[Keluarga] Menunjukkan Cinta Kasih Kepada Pasangan, Perlukah?
Penulis: Najmah Saiidah
Pertautan hati antara dua insan, pasangan berlainan jantina yang berlandaskan cinta kerana Allah dan diikat dengan perkahwinan merupakan satu ikatan yang sangat kuat. Hal ini difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran surah An-Nisa’ ayat 210 sebagai mithaqan ghalizhan (perjanjian yang kuat atau perjanjian yang agung). Tiada keindahan melebihi keindahan suami isteri yang menjalani kehidupan berumah tangga kerana Allah SWT dan mengikut syariat Islam. Oleh itu, suami isteri hendaklah sentiasa berusaha untuk menjaganya dengan baik.
Seorang suami hendaknya tidak segan-segan untuk sentiasa menunjukkan cinta dan kasih dan sayangnya kepada isteri, begitu juga sebaliknya. Hal ini akan memupuk rasa cinta dan kasih sayang antara keduanya, sehingga terwujud keharmonian dalam meniti jalan menuju syurga Allah bersama. Allah SWT berfirman,
اُدْخُلُوا الْجَنَّةَ اَنْتُمْ وَاَزْوَاجُكُمْ تُحْبَرُوْنَ “Masuklah kamu dan isteri-isterimu ke dalam syurga, kamu sekalian akan diberikan nikmat yang banyak (digembirakan).” [TMQ Az-Zukhruf: 70].
Pergaulan Rasulullah SAW dengan Isteri-isterinya Adalah Contoh Terbaik
Allah SWT telah memerintahkan agar suami bergaul dengan isterinya dengan cara yang baik, seperti sahabat dengan sempurna. Inilah yang Rasulullah SAW lakukan kepada isteri-isterinya. Memberi hak, nafkah dan mahar untuknya, tidak bermuka masam di hadapan isterinya, dan tidak pernah menunjukkan kecenderungan kepada wanita lain. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian jika kamu tidak menyukai mereka, maka bersabarlah kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu padahal Allah telah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ An-Nisa (4): 19].
Rasulullah SAW teladan terbaik dalam pergaulan makruf kepada keluarganya. Daripada Muawiyah al-Qusyairi, Rasulullah SAW pernah ditanya, “Apakah hak wanita terhadap suaminya?” Rasulullah SAW menjawab, “Engkau memberinya makan jika engkau makan dan engkau memberi pakaian jika engkau berpakaian. Janganlah memukulnya pada wajah, jangan mencaci maki, dan jangan menjauhinya, melainkan dalam rumah.” [HR Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Majah].
Kehidupan perkahwinan yang penuh persahabatan dengan isteri-isteri baginda telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW kepada kita semua. Hal ini dapat dilihat dari tingkah laku, sikap, dan kata-kata yang disampaikannya kepada isteri-isterinya. Tidak ada satu hadis pun yang menyebut bahawa Nabi pernah memukul atau mengumpat isterinya. Rasul menyapa isterinya dengan sapaan yang mesra dan baik. Rasul menyapa Khadijah dengan panggilan yaa habibi, wahai kekasihku. Begitu juga dengan Aisyah yang disapa dengan yaa Humaira, wahai wanita yang pipinya kemerahan.
Ada satu kisah yang selalu kita ingat, dalam sebuah perjalanan, Rasulullah SAW mengajak isterinya, Aisyah, untuk berlumba lari. Rasulullah SAW mempersilakan sahabat-sahabatnya berjalan dahulu. Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Aisyah, “Ayuh, ke mari. Saya mengajak engkau berlumba lari.” Aisyah dengan tangkas berlari dan berjaya mengalahkan Rasulullah.
Masa terus berlalu. Beberapa tahun kemudian Aisyah kembali menemani Rasulullah SAW dalam satu perjalanan. Beliau sekali lagi mempersilakan sahabat-sahabatnya berjalan dahulu. Kemudian, beliau berkata kepada Aisyah, “Ayuh, ke mari. Saya mengajak engkau berlumba lari.”
Aisyah tersenyum. Ini kerana ketika itu badannya sudah mulai gemuk. Aisyah bertanya, “Bagaimana aku boleh berlumba denganmu ya Rasulullah, sedangkan badanku begini?” Rasulullah SAW bersabda, “Ayuh, lakukanlah!”
