KEMPEN “ THE POWER OF MOTHER ”
Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berhak untuk aku berbuat baik kepadanya?”. Maka Rasulullah S.A.W. menjawab: Ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian ibu kamu, kemudian bapa kamu.” (HR Muslim (2548))
Adapun begitu, sebab didahulukan ibu sebanyak tiga kali turut diisyaratkan melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Seorang manusia itu, dia telah dikandungkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kesukaran dan begitu juga dia dilahirkan oleh ibunya dalam keadaan yang penuh kepayahan. Dan kandungan serta susuan (kepada anak) adalah selama tiga puluh bulan.” [TMQ Al-Ahqaf (46): 15]
Begitulah keutamaan kedudukan seorang ibu dalam Islam sebagai gambaran kehebatan pengaruhnya dalam pentarbiyahan anak bagi pembentukan peribadi dan intelektual generasi yang unggul. Lipatan sejarah membuktikan bahawa di sebalik kehebatan dan kebijakan para khalifah, ulama’ dan cendekiawan muslim masa dahulu, ada sosok ibu yang solehah lagi bertakwa dan sangat mencintai serta mementingkan ilmu.
Seorang anak juga memerlukan seorang ibu yang memiliki motivasi tinggi (himmah ‘aliyah) bagi mengembalikan peradaban emas Islam. Hakikat peradaban yang bersandarkan pada aqidah Islam dengan kewujudan ruh dan falsafah Islam. Sama seperti kehidupan pada zaman Rasul dan Sahabat yang bersungguh-sungguh mengabdikan kehidupannya untuk memelihara keagungan Islam. Begitu juga motivasi dan tarbiyah ibu Sultan Muhammad Al Fateh yang telah ditanam ke dalam jiwa anaknya sehingga akhirnya terealisasi visi pembukaan Konstantinopel yang terinspirasi dari bisyarah hadis Nabi S.A.W.
Visi besar ini dapat dicetus dalam jiwa setiap ibu sehingga ianya dicapai secara kolektif memerlukan kesedaran yang mendasar dalam memaknai matlamat sebenar kehidupan. Seterusnya, kita perlu bersama-sama menggagas inspirasi pembentukan generasi peradaban emas yang pernah terbentuk dengan tsaqafah Islam.
Justeru, semoga kempen THE POWER OF MOTHER ini bakal mencetus momentum yang akan membangkitkan jiwa setiap ibu Muslimah seterusnya membentuk generasi gemilang. Marilah bersama-sama dengan kami untuk merealisasikan objektif kempen ini;
Untuk menstrategikan dan memposisikan wanita sebagai ibu inspirasi
Untuk memperincikan lakaran sejarah wanita dan ibu negarawan
Untuk menggariskan peranan ibu sebagai pencetak generasi peradaban emas Islam