[Nafsiyah] Nikmat Dunia Tidak Seberapa
Penulis: Ustaz Arief B Iskandar
Dunia kapitalisme, pada waktu ini, benar-benar telah melahirkan ramai individu—termasuk kaum muslim—menjadi pemburu dunia. Pemburu harta, wanita, jabatan, kedudukan, kekuasaan, dan lain-lain. Untuk meraih dunia, tidak kurang mereka yang melakukan pelbagai macam cara. Tidak peduli hukumnya benar atau salah. Halal atau haram. Menghasilkan pahala atau dosa. Juga tidak peduli samada cara-caranya itu merugikan orang lain atau tidak. Yang penting apa yang diinginkan boleh diraih. Urusan dosa diletak ke belakang, bahkan mungkin sama sekali tidak lagi difikirkan.
Tidak mustahil jika ramai orang saat ini tidak merasa malu berlumba untuk berkuasa, contohnya. Berusaha keras agar menjadi Presiden, Menteri Besar, Pegawai Daerah atau Datuk Bandar. Tidak peduli untuk mengeluarkan jutaan ringgit , milion, bahkan trilion ringgit. Tidak peduli sumber perolehan wangnya, dari hasil rasuah atau dari hasil menjual negara.
Banyak juga yang berlumba agar boleh kaya-raya. Jika boleh, dengan segera. Tidak mengambil masa yang lama. Tidak peduli untuk tujuan itu andai perlu curi sini, curi sana. Rasuah sini, rasuah sana. Menipu sini, menipu sana. Semua demi meraih dunia yang diimpikan.
Walhal jelas, sebesar apa pun atau seluas apa pun dunia yang diraih, di sisi Allah SWT, ia sangatlah remeh-temeh. Demikian sebagaimana dinyatakan oleh Abu Ubaid bin Umair Rahimahullaah, “Sungguh dunia itu remeh di mata Allah SWT. Buktinya, Allah SWT memberikan dunia ini kepada siapa sahaja, baik yang Dia cintai ataupun yang tidak Dia cintai. Ada pun iman, Allah SWT hanya memberikannya kepada orang yang Dia cintai.” [Abu Nu’aim al-Asbahani, Hilyah al-Awliyaa’, 3/ 270].
Amat remehnya dunia di sisi Allah, Allah SWT memberikan dunia (harta, takhta, wanita, kekuasaan, dan lainnya) kepada sesiapa sahaja, muslim atau kafir, mukmin atau fasik, yang taat atau tukang bermaksiat.
Ini juga ditegaskan oleh Rasulullah SAW, sabda baginda, “Demi Allah. Tidaklah (nikmat) dunia dibandingkan dengan (nikmat) akhirat kecuali seperti seseorang dari kalian mencelupkan jarinya ke lautan, maka lihatlah air yang tertinggal di hujung jarinya itu.” [HR Muslim].
Ertinya, nikmat dunia itu seperti air yang tertinggal di hujung jari. Amat sedikit. Apalagi jika dibandingkan dengan besarnya dan melimpahnya nikmat syurga di akhirat kelak nanti.
Selain amat sedikit, walaupun kita menggenggam dunia seluruhnya—harta, wanita, jabatan, kekuasaan, dan lainnya—dengan segala kenikmatannya, kita mesti sedar bahawa semua itu hanyalah “pinjaman” dari Allah SWT kepada kita. Ini disebabkan oleh, kata-kata Imam Ibnu al-Qayyim Rahimahullaah, “Sungguh seorang hamba itu—baik dirinya, anak isterinya mahupun hartanya—hakikatnya adalah milik Allah SWT. Sesungguhnya, Allah SWT telah menjadikan semua itu sebagai pinjaman kepada hambaNya. Oleh kerana itu, jika Allah SWT mengambil kembali semua itu dari hambaNya, maka Dia seperti pemberi pinjaman yang mengambil kembali barang miliknya dari peminjamnya.” [Ibnu al-Qayyim, Zaad al-Ma’aad, 2/210].