Kemudian Aisyah cuba berlumba lari dengan Rasulullah SAW. Ketika itu Nabi berjaya mendahului Aisyah. Baginda pun tertawa gembira dan berkata, “Sekarang aku telah dapat mengalahkanmu.” Begitulah romantiknya Rasulullah SAW.
Nabi juga pernah berpesan kepada para suami supaya tetap bersabar dalam menghadapi sikap wanita (isteri) yang kurang disenangi. Walaupun ada perkara yang tidak disenangi dari gelagat atau sikap isteri, itu bukanlah alasan untuk suami bermuka masam atau berlaku kasar. Rasulullah SAW bersabda, “La yafrak mu’minun mu’minatan in kariha minha khuluqan radhiya minha akhara.” Maksudnya: “Janganlah marah (lelaki muslim/suami) kepada wanita muslimah (isteri). Jika tidak menyukai satu perangai daripadanya, maka sukailah perangai yang lain.” [HR Imam Muslim dan Imam Ahmad]
Bagaimana pula dengan Kita?
Rasulullah SAW memberikan contoh yang sangat indah kepada keluarga Islam bagaimana untuk bergaul dengan pasangan kita. Baginda sentiasa menunjukkan wajah yang berseri-seri dan mesra dengan isteri-isterinya. Sudah tentu kita juga mesti mencontohi Baginda Rasul, agar terwujud sebuah keluarga yang harmoni penuh ketenteraman dan keberkatan.
Islam sangat menganjurkan agar kita sering menyatakan cinta kasih, sama ada kepada pasangan, ibu bapa, anak, mahupun adik beradik. Kasih sayang ini mesti dizahirkan. Ini berdasarkan sebuah riwayat, Ali bin Abi Talib pernah berkata, “Mencium anak adalah kasih sayang, mencium isteri adalah cinta, mencium ibu bapa adalah ibadah, mencium adik beradik adalah bimbingan agama.”
Pada kesempatan lain Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tidak memberi rahmat, maka tidak dirahmati.” [HR Ahmad, Bukhari dan Muslim].
Seorang isteri hendaklah sentiasa menunjukkan rasa cintanya kepada suami, lebih-lebih lagi apabila suaminya berada di sisi. Ini kerana salah satu matlamat berumahtangga adalah untuk membentuk keluarga yang saling mencintai. Rasulullah SAW bersabda, “Dan mahukah aku tunjukkan kepada kamu wanita-wanita syurga? Iaitu setiap isteri yang penuh cinta kepada suaminya dan penyayang kepada anak-anaknya, apabila suaminya marah kepadanya, dia berkata, ‘Inilah tanganku berada di tanganmu. Aku tidak boleh tidur memejamkan mata sehingga engkau redha kepadaku.” [HR an-Nasa’i].
Rasulullah SAW juga memerintahkan suami untuk bercakap dengan bahasa yang lembut dan mengelakkan kata-kata kasar dan cacian yang boleh menyakiti hati isteri. Nabi Muhammad SAW juga berpesan kepada para suami supaya melayan isteri dengan baik, termasuk bersabar dalam menasihati mereka, dan tidak menyakiti mereka. Baginda bersabda, “Ketahuilah, berwasiatlah tentang kebaikan kepada wanita (isteri-isteri) kerana mereka hanyalah tawanan di sisi (di tangan) kamu. Kamu tidak menguasai sesuatu pun daripada mereka kecuali itu, kecuali apabila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Apabila mereka melakukan itu, kurung mereka di tempat tidur dan pukul mereka dengan pukulan yang tidak meninggalkan kesan. Namun, jika mereka taat kepada kamu, tidak ada cara bagi kamu untuk menyakiti mereka.” [HR Tarmizi].
Dalam kitab Raudhatul Muttaqin, Syeikh Hasan al-Basri berkata, hakikat ahsanul khuluq ialah benar-benar mencurahkan kebaikan kepada isteri dan tidak pernah menyakiti isteri, sama ada melalui percakapan, mimik muka, mahupun dengan gerak-gerinya.
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya yang bertajuk Al-Adab fid Din dalam Majmu’ah Rasail al-Imam al-Ghazali memberikan penjelasan tentang adab isteri terhadap suami dan begitu juga sebaliknya. Kita akan mendapati bahawa kedua-dua isteri dan suami dituntut untuk menunjukkan rasa cinta dan bersikap lemah lembut kepada pasangan mereka.
