[FIKRUL ISLAM] Islam Pembawa Kemaslahatan (Bahagian 3/3)
Penulis: Ustaz M. R. Kurnia
Bukan sedikit umat Islam yang terpana dengan pemikiran kafir Barat sehingga meragui keampuhan syariat Islam. Sedangkan, jika difikir, siapakah yang lebih baik hukumnya, manusia atau Pencipta manusia? Allah SWT. mengancam tindakan mereka itu dalam firman-Nya,
“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.” [TMQ Al-Maaidah (5): 50]
Ironinya, ketika mereka sedang sakit, yang mereka datangi adalah doktor. Tanpa mempersoalkan sekian banyak jenis ubat, berapa dosnya, mereka menurut saja apa yang diperkatakan oleh doktor.
Mereka tidak pernah bertanya butirannya secara terperinci kerana mereka yakin dengan kepakaran yang ada pada doktor tersebut. Hairan mengapa sikap yang sama tidak ditunjukkan pada firman Allah dalam Al-Quran dan sunnah.
Mengapa ketika Allah memerintahkan untuk menerapkan hukum-hukumnya dalam semua aspek baik sosial, politik termasuk menegakkan Khilafah Islamiyah, ekonomi dan juga budaya, 1001 persoalan dilontarkan. Adakah sesuai dengan realiti? Adakah tidak akan menyinggung minoriti? Adakah masih relevan? Mengapa tidak diambil intipatinya saja agar bersesuaian dengan zaman? Adakah tidak bertentangan dengan kehidupan moden? Adakah mungkin boleh diterapkan dan berbagai macam dalih lain untuk menghindar dari hukum Allah. Allah SWT. berfirman,
“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” [TMQ An-Nisaa’ (4): 65]
Siapakah yang lebih baik hukumnya, manusia ataupun Zat Yang Maha Menghidupakan dan Mematikan manusia?
“Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?” [TMQ At-Tiin (95): 8]
Menerapkan aturan-aturan Allah tidak cukup hanya bersifat individual. Tetapi, hukum-hukum Islam yang bersifat kolektif juga perlu diterapkan. Sebabnya, seperti yang telah disebutkan, masuk ke dalam Islam itu perlu kaffah. Hukum Islam yang bersifat kolektif ini pula perlu diterapkan oleh Daulah Khilafah.
Realitinya, tanpa negara yang menerapkan syariat Islam, umat Islam hanya akan hidup dalam kesesakan dada. Lihat sajalah, umat Islam diharamkan berzina, tetapi negara menempatkan penzinaan dengan alasan untuk sosialisasi penghuninya. Filem-filem dan bahan bacaan yang mendorong dan mengsahkan penzinaan juga terus dibiarkan dengan alasan kebebasan.
Umat Islam diharamkan berjudi, tetapi negara memperindahkan judi dengan berbagai macam cara, nama, jenis dan modelnya. Umat Islam diharamkan minum khamar. Tetapi kenyataannya khamar dijual di merata tempat dengan alasan pertukaran wang. Kaum muslimah wajib berbusana muslimah, tetapi negara mencari dalih untuk mempersempitnya. Umat Islam haram terlibat dengan riba, realitinya sistem ekonomi yang diterapkan adalah sistem ekonomi kapitalisme yang jantungnya adalah riba.
Umat Islam diharamkan berwali kepada orang kafir, tetapi negara malah berwalikan pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Umat Islam diwajibkan untuk berjihad membela negara dan saudara semuslim, tetapi negara justeru menghalangnya. Allah mengharamkan kekayaan milik umum dikuasai oleh swasta, tetapi negara malah menyerahkannya pada pengusaha swasta asing.
Islam mewajibkan kaum muslim di seluruh dunia bersatu, tetapi negara-negara muslim malah berada dalam serpihan 56 negara kecil atas dasar nasionalisme. Banyak lagi masalah yang dihadapi oleh umat Islam sekarang asbab tidak tegaknya syariat Islam.
Bersandarkan perkara ini, selagi mana dasar yang dijadikan acuan masyarakat dan bernegara bukan akidah dan hukum Islam, serta selagi mana sistem yang digunapakai adalah sistem sekular dalam bentuk apa pun, semuanya hanya akan meluncur ke jurang kebinasaan. Hanya bila landasan negara adalah akidah Islam dan hukum-hukumnya, sistem yang diterapkan adalah syariat Islam, struktur yang diguna bersesuaian dengan contoh yang ditunjukkan oleh Nabi, bentuk negaranya juga satu dalam kesatuan dengan idariyah bersifat desentralisasi dan negara berskala antarabangsa sajalah kaum Muslim akan meraih kejayaan menjadi ummatan wasathan, khairu ummah, umat terbaik yang pernah ada sejak munculnya sejarah manusia di muka bumi.
Dengan kata lain, akar permasalahan yang perlu diselesaikan oleh kaum Muslim adalah dengan melanjutkan kehidupan Islam (istinafil hayatil islamiyyah), menerapkan hukum-hukum Islam secara keseluruhan, membebaskan negara Islam yang diduduki oleh kafir imperialis, mengusir cengkaman kekuasaan kafir dari seluruh negara Islam dan kembali menyatukan umat Islam dalam satu negara. Tetapi, semua kewajipan itu hanya dapat dilaksanakan jika tertegaknya Khilafah Islamiyah.
Penyelesaian sebenarnya atas krisis di dunia Islam adalah dengan tegaknya Khilafah. Rasulullah SAW. bersabda,
“Allah memperlihatkan bumi kepadaku, sehingga aku dapat melihat bumi dari bahagian Timur sehingga bahagian Barat. Dan kekuasaan umatku akan mencapai semua wilayah yang aku lihat itu.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, dan lbnu Majah)
Inilah berita sekaligus janji dari Allah SWT. melalui lisan Nabi SAW. Dan janji Allah, tidak akan pernah Dia ingkari.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam