PERBEZAAN PENDAPAT DI KALANGAN ULAMA MAZHAB BERKAITAN NIQAB
Oleh: Maryam Ismail
Fenomena berpurdah semakin berkembang di Malaysia dan menjadi trend baru dalam pemakaian tudung. Ada yang memakainya semata-mata kerana trend dan membukanya semula apabila trend telah berakhir. Ada juga yang memakainya dengan meyakini berniqab itu sunnah dan ada pula yang percaya berniqab itu wajib. Oleh itu, amat penting untuk kita meneliti hukum di sebalik pemakaian niqab atau purdah dari sudut syariah.
Definisi purdah dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bermaksud sehelai kain yang digunakan oleh wanita untuk menutup mukanya kecuali dua mata yang biasa digunakan oleh wanita Islam. Manakala dalam bahasa Arab, purdah disebut نِقاب (niqāb). Niqāb ialah penutup muka yang sama maksud seperti yang dinyatakan dalam kamus DBP iaitu sehelai kain yang digunakan untuk menutup muka kecuali mata. Dalam kitab Fath al-Bârî pula dinyatakan bahawa purdah ialah sehelai kain yang dipakaikan di atas hidung atau di bawah lekukan mata.
Perbezaan Pendapat tentang Niqab
Sebenarnya, perdebatan mengenai pemakaian niqab telah muncul sejak ratusan tahun dahulu apabila isu pemakaian niqab sering dibangkitkan oleh penjajah Barat. Kemudian, isu ini sekali lagi dibangkitkan sekitar tahun 2008 di mana kerajaan Republik Perancis mengharamkan pemakaian niqab oleh wanita Islam di kawasan awam atas sebab radikalisme dan pencabulan hak asasi manusia. Hal ini amat mendukacitakan kerana sehingga kini, isu yang ditimbulkan oleh penjajah ini masih lagi diperdebatkan oleh segelintir umat Islam sehingga sebahagian besar daripada mereka tidak menyedari tujuan sebenar penyebaran idea ini adalah untuk menyerang Islam dan menghancurkan umat Islam.
Perdebatan mengenai isu di atas tidak seharusnya dibincangkan oleh umat Islam kerana semua pandangan pihak asing tentang penggunaan niqab bukanlah pendapat Islami. Yang sepatutnya menjadi topik perbincangan ialah pendapat yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Maka di sini akan dikemukakan beberapa pendapat jumhur ulama dari kalangan mujtahid berkenaan hukum berniqab.
Pendapat yang Mewajibkan
Mazhab Syafi’i dan Hambali menganggap aurat wanita adalah seluruh tubuhnya. Maka, kedua-dua mazhab ini mewajibkan wanita Islam menutup mukanya dengan niqab. Ulama mazhab ini berpandangan apabila diturunkan ayat mewajibkan memakai tudung, muslimah terus mencari sebarang kain di sekelilingnya untuk menutup aurat. Ini telah diriwayatkan oleh Aisyah RA, “(Wanita-wanita Muhajirin) apabila turun ayat ini (Dan hendaklah mereka menutup tudung mereka hingga ke dada (dan leher) mereka.” [TMQ An-Nur (24): 31], mereka mengoyakkan selimut mereka, kemudian menutup kepala dengannya.” [HR Bukhari]
Muhammad bin Qaasim al-Ghazzi dalam kitabnya, Fathul Qaarib, menyatakan, “Seluruh tubuh wanita selain muka dan tapak tangan adalah aurat ketika solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh tubuh mereka.” Pendapat ini selari dengan pendapat Mansyur bin Yunus bin Idris al-Bahuti dalam kitabnya Kasyful Qanaa’.
Pendapat mereka adalah berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Dalil-dalil yang dijadikan sandaran adalah Surah Al-Ahzab, ayat 33, 53, dan 59. Mereka berpendapat, “Yudnîna ‘alayhinna min jalâbîbihinna (memakai jilbab ke seluruh tubuh termasuk muka)”. Selain ayat al-Quran, mereka juga bersandar pada sabda Rasulullah SAW, “Wanita adalah aurat.” [HR Ibnu Hibban]
Hadis lain dari Ummu Salamah beliau berkata, “Aku pernah duduk di samping Rasulullah SAW bersama Maimunah. Kemudian ibnu Ummi Maktum meminta izin lalu Nabi bersabda, “Berhijablah kamu darinya.” Aku berkata, Ya Rasulullah, sesungguhnya dia buta”. Beliau bersabda, “Adakah kamu berdua buta juga?” [HR Abu Dawud]
Mereka juga menjadikan asbabun nuzul Surah An-Nur: 30 sebagai dalilnya, iaitu suatu peristiwa ketika Fadhl ibn ‘Abbas bersama Rasulullah SAW, kemudian datanglah seorang wanita bernama Khuts’amiyah meminta pendapat. Fadhl dan wanita itu saling berpandangan, lalu Rasulullah SAW memalingkan wajahnya (Fadhl) daripada wanita itu. (Lihat: HR Abu Dawud)
Secara ringkasnya, ulama kedua-dua mazhab ini meletakkan pendapat bahawa Islam sangat menjaga wanita dengan adanya kewajipan menutup seluruh tubuh mereka.
Pendapat yang Tidak Mewajibkan
Sementara ulama yang tidak mewajibkan niqab ialah ulama Mazhab Hanafi dan Maliki. Ulama Hanafi iaitu As-Syaranbalali dalam Matan Nuurul-Iidhah mengatakan bahawa seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali muka dan tapak tangannya.
Manakala ulama Maliki iaitu Imam al-Qurthubi dalam tafsirnya berpendapat bahawa jika seorang wanita itu cantik rupa parasnya dan dikhuatiri muka dan tapak tangannya menimbulkan fitnah hendaklah menutup mukanya kecuali wanita yang sudah tua. Kedua ulama mazhab ini berhujah dengan bersandarkan firman Allah, “Janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.” [TMQ an-Nur :31]
Mereka berpendapat bahawa yang biasa kelihatan ialah muka dan tapak tangan yang menyebabkan ia tidak wajib ditutup. Ini dikuatkan lagi dengan hadis Qatadah bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang wanita telah baligh, tidak ada yang boleh dilihat daripadanya kecuali muka dan tapak tangannya hingga ke pergelangan tangannya.” [HR Abu Dawud]
Selain daripada pendapat di atas, terdapat juga segelintir ulama yang berpendapat bahawa berniqab adalah sunnah atau anjuran. Mereka mengambil dalil-dalil tentang kewajipan isteri-isteri Rasulullah SAW berniqab. Pendapat yang mereka keluarkan ialah isteri-isteri Nabi yang telah menjaga kesuciannya juga diminta berhijab, apatah lagi muslimah lain yang lebih utama digalakkan berhijab.
Kesimpulan
Melihat kepada dalil-dalil yang dikeluarkan oleh ulama di atas, dapat disimpulkan bahawa kedua-dua pandangan tersebut adalah pendapat Islami kerana ia bersandarkan kepada dalil al-Quran dan as-Sunnah. Ini juga dinyatakan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya, An-Nizhamul Ijtima’iy.
Seperti yang kita ketahui, sudah menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk mengetahui sumber dalil hukum sesuatu perbuatan sebelum melakukannya. Jadi, dengan kajian dalil-dalil syariah ini, diharapkan kita semua dapat meneliti dan memilih pendapat yang lebih rajih (lebih kuat) untuk dijadikan asas berhukum. Insya-Allah dalam artikel seterusnya akan dibincangkan pendapat-pendapat yang rajih berkenaan isu niqab.