“Adab isteri terhadap suami iaitu sentiasa merasa malu, tidak banyak bertengkar, sentiasa menurut perintahnya, diam ketika suami bercakap, menjaga kehormatan suami ketika tiada, tidak khianat dalam menjaga harta suami, menjaga bau badan dan mulut agar tetap berbau harum, dan berpakaian bersih, menunjukkan qana’ah, menunjukkan belas kasihan, sentiasa berhias, memuliakan kaum kerabat dan keluarga suami, melihat hakikat suami dengan keutamaan, menerima hasil kerja suami dengan rasa syukur, menunjukkan rasa cinta kepada suami apabila berada dekat dengannya, menunjukkan kegembiraan apabila melihat suami.”
Manakala adab seorang suami terhadap isteri adalah seperti berikut: “Adab suami terhadap isterinya ialah bergaul dengan baik, bertutur kata yang lembut, menunjukkan cinta kasih kepada isteri, bersabar ketika bersendirian, tidak selalu membuat isteri sebagai tertuduh, memaafkan isteri, menjaga harta isteri, tidak sering bertengkar dengan isteri, memberi nafkah yang sewajarnya, memuliakan keluarga isteri, berjanji dengan baik dan menepatinya, menunjukkan semangat kepada isteri.”
Lalu, bagaimana jika pasangan suami isteri menunjukkan kemesraan di khalayak ramai, adakah Islam membenarkannya?
Bolehkah Suami Isteri Bermesra Di Khalayak Ramai?
Sememangnya bermesra selepas berkahwin adalah perkara yang dihalalkan dalam Islam. Namun, itu tidak bermakna setiap perkara yang halal bagi pasangan suami isteri boleh dipamerkan di khalayak ramai seperti bermesra di khalayak ramai. Menunjukkan kemesraan di khalayak ramai boleh membangkitkan nafsu seseorang dan ini tidak dibenarkan. Hal ini wajib dipelihara oleh seorang muslim, kecuali jika ada tujuan yang syar’ie, seperti ketika menyeberang jalan yang sibuk atau ketika berada di kawasan yang sesak (seperti ketika mengerjakan haji) agar tidak berpisah antara satu sama lain.
Nabi SAW juga mengajar agar umatnya mempunyai sifat malu. Malah sabdanya malu itu sebahagian daripada iman. Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Iman mempunyai tujuh puluh lebih cabang. Dan malu adalah salah satu cabang iman.” [HR Muslim dan Ahmad]. Salah satu bahagian daripada rasa malu ialah tidak menunjukkan tingkah laku yang tidak sesuai di khalayak ramai.
Jika diperhatikan dengan saksama ketika Rasulullah SAW mengajak Aisyah berlumba lari, maka beliau meminta sahabat-sahabatnya berjalan dahulu meninggalkan baginda berdua dengan Aisyah RA. Peristiwa ini jelas menunjukkan Rasulullah SAW tidak menampakkan kemesraan beliau dengan Aisyah secara terbuka.
Syeikh Muhammad bin Ibrahim dalam Fatawa wa rasail Muhammad bin Ibrahim menjelaskan tentang menunjukkan kemesraan di khalayak ramai, “Termasuk dalam bentuk pergaulan yang kurang baik dengan isterinya, apabila dia mencium isterinya di hadapan ramai orang atau seumpamanya. Hukumnya tidak boleh.”
Sebagaimana juga yang dinyatakan oleh Imam Nawawi dalam kitab Minhajut thalibin wa ‘umdatul muftin: “Beberapa perbuatan yang boleh merendahkan kehormatan dan wibawa manusia ialah mencium isteri di khalayak ramai, atau bercerita banyak kisah yang mencetuskan gelak tawa pendengar.”
Daripada beberapa keterangan ini jelas menunjukkan bahawa pasangan suami isteri tidak dibenarkan bermesra di tempat awam.
Khatimah
Demikianlah dengan sangat tegas berdasarkan banyak nas dan perkara yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam kehidupan berumahtangganya bahawa Rasulullah SAW menunjukkan cinta kasihnya kepada isteri-isterinya dan bergaul dengan penuh kelembutan dan kasih sayang kepada mereka. Ini memberi penjelasan kepada kita bahawa menunjukkan cinta kepada pasangan adalah perkara yang dituntut oleh syarak.
Namun begitu, Islam tidak begitu sahaja menyuruh menyatakan cinta kasih kepada pasangan. Semuanya dalam batas syarak. Oleh itu, Islam tidak membenarkan pasangan suami isteri bermesra di khalayak ramai. Wallahua’lam bissawab.