan menjalankan proses berfikir saja. Ini berbeza dengan sarana yang tidak cukup hanya dengan proses berfikir. Di samping proses berfikir, perlu ada percubaan/pengalaman terhadap sarana.
Contoh lain, misalnya membentuk kelompok atau parti atas dasar suatu idea untuk menyebarkan idea tersebut ke tengah-tengah masyarakat/umat dan untuk mengambil alih kekuasaan sebagai metod untuk menerapkan idea tersebut. Jika kelompok atau parti tersebut menyasarkan para ulama untuk menjadi anggota parti, dan menyasarkan para tokoh berpengaruh—di kalangan ulama atau di tengah masyarakat—untuk menjadi anggota parti, maka parti tersebut akan gagal untuk mencapai tujuannya.
Sebab jika parti itu berjaya meraih dukungan para ulama dalam menyebarkan ideanya, maka ia tidak akan pernah berjaya bersama para ulama itu dalam pengambil-alihan kekuasaan. Dan jika parti itu berjaya dengan tokoh-tokoh berpengaruh dalam mengambil alih kekuasaan, parti tersebut tidak akan pernah dapat mendirikan pemerintahan berdasarkan ideanya dan tidak akan pernah dapat menyebarkan ideanya.
Pembentukan majoriti anggota parti dari salah satu dari dua golongan tersebut atau dari keduanya akan memperpendek usia parti dan akan menggagalkannya dalam mewujudkan tujuannya. Parti itu akan terus mengalami kemerosotan dan akhirnya musnah. Hal ini kerana sarana yang ada–dalam hal ini adalah orang-orang dari jenis kedua golongan tersebut—diperoleh melalui proses berfikir tentang sarana hanya melalui akal saja, tidak melalui percubaan di samping berfikir.
Namun, jika diambil kebenaran-kebenaran sejarah (haqa`iq at-tarikh, thruths from history) tentang pembentukan parti-parti dengan jenis parti seperti itu, parti tersebut telah melakukan proses berfikir tentang sarana melalui proses berfikir dan proses percubaan (at-tajribah, trial). Mengguna-pakai kebenaran-kebenaran sejarah dalam hal seperti ini, dan kemudian menggunakan sarana sesuai dengan fakta-fakta sejarah tersebut, adalah proses berfikir produktif tentang sarana, dan percubaan tersebut akan menjadi sebahagian daripada cara.
Kebenaran-kebenaran sejarah itu telah mengharuskan suatu kelompok—yang berdiri di atas dasar suatu idea untuk menyebarkan idea tersebut dan menjadikan kekuasaan sebagai metod untuk menerapkan ideanya—untuk mengarahkan dakwahnya kepada bangsa/umat, tanpa melihat individu-individu. Dengan demikian, kelompok tersebut hendaknya menerima siapa saja yang telah menerima ideanya dan telah bersedia bergabung ke dalam kelompok tersebut dengan memandangnya sebagai individu dari suatu bangsa atau individu dari sebuah umat, tanpa memandang tahap pendidikannya mahupun kedudukannya dalam masyarakat. Inilah satu-satunya faktor yang akan menjamin kejayaan parti/kelompok dan akan menjamin terwujudnya tujuan yang diharapkan oleh parti/kelompok tersebut.
Berdasarkan penjelasan di atas, sesungguhnya sarana adakalanya tidak begitu jelas dan kadang-kala dapat menyesatkan jika berfikir tentang sarana terpisah dari berfikir tentang cara yang akan diterapkan untuk menggunakan sarana tersebut. Demikian juga sarana adakalanya tidak begitu jelas dan boleh menyesatkan, jika tidak dilakukan percubaan terhadapnya.
Oleh kerana itu, perlu ada proses berfikir tentang sarana ketika berfikir tentang cara. Juga perlu ada percubaan terhadap sarana di samping proses berfikir tentang sarana, hingga dapat terjamin keberhasilan sarana dan tercapainya target. Dengan kata lain, semua itu perlu ada agar cara yang dipilih untuk menggunakan sarana dapat membuahkan hasil.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)