Semua nikmat duniawi (harta, wanita, jabatan, kekuasaan, dan lainnya) juga bersifat sementara dan fana. Kematian akan menghentikan semuanya, sama ada cepat atau lambat. Oleh itu benar yang dinyatakan oleh Muthraf bin asy-Syahir Rahimahullaah, “Sungguh, kematian itu akan melupuskan (mengakhiri) nikmat dari orang-orang yang Allah beri nikmat. Oleh itu, carilah oleh kalian nikmat yang tidak akan pernah berakhir (iaitu syurga).” [Adz-Dzahabi, Siyar A’lam an-Nubalaa’, 4/190].
Benar juga kata-kata Ibnu Samak Rahimahullaah, “Anggaplah dunia ini ada dalam genggaman tanganmu. Lalu dunia lain yang serupa juga ditambahkan untukmu. Seluruh bahagian dunia di Barat dan Timur juga didatangkan kepadamu. Lalu, jika kematian menemui dirimu, apa yang nanti tetap ada di tanganmu?” [Adz-Dzahabi, Siyar A’laam an-Nubalaa, 8/330].
Tentu saat kita mati, tidak ada sedikit pun bahagian dari dunia ini yang ada di tangan kita. Semua hilang. Semua lenyap. Harta, wanita, jabatan, kedudukan, kekuasaan dan lainnya yang selama hidup kita perjuangkan bermati-matian, semuanya kita tinggalkan. Yang ada dan mengikuti kita, tinggal amalan-amalan yang soleh .
Dengan demikian, tentu tidak patut jika kita begitu bersemangat mengejar nikmat duniawi yang amat sedikit dan fana. Sebaliknya, kita malah mengerahkan usaha ala kadarnya dalam meraih nikmat syurga yang melimpah dan abadi. Sepatutnya kita selalu bersemangat mengusahakan nikmat syurga yang amat melimpah dan abadi (tidak akan pernah berakhir) melebihi semangat kita dalam meraih nikmat duniawi yang amat sedikit dan fana.
Sehubungan itu pula, semangat kita dalam melakukan pelbagai ketaatan (seperti solat berjemaah di masjid, tadarus al-Quran, dan zikir contohnya, atau hadir di majlis-majlis ilmu, menunaikan amanah dakwah, berjuang menegakkan syariah, dan lainnya) semestinya melebihi semangat kita dalam mengusahakan harta kekayaan, jabatan, kedudukan, kekuasaan, dan lainnya. Kita sepatutnya bimbang bahkan takut jika di akhirat nanti Allah SWT tidak memasukkan kita ke dalam syurgaNya kerana kurangnya amalan-amalan kita dan banyaknya dosa-dosa kita.
Oleh yang demikian, tentu menarik jika meneladani sikap generasi salafus-soleh, seperti para sahabat Nabi SAW yang mulia. Umar bin al-Khattab RA, yang merupakan salah seorang di antara sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga bersama-sama Abu Bakar, Uthman, Ali, Thalhah, Zubair, Abdurrahman bin Auf, Saad bin Abi Waqqas, Said bin Zaid dan Abu Ubaidah bin al-Jarrah Radhiyallaahu ‘anhum [HR Ahmad, Tirmidzi dan an-Nasai]. Namun begitu, beliau tetap sangat bimbang jika kelak tidak dimasukkan ke dalam syurgaNya hingga beliau berkata, “Andai kelak malaikat dari langit (syurga) memanggil, ‘Hai manusia, sungguh kalian akan masuk syurga semuanya, kecuali satu orang,’ maka sungguh aku benar-benar takut bahawa akulah orangnya (yang dikecualikan masuk syurga).’” [Al-Hafizh Abi Nu’aim Al-Asbahani, Hilyah al-Awliyaa’ wa Tabaqaat al-Asfiyaa’, 1/53].
Lalu bagaimana dengan kita yang tidak dijamin masuk syurga? Adakah kebimbangan kita melebihi kebimbangan Umar bin al-Khattab RA?
Justeru itu, janganlah kita menjadikan dunia (harta, wanita, jabatan, kedudukan kekuasaan, dan lainnya) sebagai tujuan hidup kita yang utama dan sebenarnya. Namun, jadikan semua itu hanya sebagai sarana/alat untuk meraih syurgaNya yang abadi di akhirat nanti.
Wa maa tawfiiqii illaa billaah ‘alayhi tawakkaltu wa ilayhi uniib.
Sumber: alwaie[dot]net