[FIKRUL ISLAM] Langkah Menuju Daulah Khilafah
Penulis: M.R. Kurnia
Setiap perbuatan manusia akan dihisab oleh Allah. Oleh itu, dalam setiap perbuatan semua muslim, Allah perintahkan untuk sentiasa terikat dengan peraturan-Nya yang dibawa dan dicontohi oleh Rasulullah SAW., termasuk dalam menentukan jalan menuju Daulah Khilafah.
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah suatu contoh yang baik bagimu, iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan hari kemudian serta banyak mengingat Allah.“ [TMQ Al-Ahzab (33): 21].
Contoh yang baik, sudah tentu dalam semua perkara, bukan sahaja dalam masalah akhlak seperti yang difahami sebahagian orang. Termasuklah metod mengubah masyarakat tidak Islam menjadi masyarakat Islam, mengubah dar kufur menjadi Daulah Khilafah.
Merujuk kepada apa yang dilakukan oleh Rasulullah, tampak bahawa perkara pertama beliau lakukan ialah pembinaan umat. Sejak diutus oleh Allah, Rasulullah membina individu-individu pada masa itu sehingga memiliki keperibadian Islam. Orang-orang yang menerima dakwahnya berkumpul di rumah Arqam bin Abi Arqam untuk dibina dan direkrut. Selain itu, orang-orang tersebut juga berusaha untuk menyampaikan dakwah kepada orang lain. Bahkan ada yang diutus seperti Khabbab bin Arats yang mengajarkan al-Quran kepada Fatimah binti Khattab bersama suaminya.
Terbentuklah kekuatan politik yang dibina oleh Rasulullah. Para sahabat bersatu dalam satu barisan yang kuat bersama-sama menyampaikan dakwah Islam. KeIompok para sahabat di bawah pimpinan Rasulullah ini lebih nampak pada zahir sebagai satu kekuatan pasukan sejak beliau menerima wahyu,
“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala yang diperintahkan kepadamu dan berpalinglah dari orang-orang musyrik.” [TMQ Al-Hijr (15): 94].
Semua orang tahu ketika itu beliau menampakkan risalahnya secara terbuka dengan mengajak orang Quraisy pergi berkumpul di Bukit Safa. Kemudian, beliau menyampaikan kepada mereka tentang kenabiannya dan meminta mereka untuk mengimaninya.
Seterusnya, beliau dan para sahabat menentang orang-orang Quraisy, berhala mereka, kepercayaan, dan idea mereka dengan cara menjelaskan kepalsuan dan kerosakannya. Ayat al-Quran juga turun menyerang kebiasaan mereka seperti kebiasaan memakan harta riba, menanam anak perempuan hidup-hidup, menipu dalam timbangan, dan berzina. Juga, al-Quran menyerang para pemimpin dan tokoh-tokoh Quraisy, memberinya gelaran sebagai orang-orang bodoh disertai dengan pendedahan konspirasi yang mereka rancangkan untuk menentang Rasulullah, dakwah beliau, dan para sahabatnya.
Beliau juga sentiasa berusaha mendapatkan sokongan daripada kalangan pemimpin-pemimpin kabilah. Sehingga akhirnya, apabila masyarakat tidak tahan lagi dengan sistem kehidupan selama ini, mereka menuntut diterapkannya Islam. Sementara itu, sokongan politik juga semakin besar terutama daripada penduduk Madinah. Allah juga memerintahkan Rasulullah untuk berhijrah ke Madinah.
Sejak itu, terbentuklah tatanan masyarakat Islam. Wahyu juga banyak diturunkan mengenai perkara undang-undang, ekonomi, sosial, pendidikan, dan pemerintahan.
Berdasarkan realiti tersebut, dapat dinyatakan bahawa metod syarie untuk mengubah masyarakat tidak Islam kepada masyarakat Islam yang direalisasikan melalui pembentukan kuasa Islam mempunyai tiga tahap.
Pertama, marhalah tatsqif iaitu tahap pembinaan dan pengkaderan. Dari segi individu, pembinaan adalah bertujuan untuk membentuk umat Islam yang berperibadi Islam iaitu seseorang yang berfikir dan bertindak secara Islami. Dia tidak berfikir kecuali sesuai dengan ajaran Islam, dan tidak bertindak kecuali sesuai dengan syariat Islam.
Perlu ditanamkan pemahaman akidah yang benar dan kuat beserta segala akibat seseorang yang telah berakidah Islam iaitu taat kepada syariat. Juga ditanamkan pemahaman tentang syariat itu sendiri dalam perkara ibadah, pakaian, makanan, minuman, pergaulan, muamalah, dan bernegara. Tambahan pula, pembinaan ini adalah bertujuan untuk menyedarkan masyarakat bahawa masyarakat seharusnya diatur sesuai dengan syariat Islam.
Dari segi komuniti, pembinaan kepada umat adalah bertujuan agar setiap muslim yang telah berkeperibadian Islam tadi membentuk kekuatan dan dorongan untuk melakukan perubahan dalam masyarakat ke arah Islam agar terbentuknya masyarakat Islam dalam Daulah Khilafah. Itulah kekuatan politik (al-quwwatus siyasiyah).
Kedua, marhalah tafa’ul ma’al ummah (berinteraksi dengan masyarakat), iaitu tahap berinteraksi dengan masyarakat dan umat agar umat turut mengambil bahagian dalam kewajipan dakwah sehingga akan menjadikannya sebagai masalah utama hidupnya, dan berusaha untuk menerapkannya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat. Satu perkara yang penting untuk diingat, pembinaan dan pengkaderan juga terus berlangsung tanpa henti pada tahapan ini.
Ketiga, marhalah istilamil hukmi, iaitu tahap mengambil alih kekuasaan dan penerapan Islam secara sempurna serta menyeluruh melalui Daulah Khilafah, kemudian membawanya sebagai risalah ke seluruh penjuru dunia.
Dalam praktiknya, perlu ada langkah-langkah strategik, politik, atau praktikal semasa melakukan tahapan-tahapan tadi.
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam
#FikrulIslam #MenujuDaulahKhilafah #DakwahRasulullahsaw