[Tsaqafah] Memahami Kepentingan Mempelajari dan Mengajar Al-Quran
Penulis: Wiwing Noeraini
Hari ini, semangat umat Islam untuk mempelajari Islam semakin meningkat, kita dapat lihat betapa banyak pengajian al-Quran yang ada. Di mana sahaja kita tinggal atau ketika kita singgah di bandar atau kampung, mudah untuk kita mendapati masjid dan majlis taklim yang mengadakan kelas pengajian al-Quran buat semua peringkat usia. Sebahagian pengajian belajar membaca al-Quran (atau disebut tahsin al-Quran), sebahagian lagi berupa tahfiz (menghafal) al-Quran. Ada juga pengajian yang fokus mempelajari makna al-Quran, seperti tafsir, fikh dan sebagainya.
Sudah tentu ini adalah sesuatu yang patut kita syukuri. Jadi, betapa pentingnya belajar dan mengajar al-Quran? Apakah skop pembelajaran dan pengajaran al-Quran? Artikel berikut akan membincangkannya.
Kepentingan Mempelajari Al-Quran
Mempelajari al-Quran hukumnya wajib bagi umat Islam dalam dua perkara, iaitu mempelajari huruf dan lafaz al-Quran, tajwid, dan ilmu qiraahnya; dan mempelajari makna al-Quran. Kedua-duanya sangat penting, tidak boleh diabaikan.
Mempelajari cara membaca al-Quran sangat perlu agar tidak salah membaca. Ini kerana kesalahan dalam membaca akan mengakibatkan fatal kerana boleh menyebabkan kesalahan maksud serta pentafsiran ayat al-Quran dan membuatkan orang lain salah faham terhadap ayat-ayat al-Quran yang dibacakan.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Muzzammil [73]: 4,
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
“Atau lebih dari (setengah) itu, dan bacalah al-Quran itu dengan perlahan-lahan (tartil).”
Ibnu Katsir mengatakan dalam kitab tafsirnya mengenai maksud membaca al-Quran dengan tartil, “Bacalah al-Quran dengan perlahan-lahan kerana ia akan membantu dalam memahami dan menghayatinya.”
Maksudnya, perintah Allah bukan sahaja membaca al-Quran, tetapi juga memahami dan merenung ayat-ayatnya (tadabur al-Quran). Dengan cara ini kita dapat memahami isi al-Quran sehingga dapat mengamalkannya dalam kehidupan. Dengan cara ini, terwujudlah tujuan turunnya al-Quran iaitu sebagai petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah [2]: 2,
ذٰلِكَ الْكِتٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيْهِ ۛ هُدًى لِّلْمُتَّقِيْنَۙ – ٢
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa.”
Tidak hairanlah jika dua orang yang terkenal sebagai ahli tafsir di kalangan Sahabat (Ibnu Mas’ud dan Ibnu Abbas ra.) dan selain daripada keduanya, berpandangan bahawa orang yang membaca al-Quran dengan tartil dan mentadabur (merenungi) maknanya (walaupun sedikit jumlah ayat yang dibacanya) adalah lebih utama daripada orang yang cepat dalam membaca al-Quran (banyak jumlah ayat yang dibacanya, tetapi tidak mentadabur maknanya).
Oleh itu, sungguh malang jika ada umat Islam yang mencukupkan diri dengan hanya mempelajari salah satu sahaja daripada kedua-dua perkara tersebut. Contohnya, sekadar menyibukkan diri dalam mempelajari huruf dan bacaan al-Quran, tetapi tidak mahu atau enggan mentadabur al-Quran (merenungi dan memahami makna ayat-ayat al-Quran). Juga mereka yang sangat ghairah dan semangat ketika mempelajari ilmu qiraah (tahsin al-Quran) sehinggakan semua curahan masa, tenaga, fikiran, dan harta diberikan untuk itu tetapi merasa berat, malas, dan enggan apabila dijemput untuk mentadaburi al-Quran. Sudah tentu ini adalah sikap yang salah. Setiap muslim seharusnya bersemangat untuk mempelajari al-Quran dalam kedua-dua aspek tersebut.
Belajar untuk Diamalkan
Tidak cukup hanya dengan mempelajari al-Quran, setiap muslim juga dituntut untuk mengamalkan semua yang dipelajarinya. Mengamalkan al-Quran bukanlah sekadar membaca, tetapi mengambil hukum-hukumnya dan melaksanakannya dalam kehidupan.
Sesiapa yang tidak mahu berhukum dengan hukum Allah, mereka adalah orang-orang yang disebut oleh Allah sebagai kafir, zalim, dan fasik (lihat surah Al-Maidah ayat 44, 45, dan 47). Dengan demikian, alangkah ruginya sesiapa yang hanya sibuk membaca al-Quran, tetapi tidak mahu mengamalkan ajarannya.
Pada zaman Al-Fudhail rahimahullah, terdapat orang-orang yang mengamalkan al-Quran lebih kepada “sekadar membacanya sahaja”, sedangkan sesungguhnya mengamalkan al-Quran lebih luas dari sekadar membacanya. Ini kerana di dalam al-Quran terdapat persoalan akidah, muamalah, dan hukum-hukum Islam yang lain yang menuntut kita mengamalkannya.
Al-Fudhail rahimahullah menceritakan fenomena yang beliau lihat pada masanya, “Sesungguhnya al-Quran diturunkan untuk diamalkan, tetapi ternyata ada orang yang menjadikan (sekadar) membacanya sebagai amalan.”
Syeikh Abdur Razzaq al-Badr hafizhahullah setelah membawa kata-kata Al-Fudhail tersebut, dia berkata, “Ahlul quran, mereka adalah orang-orang yang mengetahui maknanya dan mengamalkan isinya, bukan sekadar melafazkan huruf-hurufnya dengan benar.”
