MENYINGKAP HUKUM RAJIH BERKAITAN NIQAB
Oleh: Maryam Ismail
Seperti yang telah dibincangkan dalam artikel sebelum ini, kita dapati terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama Islam mengenai kewajipan berniqab. Isu ini merupakan isu penting dalam mengatur hubungan antara lelaki dan wanita. Jadi, sudah tentu menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk mengenal pasti hukum yang paling rajih (lebih kuat) antara pandangan-pandangan yang ada.
Ulama mazhab Syafi’i dan Hanbali mengatakan wajib berniqab. Antara hadis-hadis yang dikemukakan ialah “Wanita itu adalah aurat. Jika dia keluar rumah, maka syaitan akan menghiasinya” [HR Ibnu Hibban (5598)]. Melalui hadis ini mereka melihat aurat wanita adalah seluruh tubuh termasuk muka dan tapak tangan. Namun, hadis riwayat Ibnu Hibban ini bersifat umum sedangkan terdapat hadis-hadis lain yang mengkhususkan aurat wanita iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Salah satunya hadis dari Asma’, Rasulullah SAW bersabda, “Wahai Asma’ sesungguhnya jika seorang wanita sudah baligh, dia tidak boleh memperlihatkan kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan muka dan tapak tangannya)”.
Selain itu, pandangan yang mewajibkan berniqab juga menggunakan hadis peristiwa Fadhl Ibn Abbas. Daripada Ibn `Abbas RA, katanya Al-Fadhal (bin `Abbas) pernah menaiki unta yang sama dengan Rasulullah SAW. Datang seorang wanita dari Khasy`am. Kemudian al-Fadhl memandangnya dan dia memandang al-Fadhl. Maka, Nabi memalingkan muka al-Fadhl ke arah lain. Dalam riwayat an-Nasa’i ada menyatakan bahawa “Kemudian al-Fadhl bin `Abbas memandangnya. Dia seorang wanita yang cantik. Maka, Nabi memalingkan muka al-Fadhl ke arah lain.
Jika diteliti dalil-dalil di atas, hadis ini tidak merujuk kepada kewajipan berniqab, tetapi sebaliknya ia menunjukkan ketiadaan dalil bagi kewajipan ini. Riwayat ini menunjukkan bahawa wanita pada zaman Nabi tidak menutup muka mereka. Sedangkan Rasulullah SAW juga hanya memusingkan wajah al-Fadhl tanpa menyuruh wanita itu menutup mukanya walaupun wanita itu sangat cantik. Ini menunjukkan pendapat bahawa wanita yang berwajah cantik mesti menutup mukanya juga tidak kuat. Rasulullah SAW memalingkan muka Fadhl Ibn Abbas ke arah lain kerana Rasulullah SAW melihat perubahan pada pandangan Fadhl Ibn Abbas, tidak seperti biasa. Pandangan itu adalah pandangan yang disertai oleh syahwat. Pandangan ini dilarang dan kerana itu Rasulullah SAW memalingkan wajah Fadhl ibn Abbas.
Kisah ini juga diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib RA, ketika beliau bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau memalingkan muka sepupumu?” Rasulullah SAW menjawab, “Kerana aku melihat seorang pemuda dan seorang gadis yang tidak selamat dari gangguan syaitan.” Maka jelaslah tidak ada satu dalil pun yang menunjukkan Allah SWT mewajibkan wanita Islam menutup muka. Dalil-dalil yang ditunjukkan oleh ulama mazhab ini adalah syubhah dalil (dalil yang lemah) dan tidak ada kena mengena dengan kewajipan berniqab.
Sebagaimana yang diketahui, muka dan kedua tapak tangan wanita bukanlah aurat baik di luar mahupun dalam solat. Oleh itu, seorang wanita boleh keluar ke pasar atau keluar ke kawasan awam dengan menampakkan muka dan tapak tangannya. Ini telah ditegaskan dalam al-Quran dan Hadis. Firman Allah SWT, “Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, hendaklah mereka memelihara pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnay) kecuali yang (biasa) nampak. Dan hendaklah mereka menutupkan tudungnya ke dada mereka. ” [TMQ An-Nur (24): 31]
Dalam ayat ini, Allah SWT melarang wanita Islam menampakkan perhiasannya atau tempat letak perhiasannya. Ibn ‘Abbas menafsirkan ayat ini bahawa yang dimaksudkan dengan mâ zhahara minhâ (yang biasa dilihat padanya) ialah muka dan tapak tangan. Pendapat ini selari dengan pendapat ahli-ahli tafsir yang lain. Ibn Jarîr at-Thabarî menyatakan, “Pendapat yang paling benar ialah yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan ialah muka dan dua tapak tangan.” Imam Al-Qurthubî menyatakan, “Wajah dan kedua tapak tangan biasanya kelihatan baik dalam aktiviti harian mahupun dalam haji dan solat.”
Niqab adalah Sunnah (anjuran)
Selain pandangan yang mewajibkan berniqab, terdapat juga pandangan ulama’ yang mengatakan berniqab adalah sunnah kerana isteri-isteri Rasulullah SAW diwajibkan menutup muka mereka. Mereka berpendapat, isteri-isteri Nabi yang telah menjaga kesuciannya pun diminta untuk berhijab, apatah lagi muslimah lain yang lebih utama digalakkan untuk berhijab.
Ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan isteri-isteri Rasulullah SAW untuk berniqab (lihat Surah Al-Ahzab, ayat 33 dan 53) adalah ayat-ayat yang bersifat khas untuk isteri-isteri Nabi sahaja. Dalam hal ini, tidak boleh dikatakan seruan kepada isteri-isteri Nabi adalah seruan kepada semua wanita Islam. Kaedah “seruan kepada individu tertentu juga adalah seruan kepada semua orang yang beriman” hanya terpakai secara khusus apabila seruan itu untuk Rasulullah SAW. Maksudnya, seruan Allah kepada Rasulullah SAW adalah seruan kepada orang-orang mukmin keseluruhannya kerana Rasulullah dijadikan suri teladan bagi semua orang yang beriman (lihat Surah al-Ahzab, ayat 21) baik dalam perbuatan, ucapan mahupun diamnya baginda selagi tiada pengkhususan taklif untuknya. Seruan Allah SWT kepada isteri-isteri Nabi tidak termasuk dalam seruan kepada mukmin yang lain.
Penutup
Dari semua penjelasan di atas, jelas bahawa tidak ada satu dalil pun yang menunjukkan kewajipan atau sunnah bagi wanita Islam berniqab. Wajah dan kedua tapak tangan wanita bukan aurat, baik ketika solat mahupun di luar solat. Dalil-dalil yang kuat dan sahih daripada hadis Rasulullah SAW menunjukkan wanita Islam pada zaman baginda tidak menutup wajah mereka. Maka, pendapat yang rajih (lebih kuat) bukanlah wajib dan bukan juga sunnah. Jadi, apakah hukum berniqab? Tidak lain hanyalah mubah (harus) untuk diamalkan.
Wallahu a’lam.