[Nafsiyah] Pemikiran Anda Bukan Tong Sampah
Ciri-ciri orang yang berperwatakan hebat ialah mampu mengaitkan semua pencapaiannya dengan bersandarkan niat hanya kerana Allah SWT. Allahlah yang memberikan pertolongan pada proses akhirnya. Terdapat perbezaan antara seorang mukmin dengan penganut kapitalisme yang terletak pada proses mengaitkan perkara-perkara yang dilakukannya dengan niat.
Bagi penganut kapitalisme, setiap proses untuk mencapai atau melonjakkan potensi diri adalah kerana ingin mendapat kedudukan di hadapan manusia. Sedangkan seorang mukmin sentiasa berniat melakukannya kerana Allah SWT dan matlamatnya terarah untuk mendapat keredhaan Allah SWT.
Tambahan pula, satu lagi ciri orang yang berperwatakan hebat ialah merendah diri. Tanamkan rasa cemburu, kemudian lonjakkan potensi diri sendiri. Cemburu yang dimaksudkan ialah cemburu terhadap sesuatu yang dibenarkan dalam Islam. Dia cemburu terhadap dua perkara. Pertama, cemburu kepada orang yang berilmu untuk dijadikan sebagai teladan (role model). Kedua, cemburu terhadap orang yang mempunyai harta yang membantu agama Allah SWT. Cemburu terhadap dua perkara di atas adalah menjadi kebaikan untuk kita.
Ciri-ciri seterusnya bagi seseorang yang berperwatakan hebat ialah menggunakan masa dengan sebaik-baiknya, bukan seperti penganut kapitalisme yang memandang setiap saat dari segi kebendaan (wang). Dia menggunakan waktunya untuk memberi manfaat kepada dirinya dan ramai orang.
Akhir sekali, orang yang berperwatakan hebat adalah orang yang sentiasa mengaktifkan mindanya, menajamkan minda dan fikirannya untuk produktiviti. Fikiran adalah perkara yang paling berharga dalam hidup kita. Fikiran anda mencerminkan kualiti anda.
Para ulama mengatakan, “Al-‘aqlu manaathu at-takliif” yang bermaksud, akal ialah asbab yang menjadikan manusia dibebani dengan kewajipan agama. Ini kerana tanpa akal, manusia tidak mungkin mampu untuk beribadah kepada Allah SWT. Jika Allah tidak memberikan akal kepada manusia, kemudian Allah SWT memerintahkan manusia untuk beribadah kepadaNya, nescaya tidak dinafikan ini adalah satu bentuk pemberian beban yang tidak mungkin dapat dipikul.
Sebenarnya, orang yang akalnya berfungsi dengan baik, mereka tunduk kepada Allah SWT dan ingin beribadah kepadaNya. Allah SWT sering bertanya, “Tidakkah kamu berfikir? Tidakkah kalian berakal? Tidakkah mereka mengambil pengajaran?”
Allah SWT juga sering memberitahu, bahawa hanya orang yang menggunakan akal sahaja yang mampu mengambil pengajaran daripada ayat-ayatNya. Allah SWT berfirman, “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.” [TMQ Ali Imran (3): 190].
Saudariku, janganlah kikir dengan pemikiran melainkan ianya digunakan hanya untuk tujuan yang baik-baik sahaja. Jangan mudah menerima sebarang maklumat yang tidak bernilai. Anda hendaklah bersikap selektif terhadap setiap maklumat yang akan dibaca dan diterima.
Jangan jadikan fikiran seperti tong sampah, menerima apa sahaja yang dilemparkan ke situ. Fikiran anda bukan tong sampah. Umar bin Khattab RA pernah berkata, “Manusia menjadi mulia kerana akalnya. Kehormatannya dilihat apabila dia mengamalkan agamanya. Kewibawaan bergantung kepada akhlaknya”. Ini adalah tiga perkara penting terkait komitmen kita terhadap agama.
Saudariku, kita perlu tahu bahawa para ulama memberikan layanan (treatment) yang luar biasa kepada fikiran mereka. Mereka sangat selektif dalam mengambil maklumat. Seperti yang pernah dikatakan oleh Imam Qurthubi, “Kamu mengetahui tetapi tidak terlalu bermanfaat. Kamu tidak memahami dan ianya tidak akan membahayakan kamu.” Ini bermakna kita tidak perlu mengetahui semua maklumat dan tidak semuanya berguna untuk kita ambil. Ini adalah cara untuk dia menjaga fikirannya dengan sesuatu yang bermanfaat sahaja.
