MAMPUKAH NIQAB MENJADI BENTENG FITNAH?
Oleh: Maryam Ismail
Alhamdulillah, kita telah menjelaskan dengan panjang lebar mengenai hukum rajih (hukum yang lebih kuat) berkaitan pemakaian niqab atau purdah dalam artikel sebelum ini. Secara ringkas, hukumnya adalah mubah (harus), bukan sunnah atau wajib seperti yang dinyatakan oleh beberapa pihak. Walau bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa pemakaian niqab adalah sunnah atau wajib kerana ia dapat mencegah fitnah dan menjaga akhlak seseorang. Soalan yang timbul ialah, adakah pemakaian niqab memang benar-benar mampu menjadi benteng untuk mengelakkan fitnah dan membentuk akhlak seorang wanita?
Jika kita melihat realiti hari ini, pemakaian niqab tidak dapat sepenuhnya menghindari fitnah dan menyelesaikan masalah keruntuhan akhlak. Masih terdapat sebilangan wanita yang memakai niqab tetapi pada masa yang sama berpakaian ketat (tidak menurut syariat), bertabarruj, menari di media sosial, keluar berdua-duaan dengan bukan mahram, dan malah terdapat juga kes khalwat dan zina yang melibatkan wanita yang memakai niqab. Jadi, memakai niqab secara jelas bukanlah jaminan untuk menghindari fitnah dan memiliki akhlak yang lebih baik.
Isu pemakaian niqab dan usaha untuk menghindari fitnah adalah dua perkara yang berbeza. Ini dapat dilihat dari tindakan Rasulullah SAW ketika beliau memalingkan wajah al-Fadhl daripada memandang wanita dari Bani Khats’am. Jika pemakaian niqab dapat mencegah fitnah, sudah tentu Rasulullah SAW akan memerintahkan wanita tersebut untuk menutupi wajahnya ketika dilihat oleh al-Fadhl. Namun, yang dilakukan oleh Rasulullah SAW adalah memalingkan wajah al-Fadhl. Jadi, jelas bahawa ada hukum yang berlaku bagi orang yang memandang, bukan bagi orang yang dipandang.
Allah SWT berfirman, “Katakanlah (wahai Muhamamd) kepada lelaki yang beriman agar mereka menahan pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan menjaga kehormatan mereka. Hal itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Amat mendalam pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka lakukan”. [TMQ An-Nur (24): 30]. Pada masa yang sama, seorang muslimah diwajibkan menutup aurat dengan sempurna dengan mengenakan jilbab dan khimar, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah An-Nur (24): 31 dan Surah Al-Ahzab (33): 59.
Kedua-dua kewajipan ini sering disalahertikan dan diambil ringan, menyebabkan pemahaman terhadap khitab (seruan) as-Syari’ menjadi kabur. Akibatnya, pemakaian niqab yang hukumnya mubah diberi penekanan, sementara pemakaian jilbab dan khimar yang wajib, dilaksanakan ala kadarnya. Padahal, kewajipan menutup aurat dengan pakaian tertentu ketika keluar dari rumah sangat ditekankan dalam syariat. Perintah ini tidak hanya terdapat dalam al-Quran, tetapi juga disampaikan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang dibawa oleh Ummu Athiyah seperti berikut, “Pada dua hari raya, kami diperintahkan untuk mengeluarkan wanita-wanita yang sedang haid untuk menghadiri jemaah kaum muslim dan berdoa bersama mereka. Namun, wanita-wanita yang sedang haid harus menjauhi tempat solat mereka. Seorang wanita bertanya, ‘Wahai Rasulullah, seorang wanita di antara kami tidak memiliki jilbab, (bolehkah dia keluar)?’ Lalu Rasulullah SAW menjawab, Hendaklah kawannya meminjamkan jilbabnya untuk dipakai oleh wanita tersebut” [HR Al-Bukhari dan Muslim].
Oleh itu, pemahaman tentang kewajipan menundukkan pandangan dan menutup aurat dengan sempurna dapat menjadi titik tolak dalam mengatasi sebahagian fitnah yang muncul. Penyelesaian ini dapat dilaksanakan secara komprehensif ketika terdapat institusi pelaksana syariat, iaitu Khilafah Islam (Negara Islam). Ini dapat dibuktikan seperti yang dilakukan oleh Khalifah Umar Al-Khattab terhadap Nashr ibn Hajjaj yang diasingkan ke Basrah kerana ramai wanita yang tergoda dengan ketampanannya. Pengasingan ini tidak hanya berlaku untuk kaum lelaki, tetapi juga dapat dilakukan terhadap wanita yang dapat menciptakan ruang fitnah yang sama. Ini bermakna bahawa negara memainkan peranan penting dalam usaha menghilangkan setiap ruang fitnah dalam masyarakat. Peranan negara ini adalah sebahagian daripada tanggung jawab ri’ayah syu’un al-ummah (mengurus urusan umat). Negara juga berhak memberikan hukuman takzir kepada sesiapa yang melanggar ketentuan yang telah ditetapkan dalam Undang-Undang Negara Islam.
Penutup
Di era modenisasi ini, pelbagai fesyen dan kuasa kosmetik telah mempengaruhi wanita untuk tampil cantik dan menarik. Oleh itu, tabarruj yang dilarang oleh Islam semakin meluas dalam kehidupan wanita Muslim, bersama dengan perkembangan industri kosmetik yang pesat. Fenomena ini turut memberi kesan kepada ramai wanita, termasuk yang memakai niqab. Tidak menghairankan jika pelbagai fitnah muncul dari wanita kerana perkara haram ini dianggap sebagai hal biasa dalam kehidupan. Oleh itu, sekali lagi, fitnah tidak dapat diatasi hanya dengan memakai niqab, melainkan negara memainkan peranannya untuk memastikan wanita tidak bertabarruj, menutup aurat, memakai jilbab dan khimar, serta menegakkan hukum menundukkan pandangan. Rasa malu yang ada dalam diri seorang Muslim seharusnya menjadi benteng yang berharga untuk tidak melampaui batas dan membentuk keperibadian yang soleh dalam diri seorang wanita.
Wallahua’lam.