Mengajar Al-Quran Adalah Aktiviti Mulia
Islam bukan sahaja menggalakkan setiap muslim untuk mempelajari al-Quran, tetapi juga untuk mengajarkannya. Rasulullah SAW., “Sebaik-baik kalian ialah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” (HR Bukhari).
Hadis ini menjelaskan betapa mulianya seseorang yang menjadi pelajar dan guru al-Quran sehingga mendapat gelaran “sebaik-baik manusia”. Rasulullah SAW. menyebutnya sebagai “khairukum” yang bermaksud ‘yang terbaik di antara kalian’.
Sebaik-baik guru al-Quran ialah guru yang bukan sahaja mengajar cara membaca al-Quran, tetapi juga mengajarkan makna al-Quran, seterusnya menggalakkan semua muridnya untuk mengamalkan apa sahaja yang diketahui dari isi kandungan al-Quran. Beliau adalah sosok guru yang sangat menginginkan semua muridnya betul dalam membaca al-Quran, sekaligus benar dalam mengamalkan isi al-Quran yang dibacanya.
Malah, sebahagian ulama meletakkan kedudukan belajar dan mengajar makna al-Quran lebih tinggi daripada belajar dan mengajar cara membaca al-Quran. Imam Ibnul Qayyim rahimahullahu ketika menjelaskan maksud hadis “khairukum man ta’alamal-qur’ana wa ‘allamahu”, berkata, “Mempelajari al-Quran dan mengajarkannya, mencakup dua perkara, iaitu mempelajari dan mengajarkan huruf-hurufnya serta mempelajari dan mengajar makna-maknanya. Kedua, merupakan jenis mempelajari al-Quran dan mengajarnya yang paling mulia kerana makna al-Quran itulah yang menjadi tujuan yang dimaksudkan, manakala lafaz Al-Quran adalah sarana untuk mencapai maknanya.”
Mempelajari dan Mengajar Al-Quran Mesti secara Kaffah
Satu perkara yang mesti kita fahami ialah perintah memahami makna al-Quran Al-Quran dan mengajarnya bukan sahaja meliputi ayat-ayat tertentu dan dalam aspek hukum-hukum tertentu sahaja. Contohnya, hanya ayat-ayat tentang solat, puasa, dan zakat. Sudah tentu bukan demikian.
Akan tetapi, kita hendaklah mempelajari, mengamalkan dan mengajar semua ayat al-Quran. Sama ada ayat-ayat tentang ibadah, seperti solat, puasa, zakat dan ayat-ayat tentang pemerintahan, jihad, dan uqubat (hukuman). Begitu juga ayat-ayat yang mengatur kehidupan berkeluarga; hukum muamalah, seperti halalnya jual beli dan haramnya riba; hukum pergaulan dengan lawan jenis; dan lain-lain. Kita mesti mempelajari, mengamalkan dan mengajarkan semuanya.
Mempelajari dan mengajar al-Quran secara keseluruhan (kaffah) adalah satu kewajipan kerana hanya dengan cara ini kita dapat melaksanakan perintah Allah untuk berislam secara menyeluruh (lihat TMQ Al-Baqarah [2]: 208).
Walaupun pada hari ini masih banyak pengajian Islam yang sekadar membincangkan topik tertentu, contohnya tentang solat dan taharah, atau tentang perkahwinan atau cara-cara menuju perkahwinan bahagia, maka menjadi tugas kita untuk menjelaskan kepada umat bahawa al-Quran bukan sahaja mengandungi satu atau dua topik tersebut.
Al-Quran mencakupi segala perkara dalam kehidupan setiap muslim. Bermula dari perkara kecil sehingga perkara besar dan rumit, seperti pemerintahan, politik, ekonomi, dan lain-lain. Pengajian al-Quran seperti ini dapat disempurnakan dengan pengajian lain seperti hadis, sirah nabawiah, serta tsaqafah Islam yang lain.
Khatimah
Begitu pentingnya belajar dan mengajar al-Quran bagi setiap muslim. Tanpanya, kita mustahil dapat memahami dan mengamalkan ajaran Islam. Belajar dan mengajar al-Quran juga akan memupuk semangat perjuangan untuk menerapkannya.
Apabila membaca dan mentadabur ayat-ayat Al-Quran yang membincangkan kekuasaan Allah yang luar biasa, hal ini akan memberi semangat agar kita tidak berputus asa memperjuangkan penerapan kalam-Nya, meskipun begitu banyak rintangan dan halangannya.
Contohnya, tatkala mentadabur ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa hanya Allah yang berhak membuat hukum dan peraturan, sedangkan keadaan umat Islam hari ini ada dalam cengkaman sistem sekular demokrasi (menjadikan manusia sebagai pembuat peraturan dan hukum), maka ayat-ayat itu akan memberikan dorongan kuat agar umat segera dibebaskan dari cengkaman sistem kufur dan berjuang sekuat tenaga agar sistem Islam dapat ditegakkan dengan segera sehingga hukum Allah sahaja yang mengatur segala urusan umat Islam.
Dengan demikian, belajar dan mengajar al-Quran akan memupuk rasa rindu untuk hidup di bawah naungan sistem Islam yang menerapkan al-Quran secara kaffah. Juga meningkatkan ghairah atau semangat untuk memperjuangkan sistem tersebut segera ditegakkan agar mampu melaksanakan al-Quran secara menyeluruh. Wallahualam bissawab.
Sumber:
#Tsaqafah #MemahamiAlQuran #MengajarAlQuran #TadaburAlQuran #BelajarAlQuran