Pada masa ini melalui media sosial, kita boleh menerima pelbagai maklumat. Sedarlah, antara punca hilangnya kehebatan seorang muslim adalah apabila dia disibukkan dengan perkara yang tidak bermanfaat akibat mengambil segala maklumat. Kualiti akal anda akan selari dengan pilihan maklumat yang anda pilih.
Jangan biarkan diri dan minda dikawal oleh media sosial. Jangan dijajah dengan pemikiran yang salah sehingga akhirnya kita membina persepsi buruk terhadap pelbagai perkara. Hari ini dalam era maklumat yang berlebihan, terdapat banyak maklumat sampah. Ini sering membuatkan kita mengisi fikiran kita dengan sampah juga.
Kita mesti mempunyai kawalan ke atas pemikiran kita. Bukankah kemurungan(depression) dan insecure disebabkan oleh terlalu banyak berfikir (overthinking)? Bukankah banyak penyakit bermula dari pemikiran yang buruk? Overthinking boleh menyebabkan banyak kerosakan kepada kehidupan manusia.
Tidak perlu responsif terhadap semua perkara kecuali perkara yang benar-benar penting. Berhati-hatilah, kerana di sebalik fikiran kita, ada penumpang gelap jika tidak selektif. Siapakah penumpang gelap tersebut? Syaitan. Syaitan mengalir melalui peredaran darah kita, kemudian boleh mempengaruhi dan menjejaskan pemikiran manusia.
Jika pemikiran sudah liar, ia boleh menjadikannya menolak ayat-ayat Allah SWT dan hadis dari Rasulullah SAW. Oleh kerana itu, gunakanlah pemikiran dan akalmu supaya sentiasa tajam untuk perkara kebaikan. Perintah menghafaz al-Quran bertujuan untuk membantu mengaktifkan pemikiran manusia. Hal ini menjadikan seorang muslim tidak sering berkhayal, kerana dia sibuk mengasah pemikiran melalui proses menghafal.
Saudariku, cara untuk menghadirkan hati ketika memberikan makna kepada sesuatu perkara, boleh dilakukan dengan benar-benar memikirkan jalan kehidupan. Menjadikan akal berfungsi secara optimum mengikut tuntunan syariah. Begitu sempurnanya agama Islam, setiap doa juga memberikan makna kepada segala aktiviti kita.
Berhati-hatilah bagi seorang muslim yang tidak pernah menghafal kalimah Allah SWT, tidak pernah berfikir, tidak pernah mengkaji hadis Nabi, dan sering melakukan aktiviti tanpa makna. Apabila pemikiran terbiar, akhirnya tumpul, ia mudah terarah menjadi generasi bunglon (tidak memiliki pendirian tetap) generasi imma’ah (berjiwa seperti itik). Akhirnya, kita menjadi objek kepentingan dalam sistem kapitalisme sekular.
Ketahuilah bahawa musuh Islam tidak menyukai orang Islam memiliki perwatakan hebat. Mereka menciptakan pelbagai aplikasi untuk mempengaruhi pemikiran agar menjadi tumpul. Contohnya dengan games dan aplikasi hiburan lain. Ia boleh menyebabkan pemikiran menjadi lusuh, berkarat, dan malas untuk berfikir. Pemikirannya tidak menghasilkan kualiti terbaik untuk kehidupannya.
Kita hendaklah mengikuti contoh terbaik dari ulama salafus salih. Salah seorangnya adalah ulama dari mahzab Hambali yang pernah mengatakan, “Tidak halal bagiku menyia-nyiakan sesaat dari umurku. Sehingga apabila lisan dan mataku telah lelah membaca dan berdiskusi, aku menggunakan pemikiranku untuk berfikir meskipun aku sedang berbaring di atas tempat tidur, ketika terlintas pada fikiranku, aku bangkit dan menulis.”
Masyaallah, mengaktifkan minda dan mengasahnya menjadikan hidup kita berkualiti. Sesungguhnya kita adalah sebaik-baik umat yang Allah SWT sampaikan melalui firmanNya,
“Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia (selama) kamu menyuruh (berbuat) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110] Salah satu cara untuk mewujudkan kembali khairu ummah ialah dengan membangkitkan pemikiran umat Islam. Dari pemikiran yang dangkal kepada pemikiran yang cemerlang. Ini hanya boleh dilakukan dengan mengajak manusia melakukan proses pemikiran yang besar dan benar mengikut tuntunan Islam. Pastikan fikiran anda bukan tong sampah, tetapi diasah dan terarah dengan Islam untuk membantu kembalinya Khilafah Islamiyyah.
Sumber: https://muslimahnews.net/2023/08/03/22317/