[Fikrul Islam] Berfikir tentang Tujuan dan Target (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Perkara pertama yang perlu dalam berfikir tentang tujuan (ghayat, objectives) dan target (ahdaf, aims) adalah menentukan apa yang diinginkan, yakni menentukan target. Penentuan ini adalah suatu keperluan agar proses berfikir membuahkan hasil. Namun, menentukan apa yang diinginkan bukanlah hal yang mudah kerana umat dan bangsa yang merosot tidak mengetahui apa yang mereka inginkan. Jarang sekali mereka mampu mengetahui apa yang mereka inginkan.
Demikian pula individu-individu yang taraf pemikirannya merosot—bahkan banyak orang yang taraf pemikirannya tinggi—tidak mengetahui apa yang mereka inginkan. Bahkan di antara mereka ada yang tidak mampu menentukan apa yang mereka inginkan.
Adapun bangsa dan umat, disebabkan adanya penzahiran (manifestasi) dari kehendak untuk berkumpul bersama–atau menurut bahasa mereka, naluri untuk berkumpul bersama (gharizah al-qathi’, instinct to flock together) yang terlihat dengan jelas dan menjadi pembentuk masyarakat—mereka menjadi didominasi oleh sikap taklid (meniru yang lain). Mereka juga didominasi oleh sikap tidak meneliti berbagai pemikiran dengan saksama. Oleh kerana itu, terbentuklah pada diri mereka pemikiran-pemikiran yang salah dan informasi-informasi yang tidak benar.
Mereka terdorong untuk melakukan aktiviti tanpa menentukan tujuan, atau tanpa bermaksud menentukan tujuan. Oleh kerana itu, mereka didominasi oleh sikap tidak menentukan tujuan.
Adapun individu-individu, disebabkan mereka tidak menentukan tujuan, mereka juga malah tidak mempedulikan tujuan dan target untuk diri mereka. Oleh kerana itu, mereka melakukan proses berfikir tanpa ada suatu tujuan. Proses berfikir ini akhirnya tidak mendatangkan hasil dan mereka pun tidak mengarah pada suatu tujuan tertentu.
Sedangkan menentukan tujuan dan target dalam berfikir adalah suatu keperluan agar proses berfikir membuahkan hasil. Ini kerana berfikir atau berbuat tiada lain adalah untuk mewujudkan sesuatu yang tertentu, iaitu mewujudkan tujuan tertentu. Oleh kerana itu, anda akan melihat bahawa setiap manusia adalah pemikir, tetapi tidak setiap manusia mampu merealisasikan target-targetnya.
Tujuan dan target berbeza-beza sesuai dengan perbezaan manusia. Sebagai contoh, umat yang merosot, tujuannya adalah untuk bangkit. Umat yang maju, tujuannya adalah merealisasikan seluruh jenis pemuasan keperluannya. Sebuah bangsa primitif, tujuannya adalah ingin terus menjaga situasi tempat hidupnya. Bangsa yang maju, tujuannya adalah memperbaiki keadaannya dan ingin memunculkan perubahan.
Individu yang taraf pemikirannya merosot, tujuannya adalah memuaskan daya kehidupannya (ath-thaqah al-hayawiyah, life energy). Satu bangsa yang taraf pemikirannya tinggi, tujuannya adalah memperbaiki jenis pemuasan keperluan mereka. Demikianlah, tujuan dan target akan berbeza-beza sesuai perbezaan manusia dan taraf berfikirnya.
Apa pun tujuan dan target dari suatu bangsa dan individu, kesabaran untuk merealisasikan tujuan dan usaha keras yang terus-menerus untuk mencapainya hanya akan terwujud pada tujuan yang dekat dan target yang mudah. Sebagai contoh, pemuasan keperluan-keperluan—dilihat semata sebagai suatu pemuasan—merupakan tujuan yang mudah, bahkan andai kata ia bukan tujuan yang dekat. Oleh kerana itu, kemampuan untuk bersabar dalam hal tersebut hampir ada pada seluruh manusia, meskipun kemampuan mereka berbeza tahapnya.
Jika anda berusaha untuk mendapatkan makanan, berusaha memberi makan keluarga, berusaha memiliki sesuatu, mencari keamanan, dan yang semisalnya, kemampuan merealisasikan tujuan-tujuan seperti ini dapat ditemui pada majoriti manusia. Adapun jika anda berusaha untuk bangkit, atau membangkitkan bangsa anda, atau meninggikan kedudukan anda atau kedudukan bangsa dan umat anda, ini adalah tujuan-tujuan yang memerlukan kesabaran dan kesungguhan yang terus-menerus.
Bukan setiap orang mempunyai kemampuan untuk melakukannya. Boleh jadi anda sudah mula berusaha, tetapi mungkin saja anda gagal merealisasikan tujuan kerana anda merasa lelah atau hilang kesabaran. Mungkin saja anda sudah mula berusaha, tetapi anda tidak serius memulakannya.
Anda lalu melangkah secara tidak serius dan tetap terus saja melangkah. Anda pasti tidak akan dapat merealisasikan tujuan, padahal anda tidak merasa lelah dan tidak hilang kesabaran. Hal itu kerana anda memang tidak sungguh-sungguh menjalankan usaha tersebut. Padahal merealisasikan tujuan-tujuan yang jauh dan sukar seperti itu yang diperlukan pertama kali adalah keseriusan, kemudian kesabaran, dan berikutnya usaha yang terus menerus.
Individu lebih mampu bersabar daripada kelompok (bangsa dan umat). Ini disebabkan pandangan individu lebih jelas dan lebih kuat daripada pandangan kelompok, memandangkan berkumpulnya manusia akan melemahkan proses berfikir dan melemahkan pandangan mereka. Oleh kerana itu, pandangan satu orang akan lebih kuat daripada pandangan dua orang. Setiap kali bilangan makin besar, akan makin lemah pandangannya.
Oleh kerana itu, meletakkan tujuan-tujuan yang jauh bagi suatu bangsa adalah tidak benar kerana mereka tidak akan berusaha untuk merealisasikannya. Kalau pun mereka berusaha merealisasikannya, mereka tidak akan berusaha dengan serius dan tidak akan sampai pada tujuan.
Dari sinilah, tujuan yang diletakkan untuk suatu bangsa hendaklah merupakan tujuan yang dekat dan mungkin untuk direalisasikan. Ini mesti dilakukan walaupun perlu menetapkan tujuan-tujuan yang dekat sebagai satu tahapan dari beberapa tahapan.
Dengan demikian, apabila mereka telah mampu merealisasilkan satu tahapan, mereka akan bertolak/bergerak untuk merealisasikan tahapan selanjutnya. Demikianlah seterusnya. Ini kerana kelompok lebih dekat untuk melihat apa yang mungkin dilakukan daripada individu. Kelompok juga mempunyai kemampuan yang lebih rendah dalam menanggung kesukaran besar daripada individu.
Sesuatu yang mungkin untuk diwujudkan secara rasional, tidak dapat dijadikan sebagai tujuan bagi suatu bangsa. Namun, sesuatu yang mungkin untuk diwujudkan secara factual merupakan sesuatu yang dapat mereka lihat dan mereka usahakan untuk direalisasikan.
Adapun individu, secara umum mereka mampu untuk melihat bahawa apa yang mungkin secara rasional adalah mungkin secara factual. Individu juga mampu melihat sesuatu yang jauh. Individu lebih bersabar untuk menanggung kesulitan, lebih mampu menghadapi hambatan, serta lebih mampu untuk berjalan pada tahapan yang jauh.
Hanya saja, tujuan dan target yang diletakkan, baik untuk suatu umat dan bangsa mahupun untuk individu, realisasinya tidak boleh memerlukan waktu bergenerasi-generasi, kemampuan di luar kemampuan manusia, dan sarana-sarana yang tidak ada atau tidak mungkin diadakan.
Sebaliknya, tujuan hendaklah berkemungkinan mampu direalisasikan oleh generasi yang sedang berusaha merealisasikannya, perlu mungkin direalisasikan dengan usaha manusia biasa, dan sarana-sarananya pun telah ada atau mungkin untuk diadakan/diwujudkan. Ini kerana tujuan adalah suatu target yang akan diusahakan oleh pihak yang berusaha itu sendiri, padahal ia tidak akan berusaha merealisasikannya jika target itu jelas-jelas tidak akan pernah boleh direalisasikan.
Begitu juga, selama manusia ingin berusaha mewujudkan tujuan, pasti dia memerlukan sarana-sarana yang akan menjadi perantara untuk merealisasikannya. Jika dia tidak mempunyai sarana, dia tidak akan pernah dapat mengusahakannya walaupun dia berpura-pura berusaha atau menipu dirinya bahawa dia sedang berusaha.
Manusia juga akan berusaha dengan kekuatannya sebagai manusia. Jika kekuatan tersebut tidak cukup untuk berusaha, dia tidak akan pernah berusaha sama sekali sebab manusia memang tidak akan sanggup diberi beban di luar kemampuannya, bahkan manusia tidak akan mampu beraktiviti di luar kemampuannya.
Oleh kerana itu, bagaimanapun jauhnya, suatu tujuan itu haruslah termasuk sesuatu yang mungkin untuk diwujudkan oleh orang yang sedang berusaha dengan kemampuannya yang biasa dan dengan sarana-sarana yang ada padanya.
Jadi, tujuan dari proses berfikir perlulah ditentukan sebagaimana tujuan dari suatu aktiviti juga perlu ditentukan. Tujuan tersebut mestilah boleh dilihat oleh mata kepala atau mata hati (akal), juga harus memungkinkan untuk diwujudkan, baik terwujud menurut pertimbangan akal mahupun pertimbangan fakta. Jika tidak demikian, maka ia tidak lagi boleh disebut tujuan.
Bersambung ke bahagian 2/2.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)